Setelah menonton trailer filem Parasite tempoh hari, admin sejujurnya tidak tahu bagaimana menterjemah apa yang dilihat dalam trailer tersebut. Apa yang admin tahu adalah ia memenangi anugerah. Tetapi itu cukup untuk admin tertarik menonton filem tersebut. Filem-filem Korea yang terkenal seperti filem Oldboy sememangnya filem yang deep dan epik dari segi susunan jalan cerita yang memang tidak dijangka. Itu yang kami harapkan dengan filem ini. Kami berkesempatan menonton filem ini di pawagam, dan ini pendapat kami mengenainya.
Parasite – Satu Filem Setara Filem Seperti Oldboy
Parasite mengisahkan sebuah keluarga miskin bandar terdiri dari Kim Ki-Taek (Bapa), Kim Chung-sook (Ibu), Kim Ki-woo (anak lelaki) dan Kim Ki-jung (anak perempuan). Keluarga ini merupakan keluarga penipu yang menipu orang lain untuk mendapatkan wang. Satu hari, rakan Ki-woo merekomenkannya kerja sambilan mengajar bahasa Inggeris kepada anak perempuan sebuah keluarga Park yang kaya-raya. Dengan bantuan Ki-jung yang pakar membuat sijil tiruan, beliau diterima untuk kerja tersebut. Maka bermulalah perancangan keluarga itu untuk mengikis wang keluarga Park.
Adakah mereka akan berjaya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Sebenarnya sedikit sukar untuk menentukan kategori filem ini. Secara umumnya ia sebuah komedi, namun ia juga sebuah filem misteri, thriller dan komedi gelap. Separuh pertama filem ini ia sebuah filem komedi kaki tipu biasa. Sangat straight forward. Tetapi sambil jalan cerita filem ini dibentangkan di hadapan kami sentiasa terfikir-fikir, “tentu ada lagi di sebalik filem ini”. Tambahan pula filem ini memenangi anugerah antarabangsa, tak mungkin ia semudah ini.
Ternyata kami tidak salah. Separuh kedua filem ini bertukar secara drastik kepada satu jalan cerita yang langsung tidak diduga. Kami tidak mahu memberi spoiler, namun cukup kami katakan putaran plot yang dihidangkan mempunyai sisi gelap yang tidak diduga dan paling tidak diduga adalah kesudahan filem ini yang sangat tragis. Sudahlah tidak duga, tragis pula. Ia memang memuaskan hati untuk ditonton, walaupun perasaan itu bercampur-baur dengan perasaan “WTFish did I just watch??”.
Cara penyampaian dan susunan babak filem ini juga dibuat dengan teliti dengan mengambil kira perincian yang paling kecil dan perincian kecil sebegini ada tujuannya sendiri yang kemudiannya didedahkan di dalam jalan cerita. Anda tidak langsung akan berasa bosan dan sentiasa berada dalam keadaan “alert” semasa menonton filem ini.
Ternyata filem Parasite ini bukan filem biasa-biasa. Sungguhpun demikian, jika anda jenis yang gemarkan filem aksi, ini bukan filem untuk anda. Ia tidak banyak babak aksi, sebaliknya lebih banyak drama dan komedi gelap. Ia lebih mirip sebuah filem indie berbanding filem arus perdana dalam erti kata jalan ceritanya tidak mengikut aturan tipikal sebuah filem arus perdana. Mungkin itu sebabnya ia sangat menarik.
Kami tak mahu memberi terlalu banyak spoiler jadi kami berhenti di sini sahaja. Ini pun kami rasa sudah banyak spoiler didedahkan.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang tidak dijangka
- Susun atur babak dan perhatian kepada perincian yang menakjubkan
- Kualiti lakonan yang mantap
Negatif
- Ada babak kontroversi bercumbu dengan gadis (mungkin bawah umur?)
- Kesudahan yang anda mungkin suka atau tidak suka, tiada di tengah-tengah
Kesimpulan
Filem Parasite bukan sebuah filem untuk penonton biasa-biasa. Ia sebuah masterpiece yang memang anda tidak akan jangka kesudahannya. Lakonan, jalan cerita dan kesudahannya yang tragis semuanya disusun dengan teliti untuk menghasilkan satu kisah yang unik sekali. Tontonlah dengan rakan yang sedikit, kerana anda perlu menghayati filem ini tanpa gangguan yang banyak.
Penilaian: 9/10
Komentar tambahan: Setelah menyelidik, watak kontroversi yang disebut di bahagian “Negatif”, gadis (pelakonnya) tersebut bukan bawah umur. Beliau berumur 20 tahun. Tetapi dalam filem ini beliau masih bersekolah tinggi dan kelihatan berumur 15 tahun.