Rush merupakan kisah benar mengenai persaingan antara dua lagenda Formula satu pada zaman 70an iaitu Niki Lauda dan James Hunt. Ia mengisahkan suka duka kehidupan seorang pelumba Formula 1 pada ketika itu.
Rush [Review]
Filem Rush arahan Ron Howard merupakan kisah benar mengenai persaingan antar dua pelumba Formula 1 zaman 70an iaitu Niki Lauda dan James Hunt. Filem ini menyorot kejohanan Formula 1 pada tahun 1976 di mana kedua-dua musuh tradisi ini berada dalam pasukan Ferrari (Niki Lauda) dan McLaren (James Hunt) di mana pada ketika Lauda sedang mendahului kejohanan, beliau terlibat dalam kemalangan ngeri yang menyebabkan seperuh mukanya melecur teruk.
Filem ini menceritakan kebangkitan semula Niki Lauda daripada kemalangannya dan bagaimana James Hunt akhirnya menjadi juara Formula 1 tahun 1976.
Jalan Cerita
Sebagai sebuah filem sejarah atau biografi, jalan ceritanya telahpun diketahui umum kerana merupakan fakta sejarah. Namun, yang menariknya bagaimana pengarah berjaya mengolah dan mendramatisasikan kisahnya menjadi sebuah filem yang menarik. Dari segi itu, pengarah ROn Howard sememangnya telah berjaya menjadikan kisah dua pelumba ini sebagai satu kisah epic yang menarik.
Bukan itu sahaja, beliau juga telah berjaya membikin beberapa babak dalam perlumbaan mereka sama seperti apa yang dilihat daripada video-video dan siaran TV pada ketika itu. Video di bawah merupakan satu dokumentari mengenai Niki Lauda dan James Hunt. Anda boleh membandingkan filem-filem lama perlumbaan formula 1 dengan babak perlumbaan yang dipaparkan dalam filem Rush. Hampir serupa.
Lakonan
Dari segi lakonan, Daniel Brühl (Lauda) dan Chris Hemsworth (Hunt) berjaya membawa watak masing-masing dengan baik dan kuat. Perbezaan personaliti antara kedua-dua watak ini memang ketara dan berjaya diketengahkan oleh kedua-dua pelakon utamanya.
Lauda merupakan seorang yang sangat analitik dan teliti dalam menala keretanya. Itulah kekuatannya dan sebab itulah beliau menang dalam perlumbaannya. Malangnya dia mempunyai personaliti yang sangat dibenci orang. Watak ini dibawa dangan baik dan anda akan mula berasa benci kepadanya pada satu tahap dalam filem ini.
James Hunt pula mempunyai watak yang bertentangan. Dia merupakan seorang playboy dan berlumba dengan naluri pelumba dan tidak begitu teknikal seperti Lauda. Personalitinya itu juga menyebabkannya bercerai dengan isterinya. Watak ini juga dibawa dengan baik, namun tidak sebaik Niki Lauda.
Kesimpulan
Filem ini merupakan satu filem wajib tonton di pawagam, walaupun anda bukan peminat formula 1. Pengarah berjaya mengolah kisah benar ini menjadi satu filem yang penuh dramatik dan semangat kesukanan. Pada penghujung filem ini, pasti anda turut sama bersorak dengan kemengangan James Hunt.
LAKONAN 8/10
JALAN CERITA 8/10
PRODUKSI 8/10
KESELURUHAN 8/10