Baru-baru ini apabila admin buka app Netflix, filem pertama yang muncul di muka depan ialah Old Guard. Akibat terpengaruh dengan iklan, admin pun tengok lah filem tersebut. Pada mulanya admin sangka ia adalah siri TV, rupa-rupanya ia sebuah filem. Mudahlah kerja admin.
Old Guard – Satu Permulaan Kepada Siri Filem yang Menarik [Review]
Old Guard merupakan sebuah filem yang diadaptasi dari komik mengisahkan sekumpulan pahlawan immortal yang diketuai pahlawan wanita bernama Andy yang telah hidup sehingga beribu tahun dan tidak boleh mati. Sepanjang sejarah mereka telah terlibat dalam pelbagai konflik, menyelamatkan orang-orang yang penting dalam sejarah. Kini mereka menjadi askar upahan. Kisahnya menjadi rancak apabila terdapat syarikat farmasutikel yang ingin menangkap mereka untuk membuat kajian mengenai kekebalan mereka. Pada masa yang sama, setelah beratus tahun, kini muncul pula satu lagi ahli baharu dan mereka perlu melatihnya menjadi sebahagian dari mereka.
Apakah mereka dapat melarikan diri dari syarikat farmasutikel tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahan.
Review
Filem-filem mengenai immortals ini bukanlah suatu yang baharu. Biasanya apabila bercakap mengenai immortals ini, ia biasanya melibatkan filem-filem Vampire dan Warewolf. Namun filem Old Guard sedikit berbeza di mana immortals ini seperti manusia biasa, tetapi badan mereka boleh sembuh dalam kadar pantas walaupun telah mati. Dari segi kekuatan, mereka seperti manusia biasa, melainkan telah menerima latihan selama beratus-ratus tahun. Ini agak unik kerana mereka mempunyai kelemahan, iaitu mereka boleh ditangkap dan jika ditangkap, mereka boleh diseksa berkali-kali. Inilah yang terjadi kepada kawan Andy beratus tahun dahulu apabila ditangkap. Dari situ kita boleh mengetahui bahawa watak-watak protagonis utama bukanlah terlampau hebat hingga tidak boleh dikalahkan.
Seterusnya admin terpaksa memberi sedikit spoiler, iaitu filem ini merupakan filem pengenalan dan daripada kesudahan filem ini, ternyata akan ada sequel-sequel akan datang. Tetapi tidak pasti dalam bentuk siri TV atau filem. Daripada apa yang admin nampak, format bersiri lebih sesuai untuk filem ini.
Oleh kerana filem ini adalah filem pengenalan, ia memfokuskan kepada pengenalan watak-watak dan latarbelakang situasi mereka. Ini bermakna, jalan ceritanya sedikit perlahan, terutamanya di bahagian permulaan. Namun, setelah antagonis telah dikenalpasti dan mengorak langkah mereka, jalan ceritanya berkembang dengan lebih lancar dan babak-babak aksi yang mendebarkan ala John Wick menyusul. Bercakap mengenai jalan ceritanya, ia tidaklah terlalu gempak, namun tidak sekalipu teruk. Ia mampu membuatkan penonton kekal di tempat duduk sehingga ke penghujung. Babak-babak aksinya juga tidak keterlaluan, memandangkan ia tidak mempunyai bajet sebesar filem di layar perak. Itu boleh difahami.
Secara keseluruhannya, filem ini dilihat berpotensi menjadi satu siri filem yang menarik. Dalam filem ini secara spesifik, ia telah meletakkan asas jalan cerita dan latarbelakang Old Guard dan dijangka dalam sequel yang akan datang, para krew produksi boleh mempelbagaikan kreativiti untuk menghasilkan jalan cerita yang lebih berani dan luarbiasa berbanding jalan cerita filem kali ini yang walaupun menarik, tapi dilihat satu jalan cerita yang “selamat”.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita menarik dan tidak klise.
- Babak aksi dan berlawan yang mendebarkan.
Negatif
- Tidak/belum mencapai potensinya yang penuh.
- Terang-terang mempromosikan agenda LGBT, tambahan pula watak LGBT dilakonkan pelakon yang mempunyai nama Islam.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kami merekomen anda menonton filem Old Guard. Walaupun filem ini secara spesifik bukanlah yang paling gempak, memandangkan ia adalah filem pengenalan, ia telah meletakkan asas kepada satu siri filem yang menarik.
Penilaian
Jalan cerita – 7/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10