Daulat mendapat populariti tidak lama dahulu kerana dikatakan Lembaga Penapisan Filem negara telah menghalang penyiarannya di Malaysia atas sebab-sebab tertentu. Kini ia telah mula ditayangkan secara percuma di perkhidmatan penstriman iFlix dan kami sempat menontonnya untuk mendapatkan pendapat kami mengenainya.
[Review] Daulat – Bukan Filem Thriller Politik Pertama Malaysia
Daulat mengisahkan kekalahan parti gabungan politik Muna yang telah kalah dalam PRU kepada parti gabungan Wawasan yang diketuai Tun Malik. Semenjak kekalahan Muna, pengerusinya Dato’ Hassan dan timbalannya Suri bersungguh-sungguh untuk membina semula kredibiliti parti tersebut untuk menghadapi PRU seterusnya. Pelbagai helah politik digunakan untuk mendapat kuasa politik.
Saksikan keseluruhan filem ini secara percuma di iFlix.
Review
Harus diingat, filem ini tiada kaitan dengan yang hidup atau mati, jika ada pun, ia hanya kebetulan, kata satu penafian yang ditujukkan di awal filem ini. Harus juga diingat, filem ini dibikin sebelum langkah Sheraton, jadi, walaupun jalan ceritanya mempunyai persamaan dengan politik semasa, matlamat filem ini adalah rekaan sepenuhnya oleh penulis filem ini.
Setelah menonton keseluruhan filem ini, ternyata jalan cerita yang bertemakan politik jauh sekali debarannya berbanding dunia sebenar. Ramai pengulas politik negara yang memberi ulasan bahawa dunia politik Malaysia penuh drama dan putaran plot, sehingga ia lebih mendebarkan dari siri TV Game of Thrones. Ternyata filem Daulat sangat jauh dari kenyataan tersebut.
Pertama sekali plotnya agak mudah dijangka, agak “straight forward” dan jelas sekali kurang menarik berbanding dunia politik sebenar Malaysia. Konspirasi yang diketengahkannya juga agak cetek dan agak mudah untuk membezakan siapa yang jahat, siapa yang baik dan siapa yang menyusun plot untuk menjatuhkan orang lain. Susunan babaknya juga sangat tergesa-gesa dan kurang berkesan untuk memberikan elemen kejutan atau debaran kepada penonton.
Pembinaan karakter juga kurang meyakinkan sehingga penonton sukar untuk membezakan peranan sesetengah watak dalam jalan cerita secara keseluruhan. Ditambah pula dengan beberapa adegan panas yang mungkin menjadi penyebab filem ini mengalami kesukaran untuk melepasi tapisan LPF, nampaknya filem ini cuba membawa filem Malaysia ke satu peringkat yang lebih “berani”. Berani menggunakan adegan panas dalam sebuah filem tempatan.
Ingatkah anda kepada filem iFlix bertajuk ” Rise to Power KL Gangster Underworld” yang kami review tidak lama dahulu? Kami dapati jalan cerita filem tersebut lebih menarik dan teratur berbanding filem Daulat ini. Jika anda ingin menonton sebuah siri TV thriller politik yang lebih mendebarkan, kami cadangkan “Designated Survivor” di Netflix. Ia mengisahkan seorang pwnjawat awam berpangkat tinggi di Amerika yang terpaksa menjadi President setelah dewan congress yang penuh dengan semua senator yang sedang bersidang telah dibom dan kesemua senator dan bahagian eksekutif telah terbunuh, menjadikan beliau penjawat awam paling tinggi dan “Designated Survivor” bagi mewarisi jawatan Presiden AS. Walaupun siri tersebut telah ditamatkan sebelum sampai ke penghujung ceritanya, ia jauh lebih mendebarkan dan plotnya memang sukar dijangka.
Positif vs Negatif
Positif
- Satu percubaan berani untuk membikin filem political thriller
- Serononk juga membandingkan watak dan kejadian dalam filem ini kepada apa yang berlaku di dunia nyata.
Negatif
- Plot dan jalan cerita yang mudah dijangka
- Pembinaan karakter yang lemah. Penonton tidak terasa terikat dengan mana-mana watak.
- susunan babak yang agak kelam-kabut.
Kesimpulan
Kesimpulannya filem Daulat adalah satu percubaan berani untuk membikin filem dalam satu genre yang sukar mendapat tempat di Malaysia. Walaubagaimanapun, sukar kami merekomen filem ini kepada anda memandangkan jalan cerita dan putaran plotnya yang kurang meyakinkan. Namun, tidak rugi anda menonton filem ini, memandangkan ia percuma dan memandangkan PKP telah dilanjutkan sehingga 28 April, anda berkemungkinan besar mempunyai masa untuk menontonnya.
Penilaian
Jalan cerita – 4/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 3/10
Nilai hiburan –4/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 4/10