IT Chapter 2 – Filem Seram Yang Menghiburkan

Kami sememangnya menunggu kemunculan filem sequel IT Chapter 2 setelah menonton filem IT pertama sebahagian besar kerana nostalgia menonton filem asal sewaktu kecil dahulu. Seperti filem pertama, kami sudah tidak ingat banyak mengenai jalan cerita filem asal, namun kami ingat yang filem tersebut seram gila. Kami sempat menonton filem tersebut dan ini pendapat kami mengenai penutup kepada siri filem tersebut.

IT Chapter 2 – Filem Seram Yang Menghiburkan

Dalam IT Chapter 2, 27 tahun selepas kejadian dalam filem IT asal, ahli-ahli “The Loosers Club” dipanggil semula ke bandar asal mereka, Derry, selepas dipanggil oleh Mike setelah berlaku kematian yang dipercayai angkara Pennywise. Kali ini mereka perlu menghadapi semua masalah peribadi untuk mengalahkan Pennywise dengan muktamad.

Dapatkah mereka mengalahkan Pennywise? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

IT Chapter 2

Review

Perkara pertama yang harus diketahui oleh bakal penonton ialah anda mesti menonton filem pertama untuk mengetahui relevennya filem IT Chapter 2 ini. Ia adalah kesinambungan dari filem pertama. Tanpanya anda tidak akan faham filem ini.

Secara keseluruhan, filem ini, seperti filem pertama bukan setakat filem seram biasa. Ia juga mengisahkan nilai persahabatan dan keperluan bersatu antara rakan-rakan. Ia bukan sahaja memberikan perasaan seram, malah membangkitkan perasaan harapan dan nostalgia bersama rakan-rakan semasa kecil. Ini tentu akan memberi impak terutamanya mereka yang membesar dalam tahun 80an ke 90an.

Dalam filem sekuel ini, setiap ahli The Losers Club diuji dengan eksploitasi Pennywise terhadap masalah peribadi yang unik kepada setiap mereka. Mereka perlu mengatasinya secara sendiri dan kemudian bergabung tenaga untuk mengalahkan Pennywise.

Seperti juga dalam filem pertama, IT Chapter 2 tidak bergantung sepenuhnya kepada babak seram terkejut untuk menakutkan penonton. Ia lebih kepada seram psikologi yang jauh lebih menakutkan. Tetapi pada masa yang sama ia turut menampilkan elemen lucu dan mengasyikkan bagi mengimbangi ketakutan itu. Oleh sebab itu, kami percaya jika anda bukan 100% peminat filem seram, anda akan merasa terhibur menonton filem ini.

Kesudahannya juga satu kesudahan yang memuaskan hati. Ia memberi kepuasan kepada penonton yang telah setia menonton sejak dari filem pertama lagi. Oleh kerana itu kami sangat merekomen anda menonton filem ini jika anda telah menonton filem pertama. Tetapi harus diketahui bahawa filem ini lebih panjang dari filem biasa iaitu sepanjang 171 minit (9 minit kurang dari 3 jam).

Trivia: Ada satu babak di mana James McAvoy hampir dilanggar sebuah kereta Hyundai. Kami rasa babak tersebut adalah babak spontan dan tiada dalam skrip, namun beliau terus berlakon seperti biasa. Jika anda telah menonton filem ini, berikan pendapat anda mengenai babak tersebut. Adakah ia dalam skrip atau memang spontan?

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menarik dan menginspirasikan
  • Kesudahan yang memuaskan hati penonton dari segi cara ia menutup kisah IT
  • Lakonan hebat para watak utama

Negatif

  • Sedikit panjang (mungkin bukan satu negatif pun)
  • watak Bowers seperti tidak diperlukan dan tidak begitu memainkan peranan besar dalam jalan cerita

IT Chapter 2

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem ini sememangnya sebuah filem seram yang menghiburkan. Secara peribadi saya lebih terasa terhibur dari seram. Sememangnya siri filem IT bukan setakat filem seram biasa, sebaliknya menekankan lebih nilai persahabatan daripada sekadar sebuah filem seram. Tontonlah filem ini bersama rakan-rakan atau berseorangan pun tidak salah. Ia bukan sebuah filem keluarga, itu sudah pasti, lebih-lebih lagi apabila ia memaparkan kematian kanak-kanak di tangan Pennywise yang tentu akan menakutkan kanak-kanak jika ditonton.

Ia juga sesuai ditonton jika anda bukan peminat filem seram. Seram ialah medium filem ini menceritakan kisah persahabatan antara ahli The Losers Club.

Penilaian: 7/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *