Pejam celik sudah 3 filem Spiderman lakonan Tom Holland telah diterbitkan setakat ini dan filem ketiga bertajuk Spiderman Far From Home telah mula ditayangkan Rabu lepas. Kami sempat menonton filem ini dan kini kami berkongsi pendapat kami mengenai filem ini.
Spiderman Far From Home – Satu Filem Spiderman Dengan Mesej Mendalam
Dalam filem Spiderman Far From Home Peter Parker ingin bercuti daripada menjadi Spiderman. Pada masa yang sama, beliau ingin menghabiskan lebih masa untuk memikat buah hatinya, MJ. Peluang beliau tiba apabila kelas sekolahnya menganjurkan lawatan sambil belajar ke Eropah dan dalam lawatan ini Peter merancang untuk meluahkan perasaannya kepada MJ.
Malangnya, dalam lawatan tersebut beliau tidak dapat juga bercuti dari menjadi adiwira apabila raksasa besar muncul semasa lawatan tersebut. Bersama raksasa tersebut, seorang adiwira baharu muncul untuk menyelamatkan keadaan. Beliau digelar Mysterio oleh orang awam yang diselamatkannya. Siapakah adiwira ini? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Perkara pertama yang kami mahu tekankan ialah jika anda telah menonton trailer filem Spiderman Far From Home, anda tentu mempunyai satu tanggapan atau jangkaan tentang jalan cerita filem ini. Tetapi sukacita dimaklumkan jalan cerita filem ini memang di luar jangkaan kami. Putaran plot (Plot twist) di pertengahan filem ini memang mengubah segalanya dan langsung tidak kami jangkakan. Kami tidak mahu memberi spoiler, tetapi perkara itulah perkara yang kami sukakan tentang filem ini dan menjadikannya sangat memuaskan untuk ditonton.
Selain itu, konflik dalaman Peter Parker yang diketengahkan dalam filem ini memang bertepatan dengan konflik yang dialami remaja zaman ini. Walaupun kami bukan lagi remaja, namun kami pernah menjadi remaja satu ketika dahulu dan bak kata orang putih, “the struggle is real“. Sifat-sifat remaja yang rebelious dan pada masa yang sama naif ditampilkan dengan berkesan dalam watak Peter Parker. Penulis filem ini sememangnya berjaya berhubung dengan jiwa remajanya semasa menulis jalan cerita filem ini.
Babak aksi dan lawak jenaka filem ini juga bersahaja dan mampu menghiburkan penonton tak kira mereka datang dari latarbelakang mana. Pengaruh Tony Stark sebagai bekas mentor Peter Parker juga memainkan peranan dalam jalan cerita filem ini. Tidak mengejutkan Peter Parker mewarisi gajet-gajet milik Tony Stark.
Secara ringkasnya, filem ini tidak syak lagi lebih menghiburkan dari dua filem Spiderman sebelum ini dan jika anda menonton dua filem pertama anda wajib tonton yang ini. Jangan lupa menonton babak pasca kredit, ada perkara penting yang akan didedahkan mengenai sequal Spiderman seterusnya.
Positif Vs Negatif
Positif
- Plot dan jalan cerita yang langsung tidak dijangka.
- Babak aksi dan lawak jenaka yang menghiburkan
- Mesej keremajaan yang ditampilkan yang mendalam
Negatif
- Agak janggal melihat Lucky (Staff keselamatan Tony Stark) menjadi watak sokongan kepada Spiderman.
Kesimpulan
Kesimpulannya mudah sahaja, jika anda telah menonton filem-filem Spiderman terdahulu serta filem Avengers: Engdame, anda perlu menonton filem ini. Meskipun anda belum menonton sebarang filem Spiderman lakonan Tom Holland, kami jamin anda pasti terhibur menonton filem ini, dengan syarat anda menonton filem Avengers: Endgame, kalau tidak anda tentu tertanya-tanya kenapa Ironman tak ada dalam filem ini?