Filem Hanna adalah salah sebuah filem menarik yang admin tonton sebelum tertubuhnya laman web Wayangkini ini. Tetapi walaupun filem tesebut agak menarik dan menampilkan kelainan dalam temanya, kesudahannya agak tergantung dan seolah memerlukan sekuel. Kehadapan ke tahun 2019, filem ini diadaptasikan menjadi siri TV dan siri TV tersebut telah mula ditayangkan di perkhidmatan strim Amazon Prime Video dan baru menerbitkan musim kedua. Pembikinan semulanya dalam format siri TV dilihat lebih bersesuaian dengan jalan ceritanya. Di sini admin mengulas mengenai siri ini dan samada anda patut mula mengikuti siri ini atau tidak.
[Review] Hanna – Siri Aksi – Drama Remaja
Hanna mengikuti kisah seorang remaja yang merupakan hasil eksperimen CIA untuk menghasilkan askar yang paling sempurna di mana sebagai remaja perempuan, askar-askar ini biasanya tidak disangkakan sebagai askar oleh orang awam. Jika dalam filem asal, Hanna melarikan diri dari makmal rahsia CIA, namun dalam siri TV ini beliau dilarikan dari makmal CIA oleh bapa angkat dan ibunya ketika masih bayi. Ibunya mati dalam proses melarikan diri dan beliau dibela dan dilatih oleh bapa tirinya dalam hutan belantara Eropah yang juga bekerja dalam aliran askar upahan dalam usahanya untuk mendedahkan dan menjatuhkan organisasi CIA yang menjalankan operasi haram tersebut.
Ikuti kisah Hanna di Amazon Prime Video untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Secara umumnya, siri Hanna merupakan sebuah siri drama – aksi yang menggabungkan elemen risikan, organisasi gelap dan juga drama remaja yang sedang meningkat dewasa (coming of age drama). Jalan ceritanya walaupun mengenai organisasi gelap, risikan dan sebagainya, agak santai dan tidaklah terlalu berat. Ia boleh ditonton oleh segenap lapisan masyarakat berumur 16 tahun ke atas.
Musim pertama mengisahkan latarbelakang Hanna dan dilemanya dalam menyesuaikan diri dalam masyarakat. Memandangkan beliau tinggal bersama bapa angkatnya di dalam hutan Romania sejak bayi, berlatih teknik hidup dan berlawan sambil menyorokkan diri dari pihak CIA, beliau tidak berpeluang berinteraksi dengan masyarakat. Ia banyak memperlihatkan konflik dalam dirinya apabila terpaksa melarikan diri seorang diri ke dalam masyarakat. Di sini siri ini lebih ke arah drama remaja yang baru nak mengenal dunia, walaupun telah mahir dalam 1001 cara membunuh manusia dan menyamar diri. Pada penghujung musim pertama beliau menemui lokasi latihan askar remaja CIA dan berjaya meyakinkan seorang daripada mereka untuk melarikan diri bersamanya.
Musim kedua pula Hanna ditangkap oleh CIA dan kembali ke pusat latihan mereka. Dalam musim ini, Hanna banyak berinterasi dengan remaja dalam pusat tersebut dan konfliknya banyak berkisah kepada mencari tujuan hidup. Adakah beliau mahu terus berusaha menjatuhkan CIA atau hidup senang-lenang hidup sebagai askar remaja CIA. Babak aksi dalam musim ini kurang sedikit berbanding musim lepas namun masih cukup mendebarkan.
Secara keseluruhan, plot siri Hanna ini tidak berat dan sesuai bagi mereka yang inginkan filem aksi yang santai. Ia tidak seperti siri Dark yang perlu menggunakan 110% kapasiti otak untuk memahami jalan ceritanya. Plotnya juga tidak terlalu mudah dan ringkas hingga menjadi bahan lawak. Dengan kata lain ia seimbang antara aksi, jalan cerita dan drama. Mungkin kekurangan pada jalan cerita yang dapat dilihat pada siri ini ialah pacing-nya sedikit tergesa-gesa, mungkin kerana bilangan eposodnya hanya 8 episod. Admin berpendapat jalan cerita yang menampilkan kem latihan CIA patut dipanjangkan lagi bagi membina karakter-karakter baru serta hubungan antara hanna dan mereka dalam siri ini.
Walaubagaimanapun tidak semua dalam siri ini positif, lakonan watak utama Hanna sedikit kaku, tapi admin kurang pasti samada ia sememangnya perwatakkan Hanna atau beliau tidak mahir berlakon. Apa pun, aksi berlawannya memang mantap (tidak pasti samada beliau menggunakan “stunt double” atau tidak). Watak-watak lain dilakonkan dengan baik dan menepati jangkaan penonton.
Pada pendapat admin, kekuatan siri TV ini adalah tema aksi – pengintipan/organisasi gelap -drama remaja, yang digunapakai olehnya telah mengasilkan sebuah siri yang santai, tapi berisi dan boleh ditonton segenap lapisan masyarakat. Tetapi sepertimana kebanyakan filem/siri TV zaman ini, siri Hanna ini boleh dilihat sebagai agak feminist memandangkan kebanyakan wataknya wanita dan menonjolkan watak-watak wanita yang kuat, boleh berlawan dan sebagainya.
Positif Vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang santai dan berkesan
- Aksi mendebarkan dan tidak melampaui batas
Negatif
- Lakonan watak utama sedikit kaku
- bilangan episod yang sedikit (8 episod)
Kesimpulan
Kesimpulannya siri TV Hanna merupakan satu siri TV yang mampu menonjol kepada penonton yang ramai, tidak kira samada penonton lelaki atau perempuan, tua atau muda. Ia tidaklah sehebat filem/siri teori konspirasi yang lain, namun ia cukup menghiburkan untuk memastikan penonton tetap kekal mononton sehingga penghujung siri. Kami merekomen anda menonton siri ini dan musim-musimnya yang akan datang.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10
Nilai hiburan – 9/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10