Antarabangsa

Mortal Engines – Berpotensi, Namun Tidak Dieksploitasi Secukupnya

Mengetahui bahawa filem ini mempunyai penerbit sehebat Peter Jackson, kami tidak sabar untuk menonton filem Mortal Engines ini. Daripada trailer yang diterbitkan ia kelihatan seperti  sebuah filem dengan latar belakang dunia yang luas dan menarik. Kami sempat menonton filem ini baru-baru ini dan kami ingin berkongsi pendapat mengenainya.

Mortal Engines – Berpotensi, Namun Tidak Dieksploitasi Secukupnya

Mortal Engines mengisahkan bumi 1000 tahun selepas perang 60 saat di mana dunia telah musnah akibat peperangan yang melibatkan senjata pemusnah besar-besaran (Weapons of Mass Destruction). Dalam dunia ketika itu, bandar-bandar terbahagi kepada dua, satu jenis yang bergerak di atas roda seperti bandar London dan satu lagi adalah bandar statik seperti Shan Guo. Bandar-bandar yang bergerak pula terbahagi kepada bandar-bandar pemangsa iaitu bandar beroda yang besar yang memburu bandar kecil beroda lain dan bandar beroda kecil yang menjadi mangsa kepada bandar pemangsa yang merampas segala sumber yang dimiliki bandar tersebut.

Di London, Thaddeus Valentine merupakan ketua keselamatan di bandar tersebut. Beliau sedang mencari teknologi terdahulu (zaman manusia berperang) untuk membina projek tenaga yang dikatakan akan menyelesaikan masalah sumber tenaga mereka. Tetapi ada sesuatu yang tidak kena apabila seorang bernama Hester Shaw cuba membunhnya. Apakah sebenarnya yang berlaku. Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahan filem ini.

Review

Dari awal lagi, filem ini dilihat mempunyai potensi untuk menjadi sebuah filem fantasi epik seperti Harry Potter atau Star Wars, namun semakin lama menontonnya, perasaan itu makin hilang. Bukan kami mahu katakan filem ini tidak bagus, tetapi banyak peluang untuk menjadikan filem ini epic terlepas begitu sahaja.

Dunia yang digambarkan serta watak-watal dalam filem ini mempunyai karakter yang unik dan boleh menjadi resipi sebuah filem epik. Namun, penulis filem ini tidak berjaya memperkembang atau menceritakan latarbelakang watak-watak utamanya dengan baik. Jalan cerita di sebalik setiap watak terlalu mudah, walhal jika penulisnya lebih kreatif, beliau boleh menjadikan jalan ceritanya lebih menarik. Watak Shrike, sebagai contoh, merupakan satu watak yang penting dalam filem ini, namun cara watak itu digambarkan dan dimuatkan dalam kisah keseluruhan filem ini sangat tidak signifikan sehingga boleh dikatakan wataknya tidak perlu. 

Dari segi jalan cerita dan pengolahan watak dan latarbelakang, ia tidak dapat mengatasi filem-filem JK Rowling yang sangat teliti dengan pembinaan watak dan latarbelakang dunia yang dihuninya.

Dapat dirasakan filem ini mengambil sedikit ilham dari Star Wars terutamanya idea pihak pemberontak. Ia juga mempunyai babak-babak aksi-perang yang seakan Star Wars, cuma kurang memberangsangkan berbanding Star Wars. Babak-babak aksinya seolah tergesa-gesa untuk ditamatkan menyebabkan ia tidak memberi kepuasan kepada penonton

Secara keseluruhan, bak dari segi jalan cerita, pembinaan watak atau babak aksi, filem Mortal Engines kelihatan tergesa-gesa dalam penyampaiannya, seolah mahu cepat habis. Kami rasakan jika pembikin filem ini memanjangkan durasi filem ini dari 2 jam 10 min kepada 3 jam dan mengambil masa yang lebih untuk pembinaan watak dan pengolahan cerita latarbelakang, filem ini boleh memberi impak yang lebih tinggi kepada penonton.

Mungkin pembikin Mortal Engines tidak berbuat demikian kerana filem dengan durasi 3 jam tidak popular di kalangan pemilik panggung kerana ia menelan banyak slot masa siaran dalam sehari yang akan mengganggu keuntungan mereka berbanding filem 2 jam. Apa pun secara keseluruhannya filem ini OK, cuma ia berpotensi menjadi lebih baik. Potensi dibazirkan.

Mortal Engines

Positif vs Negatif

Positif

  • Mutu produksi yang baik.
  • Jalan cerita yang tidak membosankan.

Negatif

  • Banyak potensi filem ini dibazirkan.
  • Pembinaan watak yang agak lemah. Terlalu banyak watak dan watak protagonis tidak ditonjolkan dengan berkesan.
  • Kisah latarbelakang watak-watak tidak dieksploitasi dengan baik.
  • babak aksi yang lebih kurang sahaja.

Kesimpulan

Mortal Engines

Kesimpulannya filem yang berpotensi ini dihampakan oleh pembinaan watak yang lemah dan pengolahan jalan cerita yang kurang memberangsangkan. Sungguhpun demikian, filem ini tidaklah membosankan. Pacing filem ini bagus dan tidak membosankan, cuma terdapat terlalu banyak kelompongan dalam jalan ceritanya menyebabkan tiada kepuasan dalam menontonnya, sekaligus menjatuhkan filem ini ke tahap yang kurang memberangsangkan.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

The Latest

To Top