Mulan (2020) – Tidak Syak Lagi Sebuah Filem Disney [Review]

Kisah Mulan pernah menjadi sebuah animasi Disney suatu ketika dahulu namun admin dahulunya tidak berminat untuk menonton filem animasi tersebut pada ketika itu. Kini Disney telah tampil dengan sebuah filem “live-action” Mulan dan kami sempat menontonnya di pawagam baru-baru ini. Berikut adalah ulasan kami mengenai filem ini.

mulan

Mulan (2020) – Tidak Syak Lagi Sebuah Filem Disney [Review]

Mulan mengisahkan seorang perempuan di China yang telah menyamar sebagai seorang lelaki bagi menggantikan bapanya dalam tentera demi menyelamatkannya dari kerahan tentera.

Review

Admin tidak menonton filem animasi Mulan sekitar tahun 90an, jadi admin tidak dapat membuat perbandingan dari segi jalan cerita kedua filem ini. Apa pun, secara keseluruhannya, jalan cerita filem ini menepati standard filem Disney. Dengan kata lain, daripada struktur jalan cerita dan pengolahan filem ini, tidak syak lagi ia sebuah filem Disney. Ia menekankan nilai moral, tidak mempunyai “blood & gore” walaupun terdapat kematian dalam filem tersebut. Tiada apa yang memberangsangkan mengenai jalan ceritanya, namun pada pendapat kami ia agak memuaskan untuk ditonton oleh golongan remaja dan kanak-kanak dengan isinya yang padat dan tiada putaran plot yang terlalu kompleks.

Mutu lakonan, terutamanya dari segi gerakan kung-fu memang dibikin dengan baik. Mutu kung-fu pelakon veteran seperti Donnie Yen dan Jet Li memang tidak dapat disangkal, tetapi pelakon utamanya, Liu Yifei juga boleh tahan. Namun, harus diketahui bahawa filem ini bukanlah sebuah filem yang memfokuskan kepada kung-fu. Kung-fu hanyalah perhiasan kepada filem ini dan babak-babak kung-funya pendek-pendek serta jelas sekali bukan fokus utama.

Satu aspek yang menarik juga dalam filem ini ialah lanskap China yang diketengahkan sangat indah. Jelas sekali, pihak China juga ingin mempromosikan tempat-tempat pelancongan di negara mereka juga.

Akhir kata filem Mulan ini pada akhirnya adalah sebuah filem yang biasa-biasa sahaja, tetapi dibikin dengan baik dan penuh keindahan. Sesuai ditonton untuk remaja dan kanak-kanak. Bagi golongan dewasa yang ingin mengimbau kembali zaman kanak-kanak mereka juga boleh menonton. Anda tak akan hampa, namun tak akan juga teruja menonton filem ini.

mulan

Positif vs Negatif

Positif

  • Sinematografi yang indah
  • Jalan cerita yang mudah difahami dan dengan nilai moral

Negatif

  • Filem yang pada tahap biasa-biasa sahaja, tiada apa yang memberangsangkan

mulan

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Mulan merupakan satu filem yang tidak begitu memberangsangkan, tetapi dibikin pada kualiti yang baik secara visual. Kami rekomen untuk para remaja dan kanak-kanak, namun kami pasti tidak semua golongan dewasa akan berminat dengan filem ini.

Penilaian

Jalan cerita – 6/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10

Nilai hiburan –6/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *