Sememangnya filem Godzilla vs Kong merupakan antara filem yang dinantikan admin sejak tahun lepas lagi. Tetapi walaupun admin telah menontonnya minggu lepas, kerana pelbagai kerja dan tugasan sepanjang minggu, admin hanya berkesempatan menulis review hari ini. Jadi, berikut pendapat admin mengenainya.
Godzilla vs Kong – Perlawanan Antara Seteru Lama [Review]
Kisah Godzilla vs Kong berlangsung 5 tahun selepas Godzilla mengalahkan King Hidora dan pada masa itu, organisasi Monarch telah mengepung Pulau Skull (atau Pulau Tengkorak, mengikut sarikata yang disiarkan) bagi memastikan King Kong tidak meninggalkan pulau tesebut.
Sementara itu syarikat Apex Cybernetics merupakan syarikat sibernetik yang terbesar di dunia pada ketika itu mempunyai satu fasiliti besar di wilayah Penscola di Amerika. Ahli teori konspirasi Bernie Hayes yang menyamar sebagai pekerja di situ mengesyaki sesuatu yang tidak kena dibina di fasiliti tersebut. Tanggapan itu lebih kuat apabila Godzilla menyerang dan memusnahkan fasiliti tersebut tanpa provokasi.
Pada masa yang sama, syarikat tersebut mendekati saintis pelopor teori “hollow earth” di mana ia menyatakan terdapat ruangan kosong di dalam bumi di mana terdapat satu dunia lain di mana semua raksasa Titan berasal. Ruang kosong ini boleh dicapai melalui satu rangkaian terowong. Hanya seorang/seekor Titan dapat menunjukkan jalan melalui terowong itu ke dunia tersebut. Dengan itu, mereka memerlukan King Kong.
Tetapi apakah niat sebenar Apex Cybernetics untuk menemui dunia Hollow Earth itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Sebelum filem ini disiarkan, laman sosial panggung wayang selalu menanyakan persoalan, Godzilla vs Kong, siapa akan menang? Admin menyokong Kong dan nampaknya sokongan Admin tidak sia-sia. King Kong sememangnya Titan yang mempertahankan manusia dari raksasa, apatah lagi beliau boleh berkomunikasi dengan Jia melalu bahasa isyarat. Tetapi adakah beliau mengalahkan Godzilla? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Secara umumnya filem Gozilla vs Kong pada pendapat admin, menyamai rentak filem-filem Godzilla dan Kong, di mana ia memberikan gambaran bumi diancam raksasa dan manusia pula hendak masuk campur. Secara jujurnya ia tidaklah membawa apa-apa perkara baharu ke dalam francais ini, kecuali teori Hollow Earth di mana asalnya King Kong. Dengan kata lain, jalan ceritanya boleh diagak.
Jadi, akhirnya admin lebih menilai filem ini dari segi aksinya dan ia tidak menghampakan. Tambahan pula King Kong mendapat senjata kapak ajaib untuk melawan Godzilla. Aksi berlawannya memang menarik dan mendebarkan, cuma mungkin kesudahannya tidaklah mencapai tahap yang penonton harapkan, walaupun ia menutup kisah Titan Universe. Admin juga tidak pasti samada akan ada sequel atau tidak.
Kesimpulannya, jika anda sudah menonton semua filem Godzilla dan King Kong, filem Godzilla vs Kong adalah filem wajib tonton supaya anda dapat mencapai satu penutup terhadap filem-filem yang telah anda tonton sebelum ini. Jika anda tonton filem ini tanpa menonton filem sebelumnya, anda mungkin tidak dapat menghargai kedudukan filem ini dalam francais Titan Universe. Apa pun, admin cadangkan tengok video Youtube ini dahulu sebelum menonton filem ini….Sebagai “refresher“.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang mudah difahami dan cukup menarik untuk ditonton sehingga habis
- Penutup yang muktamad
- Aksi berlawan yang mendebarkan
Negatif
- Jalan cerita boleh dijangka.
- Banyak pelanggaran hukum fizik dilakukan
Penilaian
Jalan cerita – 7/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10