1917 – Satu Pengembaraan Bersama Askar WW1

Sejujurnya filem 1917 merupakan salah satu filem yang kami tunggu-tunggu tahun ini, apatah lagi dengan pencalonannya dalam Academy Awards dalam kategori paling banyak dalam sejarah. Admin juga telah menonton video-video di belakang tabir bagaimana mereka menghasilkan sebuah filem “one shot” dan pelbagai usaha yang mereka lakukan bagi menjayakannya. Memang kami berikan tabik hormat kepada pembikin atas usaha mereka dan komitmen  mereka yang tinggi kepada pembikinan filem 1917.  Kami sempat menonton filem ini di pawagam IMAX dan kami ingin berkongsi pendapat kami mengenai filem ini.

1917 – Satu Pengembaraan Bersama Askar WW1

Filem 1917 mengikuti kisah Lans Korporal Blake dan Schofield yang ditugaskan oleh General Erinmore untuk menyampaikan arahan memberhentikan serangan kepada sebuah lagi regiment tentera yang berada di sebalik kawasan musuh. Arahan itu bakal menyelamatkan lebih kurang 1600 orang askar regimen tersebut yang bakal diserang hendap oleh pasukan tentera Jerman. Mereka hanya mempunyai masa satu hari untuk merentasi kawasan musuh untuk mencapai regimen tentera tersebut yang juga dianggotai abang kepada Lans Korperal Blake. Adakah mereka akan berjaya menyampaikan arahan tersebut sekaligus menyelamatkan nyawa askar dalam regimen tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahan filem ini.

Review

Filem berasaskan one shot bukanlah satu perkara baharu. Filem Birdman juga dibikin berdasarkan konsep yang sama dan admin juga pernah menonton beberapa filem one shot yang dibikin oleh pembikin bebas. Apa yang dimaksudkan dengan filem one shot adalah filem yang dirakam atau lebih tepat dibikin seolah ia dirakam dengan satu syot sahaja. Sebenarnya ia tidak dirakam dalam satu syot, tetapi pengarah bijak menyunting filem untuk menampakkan seolah ia dibikin dalam satu syot.

Daripada filem one syot yang pernah admin tonton, admin boleh menyimpulkan bahawa kelebihan membikin filem dengan cara ini ialah penonton lebih merasakan seolah mereka adalah sebahagian daripada filem tersebut dan mengikuti protagonis dalam pengembaraan mereka. Pandangan kamera yang tidak putus sepanjang filem juga menguatkan lagi perasan tersebut. Keburukannya pula ialah dalam filem peperangan sebegini, penonton mungkin sukar mengelakkan “motion sicknes” akibat gerakan kamera yang berterusan dan penstabilan kamera berterusan yang sukar dilakukan kerana situasi rakaman yang berubah-ubah. Mujur filem ini tidak begitu teruk kesan “motion sickness” padanya.

1917

Pertama sekali harus diingatkan bahawa perang dunia pertama (WW1) berbeza dari perang dunia kedua (WW2) di mana WW1 lebih fokus kepada peperangan berasaskan parit ke parit (Trench Warfare). Pihak Berikat dan Jerman saling bertukar-tukar dalam penguasaan wilayah dan tentera kedua belah pihak menyerang secara “kamikaze” merentasi padang-padang menujuk ke parit pihak lawan. Sangat ramai anggota tentera yang terkorman sia-sia. Apa yang admin cuba sampaikan ialah filem WW1 ini tidak mempunyai aksi peperangan yang penuh aksi seperti filem WW2. Jadi jangan berharap babak-babak penuh aksi yang banyak .

Sebaliknya filem ini mengajak penonton menginsafi kesan buruk perang ke atas sifat kemanusiaan dan segala kemusnahan harta benda serta nyawa yang dibawa oleh peperangan. Ia lebih memerlukan penghayatan daripada pemikiran. Apa yang pasti, persekitaran WW1 yang diwujudkan sememangnya berkesan, dengan mayat-mayat bergelimpangan di “no mans land” dan kemusnahan yang dilakukan tentera Jerman berdasarkan “scorched earth policy” mereka, di mana sebelum berundur, mereka memusnahkan semua infrastruktur yang boleh mendatangkan faedah kepada pihak lawan. Haiwan-haiwan ternakan juga ditembak mati.

Lakonan semua pelakon hraus juga diberi pujian dalam mewujudkan suasana peperangan WW1 yang sebenar. Ironinya dalam filem ini, watak yang kami jangkakan menjadi hero, rupa-rupanya bukan. Sebaliknya, watak yang kami sangkakan akan menjadi watak sampingan, menjadi watak utama. Cuma satu kekurangan mengenai filem ini ialah durasinya yang pada penonton agak pendek dan kekurangan babak-babak lebih yang mempunyai isi cerita. Namun, mungkin kerana babak-babaknya memerlukan penghayatan, semuanya dibikin dengan panjang dan agak perlahan. Maklumlah, ia mahu membuatkan penonton berasa mereka sedang mengembara bersama para protagonis.

Secara keseluruhannya, jika anda mengharapkan filem penuh aksi seperti Saving Private Ryan, mungkin anda akan hampa, tetapi jika anda suka menonton filem Dunkirk, kemungkinan besar anda akan sukakan filem 1917 juga, walaupun ia kurang beraksi dari Dunkirk.

1917

Positif vs Negatif

Positif

  • Sinematografi yang terbaik
  • berjaya memaparkan kesan-kesan WW1 dengan realistik
  • Lakonan yang terbaik dari watak-watak utamanya
  • Kesan bunyi yang hebat jika anda menonton di IMAX

Negatif

  • Penonton mungkin terasa tidak puas menonton kerana isi filem yang kurang dari dijangkakan.
  • Sesetengah babak menyebabkan motion sickness (yang minimum).

1917

Kesimpulan

Filem 1917 adalah sebuah filem yang memerlukan lebih penghayatan dan bukan setakan menonton sahaja. Ia mempunyai babak-babak yang panjang dan perlahan, dan beberapa babak aksi yang agak mendebarkan. Tapi secara keseluruhan, ia bukanlah sebuah filem aksi semata-mata. Jadi, bagi mereka yang inginkan filem aksi tanpa berfikir, filem ini mungkin tidak sesuai bagi anda. Mereka  yang patut menonton filem ini ialah mereka yang minat sejarag perang dunia WW1 dan WW2 serta gemarkan pengembaraan.

Penilaian: 8/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *