Berikutan kejayaan Train to Busan memenangi hati penonton wayang dari segenap pelusuk dunia, tidak ganjil bahawa sequel filem tersebut, Peninsular menjadi antara filem yang dinanti-nantikan tahun ini. Tambahan pula, dalam musim COVID-19 ini, filem berasaskan epedemik sememangnya laku. Kami sempat menonton filem ini dan berikut adalah mendapat kami.
Peninsular – Sequel Tidak Mencapai Jangkaan
Dalam kekalutan negara Korea Selatan semasa virus misteri mula menyerang, Jung-suk, seorang Kapten dalam tentera Korea Selatan telah membawa lari keluarga kakaknya menaik kapal yang disediakan untuk membawa keluar rakyat Korea Selatan. Dalam perjalanan ke Jepun, kapal tersebut telah diarahkan ke Hong Kong dan pada masa itu, seorang penumpang yang rupa-rupanya sudah terjangkit bertukar menjadi zombie dan menyerang semua dalam bilik yang menempatkan kakak dan anak saudaranya. Semua dalam bilik tersebut mati.
5 tahun kemudian Jung-suk dan abang iparnya hidup melarat di Hong Kong. Seorang kongsi gelap menawarkan satu peluang untuk beliau mengubah hidupnya dan hidup senang lenang. Tugasannya ialah pergi ke Incheon dan mendapatkan satu lori kecil yang mengandugi berjuta-juta Dollar Amerika dan kemudian membawa lori tersebut ke pelabuhan Incheon untuk keluar.
Mudah? Untuk mengetahui kesudahan filem ini, tontonlah di pawagam berhampiran anda.
Review
Filem Peninsular sebenarnya bermula dengan baik. Belum 10 minit memasuki filemnya, sudah ada babak menyayat hati. Walaupun babak-babak yang menunjukkan kehidupan mereka di Hong Kong tidak banyak, namun penonton boleh memahami motivasi kumpulan 4 orang Korea Selatan itu untuk mengambil tugasan berbahaya mencari lori berisi wang di Incheon. Ralatnya tiba apabila memasuki dunia Incheon yang telah ditelan zombie itu.
Misi mendapatkan lori tersebut sangat mudah, malah jauh lebih mudah dari jangkaan. Namun, itu bukan kisahnya. Kisahnya ialah mengenai orang-orang sihat di Incheon yang telah ditinggalkan dan dilupakan dunia. Untuk memendekkan cerita, penceritaan mengenai latarbelakang kumpulan ini, terutamanya pemimpin-pemimpinnya tidak cukup untuk membuatkan penonton kisah sangat mengenai mereka.
Pertemuan Jung-suk dengan keluarga Min-jung juga sangat sekejap dan tidak banyak penceritaan mengenai latarbelakang mereka bagi membuatkan penonton kisah sangat mengenai watak Min-jung ini kecuali satu babak di permulaan filem ini (Spoiler: Min-jung ialah ibu yang ditinggalkan Jung-suk di jalanan 5 tahun dahulu apabila kereta mereka rosak dalam usaha melarikan diri dari Korea semasa virus mula merebak). Paling teruk adalah watak Kapten Seo yang sepatutnya menjadi ketua kumpulan jahat, tetapi beliau bukan sahaja tidak memainkan peranan yang besar dalam filem ini, malah latarbelakangnya juga tidak diterangkan dalam sangat dalam jalan cerita filem ini.
Jadi dengan kata lain, pembinaan watak dalam filem ini kurang memberangsangkan dan telah memberi kesan negatif kepada jalan ceritanya. Tidak banyak yang dilakukan pengarah untuk mendekatkan hati penonton kepada watak-watak dalam filem ini. Memang sangat berbeza berbanding Train to Busan.
Satu lagi perkara adalah banyak babak aksi, terutamanya babak melibatkan kejar-mengejar menggunakan kereta dilakukan dalam CGI. Tak mengapa penggunakan CGI, tapi nampaknya mereka lupa memasukkan elemen fizik dalam babak-babak tersebut. Kebanyakkan babak kejar mengejar menggunakan kereta jelas sekali tidak mengikuti prinsip fizik dan hasilnya ia langsung tidak nampak realistik. Untuk memburukkan keadaaan lagi, babak sebegini boleh dikatakan 25-30% daripada keseluruhan filem ini, jadi ia sememangnya memberikan impak negatif kepada penonton yang gemarkan babak aksi. Walaubagaimanapun, babak-babak bukan CGI seperti babak berlawan dan tembak menembak semuanya OK dan kami tiada komen negetif mengenainya.
Secara keseluruhannya, filem Peninsular yang pada awalnya nampak berpotensi menjadi filem yang baik, terasa pendek dan kosong akibatnya kurang pembinaan watak yang mencukupi bagi membuatkan penonton terasa dekat dengan watak-wataknya. Filem ini OK sahaja, namun kami tidak merekomen anda beli pop corn bersama filem ini kerana tidak begitu berbaloi.
Trivia: watak bernama “Jane” yang si atok gila selalu hubungi melalui radio merupakan seorang anggota tentera pengaman UN dari Malaysia. Sekurang-kurangnya ada juga lah penglibatan Malaysia dalam filem ini.
Positif vs Negatif
Positif
- Jika Train to Busan menceritakan mengenai sifat kebapaan, filem Peninsula pula mengenai sifat keibuan
- Babak lawan dan tembak menembak yang OK
- Asas jalan cerita yang menarik
Negatif
- CGI untuk babak kejar-mengejar menggunakan kereta memang ke laut dan tidak realistik
- Pembinaan karakter yang agak lemah
- Pelakon tambahan bukan korea sangat kaku (tapi memang perkara ini selalu dilihat dalam filem-filem Asia seperti filem Jacky Chan)
Kesimpulan
Kesimpulannya, filem Peninsular sememangnya gagal mencapai jangkaan kami untuk sebuah sequel filem Train To Busan. Mungkinkah kami telah meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk filem ini? Terlalu banyak mengenai watak-watak tidak dibongkarkan oleh filem ini menyebabkan penoton tidak terasa rapat dengan watak-watak tersebut. Jika anda bercadang untuk tonton filem ini, teruskan sahaja niat anda, namun turunkan sedikit harapan anda mengenainya supaya anda tidak kecewa.
Penilaian
Jalan cerita – 6/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 6/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 5/10