The Journey [Review]

Ramai yang memberi komen yang baik mengenai filem The Journey arahan Chiu Keng Guan dan mengatakannya sebagai filem Malaysia terbaik setakat ini. Setelah hampir sebulan ditayangkan, akhirnya saya diberi kesempatan untuk menonton filem drama romantik ini.

The Journey

The Journey [Review]

The Journey mengisahkan Bee dan tunangnya Ben, seorang ahli muzik dari UK yang pulang ke kampung halaman Bee di Cameron Highlands untuk mendapat restu bapa Bee (Ah Chuan) untuk berkahwin.

Ayah Bee, Chuan, seorang yang traditional dan tegas dengan tradisi Cina dan ini dirasakan menyusahkan bagi Ben. Tetapi demi Bee, Ben telah cuba bertolak ansur dan memahami budaya Cina untuk mendapat restu bapanya.

Untuk itu, Ben ditugaskan untuk menghantar kad jemputan secara peribadi kepada rakan-rakan sekolah bapanya. Ini memerlukan mereka, Ben dan Ah Chuan menempuhi perjalanan dengan motosikal dari Cameron Highlands sehingga ke Penang untuk berjumpa setiap rakan bapanya yang ingin dijemputnya. Di situlah Ben sedikit demi sedikit mempelajari tentang budaya Cina.

The Journey

Jalan Cerita

Jalan cerita filem ini secara umumnya mudah difahami dan dipenuhi konflik berkaitan pertembungan dua budaya, dalam kes ini pertembungan budaya barat dan Cina. Ia juga menyelitkan babak-babak yang mencuit hati dan mengasyikkan serta mengingatkan kita tentang zaman kanak-kanak dan juga bagaimana pada usia lanjut, kehidupan amatlah rapuh dan masa perlu dihargai dengan sebaiknya.

Ia juga memaparkan banyak aspek budaya Cina sepanjang perjalanan Ben dan bapa mertuanya mengedarkan kad jemputan perkahwinan. Walaubagaimanapun, filem ini tidak memaparkan secara mendalam tentang makna dan kisah di sebalik perayaan dan acara kebudayaan Cina yang dipaparkan, jadi saya merasakan peluang ini telah disia-siakan pengarah dalam usaha menguatkan pemahaman budaya antara kaum di Malaysia.

The Journey

Oleh sebab itu juga kemungkin bagi mereka dari kaun selain Cina mungkin kurang dapat menghayati filem ini secara mendalam sekiranya mereka tidak bergaul rapat dengan rakan Cina. Saya secara peribadi banyak bergaul dengan rakan Cina semasa di sekolah dan di universiti, jadi untuk memahami dan menghayati filem ini tidak menjadi masalah.

Memahami dan menghayati adalah dua perkara berbeza. Mungkin sesetengah orang akan memahami filem ini dan mungkin sesetengah lagi akan dapat memahami dan menghayati filem ini.

Tapi paling kurang pun anda dapat menonton satu filem yang menghiburkan dan samada anda boleh menghayatinya atau tidak, anda tentu akan dapat memahaminya dan ia sudah cukup untuk pergi menonton filem ini.

The Journey

Lakonan

Lakonan pelakon-pelakon utama pada awalnya agak kaku, tetapi perlahan-lahan keserasian antara watak dicapai dan penonton akan dapat menerima watak-watak tersebut dengan gembiranya. Mungkin agak musykil mendengar loghat bahasa Inggeris Ah Bee yang agak teruk untuk seseorang yang telah tinggal lama di UK.

Selain itu, pelakon-pelakon tambahan juga perlu banyak penambahbaikan, namun itu tidak memberikan banyak kesan kepada kepuasan menonton filem ini secara keseluruhan.

Kesimpulan

Kebaikan:

  • Sinematografi yang terbaik dalam sebuah filem Malaysia.
  • Susun atur kandungan filem yang baik.
  • Jalan cerita yang menghiburkan.
  • Muzik latar yang baik.

Keburukan:

  • Sesetengah orang bukan Cina mungkin tidak dapat menghayati filem dan situasi yang dipaparkannya.
  • Watak utama Bee telah tinggal di UK untuk masa yang lama tapi masih tidak mempunyai loghat Inggeris yang boleh diterima.

Walaupun filem ini sebuah filem yang baik, namun saya secara peribadi merasakan ia bukan sebaik seperti yang digambar-gemburkan, namun itu pendapat peribadi saya. Satu lagi perkara yang menggangu fikiran saya setelah menonton filem ini ialah, bilakah seseorang pembikin akan membikin filem yang memperkenalkan budaya Melayu dalam sebuah filem yang menghiburkan seperti filem ini? Dengan filem-filem seperti KL Gangster, filem-filem seram dan filem lawak yang membanjiri panggung wayang, sukar untuk membayangkan sebuah filem sebegini mendapat sambutan ramai.

Apapun, filem ini boleh dikategorikan antara filem Malaysia terbaik tahun ini dan tidak mengejutkan jika ia boleh sampai ke anugerah filem antarabangsa.

IMDB

, , ,

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

2 thoughts on “The Journey [Review]

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *