Kepada peminat anime Samurai X, filem live action dalam siri filem Rurouni Kenshin pasti ditunggu-tunggu. Filem keduanya, Rurouni Kenshin Kyoto Inferno sebenarnya telah lama ditayangkan di Jepun, namun baru sahaja tiba di Malaysia. Namun, kebaikannya ialah filem ketiga, Rurouni Kenshin The Legend Ends akan ditayangkan hanya selepas 2 minggu filem ini ditayangkan, iaitu pada 20 November nanti.
Rurouni Kenshin Kyoto Inferno [Review]
Dalam filem Rurouni Kenshin Kyoto Inferno kali ini, Kenshin menghadapi musuh yang bernama Shishio, seorang pembunuh upahan zaman shogun yang diupah oleh golongan yang telah membawa perubahan kepada zaman kerajaan Meiji. Beliau yang telah dizalimi ingin membawa semula pemerintahan Shogun kepada Jepun dan merancang untuk membakar bandar Kyoto, iaitu pusat pemerintahan shogun pada masa lampau. Mampukan dia menghentikan Shishio? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Jalan Cerita
Bagi mereka yang telah menonton siri anime Samurai X, mungkin jalan ceritanya bukan lagi rahsia. Namun olehkerana telah lama saya menonton anime tersebut, saya sendiri telah lupa jalan ceritanya, jadi saya menonton filem ini dengan tiada ingatan tentang jalan ceritanya.
Secara umumnya, filem ini terasa panjang dan penuh dengan isi jalan cerita. Ia tidaklah seperti sesetengah filem yang telampau banyak aksi dan tiada jalan cerita, yang menyebabkan rasa hampa. Di samping banyak isi penting, filem ini menampilkan banyak aksi lawan yang mendebarkan dan penuh aksi. Prinsip Kenshin yang tidak mahu membunuh dan menggunakan pedang bilah terbalik juga menyumbang kepada kehebatan dan kepanjangan aksinya. Saya rasa kalau dia menggunakan pedang biasa, babak lawan hanya akan berlangsung selama 1-2 minit kerana semua musuh akan dibunuh dalam sekelip mata.
Filem ini juga penting kerana ia menjadi asas kepada filem terakhir iaitu Rurouni Kenshin The Legend Ends. Saya tidak akan mendedahkan setakat mana filem ini akan menceritakan kisahnya, cukup hanya menyatakan jalan cerita filem ini akan bersambung dalam filem terakhir nanti.
Produksi
Produksi filem ini tidaklah sehebat filem 13 Assassins, namun seimbang antara aksi ganas dan kebolehan untuk ditonton oleh kanak-kanak bawah 18. Koreografi babak lawannya sememangnya kelas pertama, sama, malah mungkin lebih hebat berbanding filem aksi kung fu Hong Kong dan China. Namun mungkin dari segi produksi set dan props latar belakang sedikit menampakkan penjimatan kos (terutama babak perang akhir di Kyoto), tetapi penjimatan yang masih boleh diterima.
Kesimpulan
Positif
- Babak lawan yang berada di kelas pertama.
- Jalan cerita filem yang mengikut rapat jalan cerita anime dengan baik.
- Lakonan mantap pelakon utama yang berjaya membawa watak dalam anime.
Negatif
- Sesetengah babak yang cliche seperti watak konco-konco yang mudah dikalahkan hero.
- Penggunaan lokasi yang baik tetapi tidak sebaik filem seperti 13 Assassins.
Filem Rurouni Kenshin Kyoto Inferno sememangnya sebuah filem yang baik dalam siri filem Rurouni Kenshin, namun bukan yang terbaik. Mungkin kerana pengarah ingin menyimpan babak-babak aksi terhebat untuk filem akhir, The Legend Ends. Bagi mereka yang belum pernah menonton filem pertama, mereka masih boleh menonton filem kedua ini, namun mungkin tidak akan faham latarbelakang Kenshin dan beberapa babah flashback yang dialaminya dalam filem ini. Apa pun, tidak rugi menonton filem ini yang boleh dikatakan lebih baik dari kebanyakan filem Hollywood yang hanya menampilkan aksi tanpa jalan cerita yang menarik.
3 thoughts on “Rurouni Kenshin Kyoto Inferno [Review]”