Samurai Shifters – Japan Film Festival 2020 [Review]

Kami diberi peluang untuk menonton sebuah filem Jepun bertajuk Samurai Shifters sempena Japan Film Festival (JFF) yang berlangsung sepanjang bulan September dengan usahasama GSC. Admin langsung tidak tahu menahu mengenai filem Samurai Shifter dan apakah latabelakang filem ini sebelum menontonnya, namun kadang-kala itulah keseronokan dalam hidup. Kejutan itu. Filem ini adalah filem tahun 2019 dan berikut adalah ulasan kami.

Samurai Shifters – Japan Film Festival 2020 [Review]

Samurai Shifters berlangsung pada era Shogun Tokugawa di penghujung abad ke 17 di Jepun. Katagiri Harunosuke merupakan seorang samurai ulat buku dan anti sosial yang dipertanggungjawabkan sebagai pegawai penempatan semula bagi puak Matsudaira yang diarahkan berpindah dari Istana Himeji ke satu daerah yang lain. Ini bermaksud semua penduduk dari puak tersebut perlu berpindah ke daerah yang diarahkan. Tugasan yang sukar ini sememangnya tidak dimahukan oleh mana-mana samurai dalam puak itu, namun Katagiri telah dipaksa untuk menerima jawatan tersebut kerana beliau paling banyak membaca dan mengetahui mengenai pelbagai perkara. Pelbagai masalah dihadapinya sepanjang tugasnya, tetapi beliau mendapat bantuan anak perempuan pegawai penempatan semula, Oran dan sahabatnya seorang samurai handal bernama Takamura. Mampukan mereka menguruskan perpindahan ini?

Samurai Shifters

Review

Bagi menonton filem ini, ada beberapa perkara asas perlu diketahui oleh penonton sebelum menonton filem ini kerana ia boleh membantu dalam pemahaman latarbelakang filem ini. Pertama sekali pada zaman Shogun, walaupun ketua negara adalah Maharaja, namun segala pentadbiran ditadbir oleh Shogun. Di bawah Shogun terdapat pelbagai puak atau “clan” yang tinggal di kawasan-kawasan tertentu di Jepun. Sekali sekala puak-puak ini akan diarahkan oleh meninggalkan tempat tinggal mereka untuk ditempatkan di daerah lain atas pelbagai sebab. Dalam filem ini ketua puak atau Damiyo telah dengan tidak sengaja mengasari pegawai shogun dan pegawai itulah yang menyebabkan mereka perlu berpindah.

Kedua, Samurai ini ada dua golongan, pertama ialah Joshi, iaitu Samurai kelas atasan, dan Kashi, Samurai kelas bawahan. Samurai ini dalam sistem feudal Jepun bukan sahaja pahlawan, malah ada juga pentadbir, akautan dan pelbagai jawatan lain. Dengan kata lain mereka seperti pegawai kerajaan zaman sekarang. Golongan Joshi selalunya mendapat jawatan yang tinggi, manakala Kashi selalunya mendapat jawatan rendah. Di bawah golongan Samurai adalah para peniaga yang walaupun kaya, tetapi berpangkat lebih rendah dari Samurai Joshi mahupun Kashi, jadi mereka perlu tunduk kepada Samurai.

Samurai Shifters

Berbalik semula kepada review filem Samurai Shifters. Filem ini tergolong dalam filem yang perlu ditonton beramai-ramai untuk lebih keseronokan. Kalau ditonton berseorangan pada laptop atau TV, kami yakin ia kurang menghiburkan. Kekuatan utamanya dari awal lagi ialah pendedahannya kepada budaya Jepun yang mendalam, tetapi dengan cara yang santai dan komedi. Filem ini berjaya mempersembahkan sebuah kisah yang serious dengan cara komedi tanpa perlu menggunakan lawak slapstik yang melampau. Ia juga memasukkan unsur filem muzikal dengan babak-babak menyanyi beramai-ramai.

Walaubagaimanapun, pendekatan santai yang digunapakai oleh filem ini walaupun bagus untuk meningkatkan nilai hiburan filem ini, ia juga menyebabkan babak-babak lawannya tidak begitu serious. Langsung tidak sehebat siri filem Ruroni Kenshin. Kehadiran sebarang bentuk darah diminimakan dalam semua babak lawan. Maklumlah ia juga filem untuk tontonan sekeluarga. Satu lagi natijah pendekatan santai juga ialah jalan ceritanya kurang kompleks, jadi mereka yang gemarkan jalan cerita yang menduga minda.

Samurai Shifters

Apa pun, secara keseluruhannya, filem ini lebih kepada filem yang seseorang penonton akan tonton bersama rakan-rakan dalam keadaan santai. Apa yang kami sukakan mengenai filem ini ialah ia kaya dengan budaya Jepun zaman Shogun. Segala props dan lokasi yang digunakan dalam pembikinan filem ini, dari pakaian ke penggunaan Istana Himeji sebagai lokasi penggambaran menjadikan filem ini satu filem yang sesuai bagi mereka yang gemarkan budaya Jepun.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang santai, lucu dan menghiburkan
  • Penggunaan prop, pakaian dan lokasi penggambaran yang autentik kepada budaya Jepun
  • Watak-watak yang menarik

Negatif

  • Babak lawan yang kurang realistik demi menjaga rating sebagai filem untuk tontonan umum
  • Sarikata Inggeris sahaja

Kesimpulan

Filem Samurai Shifters merupakan sebuah filem yang sangat menarik untuk ditonton dengan keluarga atau rakan-rakan. Tidak sesuai ditonton berseorangan. Filem ini menghiburkan dan mendedahkan kepada budaya Jepun yang kaya dengan nilai. Walaubagaimanapun, ia mungkin tidak akan memenangi sebarang anugerah filem. Filem ini tidak lagi ditayangkan di pawagam dan kami juga tidak mengetahui bagaimana untuk menonton filem ini.

Penilaian

Jalan cerita – 7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 6/10

Nilai hiburan –9/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 6/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *