Guns Akimbo merupakan salah satu filem yang tidak dijangka tayangannya, tambahan pula promosi filem ini agak lewat dan tidak menyerlah. Apa pun, kami sempat menonton filem ini baru-baru ini dan berikut merupakan pendapat kami mengenati filem ini.
Guns Akimbo – Filem Funky Berasaskan Media Sosial
Guns Akimbo mengisahkan Miles, seorang programmer yang anti sosial, namun merupakan seorang keyboard warrior yang hebat di media sosial. Satu hari beliau tidak berpuas hati dengan seorang pengguna di media sosial terbesar di negaranya, Skizm, lalu menyumpahnya dengan dahsyat.
Skizm merupakan satu platform di mana ia menyiarkan perlawanan berani mati antara dua pihak demi hiburan berjuta penontonnya. Pada ketika itu, seorang wanita muda bernama Nix merupakan juara platform berkenaan dan beliau tidak pernah dikalahkan.
Tanpa disedari, pengguna yang Miles maki tempoh hari merupakan admin kepada platform Skism, Riktor. Sebagai balas dendam, Riktor dan konco-konconya datang ke rumah Miles dan menculiknya. Mereka memasang dua laras pistol di kedua tangannya dan memaksa bilau berlawan dengan Nix jika tidak mahu dibunuh. Maka bermulalah perlawanan antara Nix dengan Miles, yang merupakan seorang yang pasif dan tidak sukakan keganasan.
Apakah akan terjadi kepada beliau? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Filem bertemakan battle royale bukanlah satu tema yang baharu dan telah banya diketengahkan dalam filem seperti Battle Royale dan Gamer. Apa yang membuatkan filem in lain sedikit (dan lucu) adalah pistol yang dipasang pada kedua belah tangan Miles yang menhadkan apa yang boleh dilakukannya selain menembak.
Jalan ceritanya juga agak mudah dijangka dan putaran plotnya juga terlalu mudah untuk diagak. Ternyata filem ini hanyalah sebuah filem aksi dan lawak jenaka semata-mata. Ia tidak membawa banyak pembaharuan ke dalam genre filem seperti ini.
Bercakap mengenai babak aksinya, ia menampilkan penggunaan sudut kamera yang agak luar dari kebiasaan, kononnya ingin memberi penampilan “funky” kepada filem ini. Tetapi kami rasa gerakan kamera dalam babak aksinya kadang-kala keterlaluan dalam gerakannya hingga memeningkan kepala penonton. CGI yang digunakan juga agak kurang memberangsangkan dan memberikan penampilan kartun.
Namun secara keseluruhannya, filem ini merupakan filem yang santai dan tidak patut dinilai secara terlalu kritikal. Matlamatnya hanyalah untuk menghiburkan penonton. Ia tidak mempunyai plot atau jalan cerita yang canggih, cuma ada babak aksi dan lawak jenaka yang menghiburkan.
Positif vs Negatif
Positif
- Plot dan jalan cerita yang mudah dan santai.
- Babak aksi dan lawak jenaka yang juga menghiburkan
Negatif
- Tidak membawa apa-apa perkara baru
- Jalan cerita yang boleh dijangka
Kesimpulan
Filem Guns Akimbo merupakan filem yang santai dan tidak perlu diambil serious. Selagi anda patuh kepada syarat itu, anda akan terhibur menontonnya. Jika anda minat filem berasaskan komik juga, anda akan menyukai filem ini yang mempunyai banyak unsur-unsur komik. Tetapi jika anda mengharapkan sesuatu yang lebih deep, anda akan hampa.
Penilaian
Jalan cerita – 6/10
Lakonan/Rekaan watak-watak –7/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10