Angry Birds merupakan salah satu permainan video mobile yang paling popular tidak lama dahulu. Kejayaannya di pentas telefon pintar kemudian dimanfaatkan untuk melancarkan sebuah siri animasi atas talian dan kemudian sebuah filem animasi 3D Angry Birds Movie. Kini sequel kepada filem tersebut, Angry Birds Movie 2 telah ditayangkan sejak dua minggu lalu. Kami diberi peluang menonton filem ini dengan tajaan laman web filem pendek viddsee.com. Jika anda ada masa terluang, layarilah laman web mereka yang mempunyai ribuan filem pendek dari sekitar Asia.
Angry Birds Movie 2 – Lebih Kurang Sama Dengan Filem Pertama
Dalam filem Angry Birds Movie 2, Red dan rakan-rakannya yang menjadi wira dalam filem pertama, kini menjadi pujaan ramai di pulau burung di mana mereka sering menjadi sasaran serangan kumpulan khinzir dari pulau bersebelahan. Red meletakkan dirinya sebagai orang bertanggungjawab untuk mempertahankan pulau berkenaan. Sehinggalah satu hari pihak khinzir dan burung mula diserang oleh pihak ketiga yang tinggal di pulau ais nun jauh di ufuk.
Demi mempertahankan pulau-pulau mereka, pihak burung dan khinzir mengadakan gencatan senjata dan bergabung tenaga untuk menyiasat dan kemudian mengalahkan pihak ketiga yang menyerang mereka seterusnya menggugat keamanan kedua-dua belah pihak.
Dapatkah mereka mengalahkan pihak yang menggugat keamanan mereka itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Sejujurnya tidak banyak boleh dikatakan mengenai filem Angry Birds Movie 2. Secara ringkas jalan ceritanya sekadar rutin filem-filem animasi dan disasarkan kepada kanak-kanak dan remaja. Walaubagaimanapun sebahagian besar lagu-lagu dalam babak-babak lucunya merupakan rujukan dari lagu-lagu 80an dan 90an, jadi mungkin generasi masa kini tidak dapat memahami sepenuhnya kaitan lagu dan babak lucu tersebut.
Bercakap mengenai lawak jenakanya, secara umumnya lawak jenakanya lucu cuma beberapa daripadanya bak kata orang putih “trying too hard“. Namun kami percaya, bagi kanak-kanak, mereka tidak akan perasan perkara ini dan akan terhibur tidak kira apa pun.
Sememangnya jalan cerita filem ini “selamat”, bermakna ia tidaklah menggunakan apa-apa formula baharu dan menggunapakai formula filem animasi standard iaitu; hero mempunyai masalah peribadi, kemudian menghadapi cabaran dan kemudian berjaya mengatasi masalah tersebut. Mudah sahaja.
Tontonlah filem ini bersama anak-anak dan rakan-rakan anda kerana filem ini hanyalah sebuah filem santai untuk melepaskan tekanan setelah seminggu bekerja.
Positif vs Negatif
- Menghiburkan
Negatif
- Mengikuti template piawai filem animasi 3D, tiada apa yang istimewa
- Banyak rujukan kepada muzik 80an – 90an, generasi kini mungkin tidak berapa menghayati
Kesimpulan
Filem Angry Birds Movie 2 hanyalah sebuah filem animasi untuk hiburan semata-mata. Tiada apa yang begitu memberangsangkan atau unik mengenainya. Namun begitu ia tetap menghiburkan dan wajar ditonton bersama anak-anak dan rakan-rakan (selagi rakan tersebut berjiwa muda).