Gravity [Review]

Biasanya filem yang berkaitan dengan angkasa selalunya bertemakan Sci-Fi, di mana samada terdapat makhluk asing hendak menyerang bumi ataupun makhluk asing hendak berkawan dengan manusi. Gravity merupakan sebuah filem survival angkasa lepas di mana dua orang angkasawan NASA telah terperangkap di angkasa lepas selepas kapal angkasa mereka terkena serpihan berkelajuan tinggi.

Gravity

Gravity [Review]

Setelah pertama kali menonton trailer Gravity beberapa bulan lalu, saya memang teringin menonton filem ini kerana trailernya sangat ringkas, namun menimbulkan pelbagai persoalan dan kini setelah menontonnya, saya berasa puas hati dengan filem ini.

Filem ini mengisahkan sekumpulan angkasawan NASA yang berada di angkasa untuk menaiktaraf teleskop Hubble. Sedang mereka bekerja ke atasnya, mereka mendapat berita pihak Russia telah menembak sebuah satelit mereka bagi tujuan pemusnahan. Malangnya serpihan daripada satelit tersebut telah menjana reaksi berantai dan menyebabkan serpihannya berlanggar dengan kapal angkasa mereka, Explorer.

Hanya dua yang terselamat, Dr. Ryan Stone (Sandra Bullock) dan Matt Kowalski (George Cloony). Dramanya bermula dengan dua watak ini cuba menyelamatkan diri. Bagaimanakah ia akan berakhir? Tontonlah filem ini di Wayang berhampiran anda.

Jalan Cerita

Pada mulanya, saya terfikir, kalau terperangkap di angkasa tanpa kapal angkasa, tentunya mati. Namun, filem ini memaparkan ada peluang dan cara untuk menyelamatkan diri dan seluruh filem ini adalah untuk membuktikannya.

Sejujurnya, jalan ceritanya hanya mudah dengan para survivor sudah dapat memikirkan cara untuk menyelamatkan diri sejak awal filem ini. Kekuatannya bukan pada jalan cerita, tetapi bagaimana pengarah mengolah babak-babak supaya lebih mendebarkan dan memberi kesan kepada emosi penonton.

Pengarah  bijak menggunakan sudut pandangan kamera untuk memberikan penonton perasaan tertekan yang sama dialami oleh angkasawan yang sememangnya berada dalam keadaan cemas.

Saya rasa, tanpa penggunaan sudut kamera yang kreatif, filem ini akan hambar. Anda juga akan terfikir-fikir bagaimana dia membikin filem yang memaparkan angkasawan dalam keadaan graviti sifar kerana sudut kamera tersebut agak sukar dibikin.

Seperti juga perasaan tertekan angkasawan yang dikongsi penonton, mereka juga akan turut merasa gembira apabila angkasawan telah berjaya menyelamatkan diri. (oops, spoiler?). Inilah kekuatan filem tersebut.

gravity 2

Lakonan

Menariknya, hanya terdapat 2 orang pelakon dalam filem ini, selebihnya hanya melakonkan suara di radio. Sungguhpun begitu, apa lagi yang boleh diharapkan daripada dua pelakon handal Sandra Bullock dan George Cloony selain lakonan terbaik. Segala emosi panik, putus asa dan semangat untuk hidup dipaparkan dengan sempurna dalam filem ini.

Kesimpulan

Filem thriller survival Gravity sangat disyorkan kepada anda yang gemarkan filem yang mendebarkan. Filem ini boleh dikatakan filem aksi di samping genre thriller kerana aksi-aksi yang dipaparkan boleh menandingi Mission Impossible.

IMDB

LAKONAN                           8/10
AKSI/JALAN CERITA   7/10
PRODUKSI                          8/10
KESELURUHAN               8/10

, , ,

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *