Sebelum ini kami telah mengulas mengenai siri TV Jerman di Netfix bertajuk “Dark” di mana pada ketika itu ia baru tiba ke musim 2. Anda boleh baca review tersebut di sini. Kini, siri tersebut telah tiba ke musim ke 3 dan yang terakhir. Admin telah menonton konklusi siri sci-fi ini dan berikut adalah pendapat admin mengenainya setelah menonton musim 1 hingga 3.
Dark Musim 3 – Kesudahan Muktamad Siri TV Paling Kompleks
Menyambung dari musim 2, dalam musim 3 siri sci=-fi Dark menambah satu lagi lapisan kompleksiti dalam kisahnya dengan bukan sahaja menampilkan permainan masa, malah juga menampilkan permainan antara dua dunia selari yang berbeza. Satu dikuasai Adam dan satu lagi dikuasai Martha, atau juga dikenali sebagai Eva (Adam & Eve). Kedua-dua pihak ini ingin mengawal peristiwa-peristiwa dalam dunia masing-masing demi mencapai atau menghasilkan dunia yang mereka inginkan.
Kini, Jonas dan Martha versi 2019 perlu bergabung tenaga untuk memastikan dunia kembali ke status asal di mana tiada perubahan dilakukan kepada sejarah. Adakah mereka akan berjaya? Tontonlah siri ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Seperti disebut tadi, musim ketiga Dark memperkenalkan satu lagi lapisan kompleksiti di mana bukan hanya masa menjadi pembolehubah, malah dunia juga terbahagi kepada dua dunia selari. Ini bermakna penonton bukan hanya perlu mengikuti dan mengikuti status watak-watak pada zaman tertentu, namun juga dalam dua dunia berlainan. Dalam dunia kedua ini, Jonas tidak lahir kerana Mikkel Nielsen tidak memasuki portal masa dan kembali ke tahun 1986. Sebaliknya, Martha menjadi watak utama bagi dunia baharu ini. Oleh kerana kompleksiti ini, dinasihatkan anda menonton semula musim ke 2 jika anda telah lama meninggalkannya demi mengingatkan kembali status semua watak pada musim sebelumnya.
Pada pendapat admin, musim 3 Dark ini tidak kurang peningnya dengan musim-musim sebelumnya. Jadi anda tetap perlu mengingat status watak-watak dalam siri ini supaya anda memahami jalan ceritanya. Di Wikipedia terdapat satu jadual yang memudahkan anda mengingat status watak-watak dalam Dark. Mungkin anda boleh menggunakan teknik tersebut semasa menontonnya. Lihat Wikipedia.
Secara ringkas, musim ketiga memperkenalkan Martha tua (aka Eva) yang mempunyai hasrat yang bertentangan dengan Adam, menjadikan mereka seteru. Kedua-dua belah pihak menerangkan pandangan mereka tentang bagaimana mereka mahu memperbaiki dunia kepada Jonas versi 2019 dunia A dan Martha versi 2019 dunia B. Namun sampai ke satu tahap, golongan muda 2019 ini naik menyampah dengan mereka dan ingin mencari jalan mereka sendiri untuk menyelesaikan kemelut masa dan dunia yang mereka hadapi. Mereka juga menemui mengapa portal masa itu terjadi yang menjadi punca gangguan dalam garis masa dua dunia tersebut. Mereka pun berusaha untuk menyelesaikannya.
Hasilnya, satu kesudahan yang ironi dan muktamad. Satu cara yang anda boleh gunakan untuk menentukan samada anda mengikuti dan memahami jalan cerita dengan betul ialah dengan menonton babak terakhir dalam episod terakhir siri itu. Lihat pada watak-watak yang ada dalam babak tersebut. Jika anda boleh menerangkan mengapa hanya watak-watak ini yang tinggal dalam babak terakhir, maknanya anda telah berjaya mengikuti dan memahami jalan cerita Dark dengan betul. Anda patut diberi anugerah penonton cemerlang. Begitulah mencabarnya menonton dan memahami jalan cerita siri TV ini.
Positif
Positif
- Jalan cerita yang dalam dan mencabar kecerdasan minda
- Prop dan set yang ringkas tapi berkualiti dalam semua zaman.
Negatif
- Sangat, sangat kompleks. Tidak sesuai untuk mereka yang ingin menonton siri TV yang santai. Ia berada di tahap filem Inception dan Interstellar tetapi tidak banyak babak aksi
- Plot berkembang dengan sangat perlahan
Kesimpulan
Kesimpulannya Dark sememangnya satu siri bagi mereka yang suka merungkai plot-plot yang kompleks. Untuk memudahkan anda mengikuti jalan ceritanya anda memang perlu membuat satu jadual watak seperti dalam Wikipedia. Setiap perkembangan baru dalam plot memerlukan anda memahami peranan watak-watak yang telah ditampilkan dalam episod sebelumnya. Admin secara peribadi memang berasa puas kerana bejaya memahami babak terakhir tanpa perlu menonton semula episod sebelumnya semula. Namun, admin merasakan tidak ramai yang berpendapat seperti admin. Satu tip ialah, jika anda tidak mampu memahami jalan cerita melebihi satu musim, lebih baik anda jangan teruskan.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10
Nilai hiburan – 6/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 9/10