Filem-filem sejarah selalunya menghadapi delima di mana ia samada mahu dibikin dengan lebih bersifat akademik ataupun mahu dibikin lebih bersifat filem aksi. Filem Midway merupakan filem sejarah perang dunia kedua terbaharu yang sedang ditayangkan di pawagam dan tidak seperti filem Saving Private Ryan, filem ini mengisahkan watak-watak sebenar dari sejarah perang Pasifik dalam perang dunia kedua.
Midway – Keseimbangan Antara Sejarah dan Aksi
Midway membawa penonton mengenali aturan sejarah bagaimana terjadinya perang pasifik di antara Amerika dan Jepun. Ia menceritakan kejadian-kejadian yang berlaku sebelum serangan Pearl Harbour, selepasnya, sehingga kemenangan tentera laut Amerika di Midway. Kemenangan tersebut menjadi titik tolak kepada kemajuan angkatan tentera Amerika yang sedang dalam kekalahan dalam perang Pasifik akibat kelengkapan perang yang kurang maju berbanding Jepun.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang aturan yang membawa kepada peperangan Midway, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.
Review
Filem Midway merupakan filem sejarah yang mengikuti watak-watak penting dalam angkatan tentera Amerika sepanjang peperangan pasifik sehingga kemenangan di Midway. Kami memanggil filem ini filem sejarah kerana ia sememangnya memfokuskan kepada fakta-fakta sejarah tanpa memasukkan elemen cinta-cinta seperti dalam filem Pearl Harbour arahan Michael Bay. Malangnya itu juga menjadi kelemahannya. Mungkin kerana ingin memampatkan pelbagai fakta dalam masa 2 jam, dialog-dialognya kurang memberangsangkan dan babak-babaknya kadang-kala terlalu pendek dan tergesa-gesa.
Sungguhpun demikian, Babak-babak aksi dan peperangan pesawat pejuang tidak menghampakan. Semuanya dibuat dengan baik dan dramatik. Terutamanya babak-babak pesawat pengebom junam yang ingin mengebom kapal induk di mana babak-babak tersebut sangat dramatik dan kami berasa kecewa setiap kali bom tersasar dari sasaran. Ini sahaja sudah cukup untuk mengekalkan anda menonton filem Midway.
Tetapi satu lagi kelemahan yang kami lihat dalam filem ini ialah pembinaan karekternya. Walaupun filem ini dibintangi pelakon-pelakon handalan, namun, kerana penulisan skrip watak-wataknya lemah, ia memberi persepsi bahawa mutu lakonan pelakon-pelakon terlibat agak kurang memuaskan.
Secara keseluruhan, bagi kami, filem ini berjaya mengimbangkan fakta sejarah dengan aksi-aksi peperangan yang mendebarkan. Jika anda peminat sejarah perang dunia kedua, filem ini memang wajib tonton.
Positif vs Negatif
Positif
- Babak perang udara dan laut yang mendebarkan
- Seimbang dari segi fakta sejarah dan aksi
- Turut memberi gambaran seimbang peperangan pasifik dari pandangan pihak Jepun.
Negatif
- pembinaan karekter yang agak lemah
- skrip dialop yang kurang memuaskan
Kesimpulan
Walaupun filem Midway ini mempunyai babak-babak perang udara yang memang mendebarkan, anda akan lebih dapat menghayatinya jika anda peminat sejarah perang dunia kedua. Jika anda tahu sedikit sebanyak mengenai perang tersebut, anda akan memahami strategi perang, kelemahan dan keleihan angkatan tentera Amerika dan Jepun. Namun jika anda bukan pakar sejarah pun, anda juga dapat menikmati babak perangnya dengan seronoknya kerana ia tidak kerlalu akademik, sebaliknya lebih sedikit dari segi aksinya.