Interstellar [Review]

Apabila trailer Interstellar diterbitkan hampir setahun lalu, ia tidaklah kelihatan begitu memberangsangkan, malah kelihatan seperti satu filem drama. Namun apabila diketahui bahawa pengarahnya adalah Christopher Nolan dan temanya Sci-Fi angkasa, saya tertarik dan memerhatikan perkembangannya. Kini, setelah menontonnya, saya rasa bukan setakat berpuas hati, tetapi “mind blown” juga.

Intersellar-680x250_c

Interstellar [Review]

Interstellar mengisahkan Cooper yang merupakan saintis dan juruterbang kapal angkasa NASA mengetuai sekumpulan saintis dalam usaha mencari planet baru untuk didiami setelah bumi mengalami keadaan cuaca tidak menentu dan  kebuluran akibat tanaman yang tekena penyakit.

Satu “wormhole” telah muncul di planet Zuhal bagi membolehkan mereka memasuki galaksi lain. 10 tahun sebelumnya beberapa orang saintis telah dihantar untuk mencari planet yang boleh dihuni dalam galaksi lain dan dari hasil kajian mereka, hanya terdapat 3 planet yang berpotensi. Cooper dan pasukannya mesti mencari antara 3 planet tersebut, yang mana paling sesuai untuk dihuni manusia.

Interstellar

Jalan Cerita

Filem arahan Chris Nolan ini boleh dikatakan mempunyai kategori yang sama dengan filem Inception arahannya sebelum ini. Ia tidak 100% filem aksi dan Sci Fi, tetapi juga menyelitkan elemen moral dan persoalan kemanusiaan. Namun filem Interstellar ini agak berat dari segi penglibatan subjek kuantun fiziknya. Anda boleh menontonnya tanpa mengetahui langsung tentang teori kuantum fizik, namun ia lebih menakjubkan jika anda faham sedikit sebanyak tentangnya, terutamanya teori yang melibatkan “space time” (ruang masa).

Teori ini mengatakan semakil laju kita bergerak semakin perlahan masa bergerak. Percaya atau tidak teori ini telah dibuktikan oleh NASA suatu ketika dahulu apabila mereka mengambil dua buah jam atom(jam yang paling tepat di dunia), satu daripadanya diletakkan di tempat permulaan, satu lagi diletakkan di atas kapal terbang. Kapal terbang itu kemudiannya terbang mengelilingi bumi sehingga kembali ke tempat permulaan. Apabila dibandingkan kedua-dua jam tersebut, jam yang menaiki kapal terbang itu lambat sedikit berbanding jam yang tidak menaiki kapal terbang. Ia menunjukkan apabila satu objek itu bergerak masa yang dialaminya akan bergerak lebih perlahan.

interstellar

Saya tidaklah faham sepenuhnya teori ini, namun wormhole, blackhole dan planet yang mempunyai graviti berlainan dari bumi mempunyai kesan yang ketara terhadap beza masa antara bumi dan objek yang melalui berhampiran planet/wormhole/blackhole. Apapun, teori ini akan menjadi asas penting kepada filem ini.

Berbalik semula kepada jalan ceritanya, Nolan sememangnya tidak tergesa-gesa dalam perkembangan jalan cerita filem ini, namun apa yang dipaparkannya adalah babak-babak yang penting sahaja. Tiada babak-babak membazir. Walaupun anda merasakan satu babak itu membazir, namun sebenarnya ia releven dan anda akan ketahui kenapa ia releven pada penghujung filem ini.

Interstellar bukanlah filem aksi sepenuhnya, tapi terdapat banyak babak yang mendebarkan membuatkan anda tak senang duduk dan bahagian pengakhirannya agak mengjutkan dan menyentuh perasaan.

Interstellar

Produksi

Produksi filem Interstellar adalah antara yang terbaik dalam filem angkasa. Paling utamanya ialah gambaran yang tepat mengenai angkasa. Jika dalam filem angkasa biasa, kedengaran pelbagai bunyi bagi mensensasikan babak-babak kapal angkasa, padahal di angkasa tiada udara, maka gelombang bunyi tidak boleh bergerak di angkasa.

Apa yang digambarkan di dalam filem ini hampir kepada realiti. Keadaan di angkasa digambarkan sebagai tiada bunyi langsung dan keadaan dalam kapal angkasa sangat senyap kecuali sekai sekala bunyi angkasawan mengendalikan peralatan. Mungkin bagi sesetengah orang ia akan berasa janggal, namun inilah realiti sebenar dalam kapal angkasa.

Kesan khas dan CGI berkenaan angkasa dan planet juga dibuat dengan indah sekali sehingga anda merasakan ingin ke angksa untuk melihat sendiri planet tersebut. Penggambaran tanpa graviti juga dibuat dengan baik. Saya juga tertanya-tanya bagaimana agaknya mereka membuat penggambaran tanpa graviti?

Kesimpulan

Positif

  • Kesan khas dan CGI yang terbaik.
  • Gambaran pengembaraan angkasa yang realistik.
  • Jalan cerita yang mendebarkan dan pengakhiran yang sangat memuaskan hati.

Negetif

  • Olehkerana filem ini banyak berasaskan teori, mungkin sesetengah babak itu kelihatan seperti terlampau fantasi.
  • Selepas menonton terasa nak menonton sekali lagi untuk memahami teori-teori kuantum fizik yang diketengahkan.

Seperti filem Inception, dalam Interstellar Chris Nolan berjaya menterjemahkan teori yang kompleks ke dalam satu filem yang hebat. Di samping itu filem ini berjaya mencetuskan minat penonton kepada pengembaraan angkasa, disamping memberi inspirasi kepada peminat angkasa.

Walaupun filem ini berkisarkan topik yang agak berat, saya percaya penonton biasa pun akan dapat menghayati filem ini dengan baik.

Saya telah menonton filem ini di panggung IMAX, namun didapati tidak berapa berbaloi untuk menonton di sana. Mungkin kerana speakernya dipasang terlalu kuat menyebabkan bunyinya pecah. Tetapi jika anda ingin menonton di pawagam biasa, pastikan anda mendapat tempat duduk terbaik supaya dapat menghayati babak-babak angkasa dengan sepenuhnya.

, ,

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

3 thoughts on “Interstellar [Review]

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *