Rambo Last Blood – Filem Ganas Penutup Kisah Rambo

Admin sememangnya salah seorang yang membesar dengan filem dan siri kartun Rambo (ya, memang ada siri kartun Rambo) dan sememangnya admin salah seorang yang menunggu filem Rambo Last Blood untuk ditayangkan. Dapatkah filem ini menutup kisah Rambo dengan cara yang baik? Kami beri ulasan kami mengenainya.

Rambo Last Blood – Filem Ganas Penutup Kisah Rambo

Filem Rambo Last Blood menyambung kisah Rambo 4 di mana beliau pulang ke ladang milik keluarganya selepas berjuang di Myanmar. Beliau tinggal di situ dengan Gabrielle dan neneknya. Gabrielle telah ditinggalkan bapanya yang tidak bertanggungjawab dari Mexico dan Rambo menjaganya sejak 10 tahun lalu serta menganggapnya seperti anak sendiri.

Tiba satu hari Gabrielle mendapat tahu alamat bapanya di Mexico dan ingin berjumpanya untuk bertanya kenapa beliau meninggalkannya di Arizona bersama Rambo. Gabriele dihalang untuk pergi ke sana, namun mencuri pergi tanpa pengetahuan Rambo. Dijadikan kisah, beliau diculik oleh kartel penyeludupan manusia dan setelah mendapat tahu, Rambo pergi menyelamatkannya. Dapatkah beliau menyelamatkan Gabriele? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Secara ringkas, jika anda menonton filem Rambo 4, filem Rambo Last Blood mempunyai unsur ganas yang setanding, jika tidak lebih kejam dari filem tersebut. Terus-terang kami katakan di sini filem ini adalah filem aksi sepenuhnya. Tiada jalan cerita atau putaran plot yang kompleks. Hanya aksi dan keganasan sejati. Cuma bagi menjadikan watak Rambo lebih relatable atau boleh dijiwai penonton, watak Gabriele diperkenalkan dengan tujuan menyerlahkan hubungan kemanusiaan masih ada pada Rambo.

Hubungan antara Rambo dan Gabriele memang dieksploitasi sepenuhnya oleh pengarah untuk memperlihatkan bahawa Rambo bukan sekadar membunuh membuta-tuli, sebaliknya ada sebab.

Harus diingat, filem ini hanya boleh ditonton oleh penonton 18 tahun ke atas kerana babak ganasnya bukan sebarang ganas, malah sadis dan membuatkan penonton tidak senang duduk. Jadi, janganlah cuba menyeludup masuk anak sedara anda untuk menonton filem ini.

Rambo Last Blood

Sebagai pengkritik, pendapat professional admin mengenai filem ini ialah ia sebuah filem dengan jalan cerita yang ringkas dan hanya memfokuskan kepada aksi. Filem-filem Rambo 1-3 mempunyai jalan cerita yang lebih menarik daripada filem ini. Pembinaan watak-wataknya tidak cukup meyakinkan, terutamanya watak ketua kartel yang hanya muncul beberapa kali. Sejujurnya, jika tidak kerana admin peminat filem Rambo filem ini akan kami anggap seperti filem aksi bajet yang dibikin hanya untuk memeriahkan dunia perfileman dan mengisi kekosongan antara tarikh-tarikh tayangan perdana filem-filem yang lebih hebat.

Namun, bak kata orang-orang putih, “for old times sake“, kami menonton filem ini dengan tidak meletakkan harapan tinggi dan hanya untuk melayan babak-babak aksinya. Sebenarnya, jika anda tak letakkan harapan tinggi dan hanya layan sahaja aksinya, anda tidak akan hampa.

Rambo Last Blood

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak aksi mendebarkan
  • Ada unsur kemanusiaan di dalam Rambo di mana hubungan beliau dengan Gabriele diketengahkan dalam filem ini

Negatif

  • Keganasan sedikit keterlaluan
  • Jalan cerita yang mudah
  • Pembinaan watak yang lemah

Rambo Last Blood

Kesimpulan

Filem Rambo Last Blood adalah antara filem-filem yang anda tonton semata-mata untuk melepaskan tekanan di hujung minggu. Jalan cerita dan pembinaan watak memang ke laut. Tetapi jika anda tidak meletakkan harapan tinggi dan hanya melayan sahaja aksi-aksinya, kami jamin anda tidak akan hampa.

Penilaian: 7/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *