Semasa filem Mortal Kombat yang asal ditayangkan, admin berumur sekitar tingkatan 1 dan pada masa itu ia telah menjadi sensasi di kalangan remaja-remaja dan pemuda-pemudi terutamanya yang meminati permainan video Mortal Kombat. Tambahan pula, sountracknya yang “catchy” juga menjadi siulan ramai untuk sektika. Untuk pengetahuan anda, permainan video Mortal Kombat menjadi kegilaan ramai pada ketika itu kerana grafiknya yang realistik untuk zaman tersebut serta keganasannya dari segi fatality dan brutality yang menjadi sebahagian dari permainan tersebut. Terdapat sequel bertajuk Mortal Kombat Annihalation, tetapi filem tersebut tidak mendapat sambutan.
Kini, pembikinan semula filem ini telah mula ditayangkan di pawagam dan admin berkesempatan menontonnya. Berikut pendapat admin mengenai filem Mortal Kombat 2021
Mortal Kombat 2021 – Pembikinan Semula Sebuah Cult Classic [Review]
Mortal Kombat 2021 mereupakan pembikinan semula filem Mortal Kombat asal yang diterbitkan pada tahun 1995. Ia mengisahkan dunia terbahagi kepada Outer World dan Inner World, di mana pahlawan-pahlawan dari dua dunia ini akan berlawan dalam perlawanan Mortal Kombat. Pihak mana yang menang 10 kali berturut-turut akan diberi hak untuk menjajah dunia lawannya.
Cole Young merupakan salah seorang dari pahlawan bumi dan hanya mengetahui hakikat ini apabila Jax dan Sonya Blade mencarinya. Jax dan Sonya dalam misi untuk mengumpul orang-orang bumi yang mempunyai tanda naga di badan mereka menandakan mereka pahlawan yang dipilih untuk menyertai Mortal Kombat.
Apakah pahlawan bumi akan berjaya mempertahankan bumi dari pihak Outer World yang diketuai Shang Tsung? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Jika anda tonton filem asal Mortal Kombat hari ini, anda mungkin akan memberi 1/10 bintang kepadanya, walaupun pada ketika ia ditayangkan sekitar 1995, peminat-peminatnya akan mengulang-ulang skrip Shang Tsung berbunyi, “Your Brothers’ soul is mine, you’ll be next!“. Jalan ceritanya untuk standard hari ini memanglah haprak (meminjam perkataan dari sarikata dalam filem MK 2021), lakonannya tidak memberangsangkan, malah skripnya juga cliche. Tetapi filem ini tetap popular kerana faktor populariti permainan videonya.
Sedang admin menulis review ini, rakan admin juga memberikan pendapat mengenai filem ini. Rupa-rupanya Mortal Kombat memang telah ada jalan ceritanya atau hikayatnya atau dalam bahasa Inggeris, ia disebut lore, yang menceritakan mengenai watak-wataknya dan sejarah perlawanan Mortal Kombat. Sejujurnya admin pun tak tahu mengenai lore ini. Admin sangka, setiap filem atau filem pendek yang dibikin, dibuat mengikut interpertasi pengarahnya dan berbeza dari filem seperti Lord of The Rings atau Harry Potter, MK tidak ada novel asli dimana lore nya termaktub.
Tetapi bagi admin yang tidak begitu kisahkan lore ini, admin rasa jalan cerita pembikinan semula Mortal Kombat 2021 kali ini lebih baik dari yang asal. Antara yang menarik adalah kisah di sebalik Jax, Sonya Blade dengan Kano ditampilkan dengan lebih mendalam dalam filem ini. Selain itu, bagaimana manusia yang terpilih untuk menyertai Mortal Kombat mendapat kuasa unik mereka juga diterangkan dalam filem ini. Dengan kata lain, filem ini mempunyai kisah di latarbelakang dan pembinaan watak yang lebih mendalam berbanding filem asal, sungguhpun jalan ceritanya dijamin tidak akan memenangi anugerah Oscar.
Cuma masih terdapat beberapa yang admin kurang minat. Antaranya adalah ia cuba menjadi sebuah francais yang boleh diambil serious, namun skripnya masih lagi kurang mantap. Contohnya, Hanzo Hasashi yang jelas sekali tidak bercakap bahasa Inggeris dalam filem ini, tampil memperkenalkan dirinya Scorpian. Masalahnya, jika beliau tidak berbahasa Inggeris, manakan pula dia akan memberikan dirinya satu gelaran nama dalam bahasa Inggeris. Ia nampak seperti perkara kecil, tetapi apabila anda menontonnya di layar perak, memang nampak tak kena. Dengan kata lain “cringe“.
Secara umumnya, koreografi berlawannya jauh lebih baik dari filem asal, cuma hanya Scorpion vs Sub Zero sahaja yang mempunyai koreografi yang cemerlang, manakala yang lain agak biasa dan ada kalanya hambar. Terutamanya babak di mana seorang “watak” yang dikalahkan dengan “flawless victory” oleh Kung Lau (tontonlah filem ini untuk mengetahui siapa watak tersebut). Ramai yang menjangkakan aksi-aksi yang ganas, memandangkan jenama Mortal Kombat memang sinonim dengan keganasan, namun walaupun masih terdapat banyak adegan ganas, banyak juga telah disunting keluar. Tidak pasti samada ia dibuat atas arahan Finas atau apa, tapi ia tidaklah merosakkan jalan cerita.
Kesimpulannya, jika anda peminat filem asal, anda perlu menonton filem ini dan admin rasa anda akan menyukainya, namun janganlah terlalu taksub dengan lore Mortal Kombat kerana anda mungkin kecewa dengan perubahan-perubahan yang dilakukan dalam jalan ceritanya (mengikut rakan admin yang mengikuti hikayat Mortal Kombat). Bagi bakal penonton yang belum pernah menonton filem asal, filem ini ok sahaja untuk ditonton, cuma ia bukanlah satu filem yang epik. Anda perlu sekurang-kurangnya ada minat dengan permainan video Mortal Kombat untuk membolehkan anda menghargai kisah di sebalik filem Mortal Kombat 2021.
Trivia: Watak Sub Zero dilakonkan Joe Taslim, seorang pelakon Indonesia yang terkenal dengan filem aksi berlawan yang hebat seperti dalam filem The Night Comes For Us yang pernah admin review tidak lama dahulu. Watak Scorpion pula dimainkan oleh Hiroyuki Sanda yang memang tidak asing dengan filem samurai dan ninja. Oleh sebab inilah admin rasakan babak-babak perlawanan antara Sub Zero dan Scorpion adalah yang terbaik antara semua babak lawan dalam Mortal Kombat 2021.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang lebih baik berbanding filem asal.
- Agak menghiburkan terutamanya kerana watak Kano
- Aksi yang menarik
Negatif
- Babak lawan yang menarik hebat hanyalah antara Scorpion dan Sub-Zero
- Skrip dan lakonan yang kurang memberangsangkan di beberapa ketika.
- Babak-babak tidak diolah dengan baik menghasilkan jalan cerita yang terlalu tergesa-gesa.
Penilaian
Jalan cerita – 7/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 6/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10