Seperti biasa di masa PKP ini, filem yang boleh diakses penonton hanyalah filem-filem di TV dan saluran penstriman. Kali ini kita akan melihat pula satu filem thriller bertajuk Door Lock, yang merupakan sebuah filem Korea Selatan yang diadaptasikan dari filem Sepanyol bertajuk Sleep Tight. Filem ini ditayangkan di saluran penstriman Viu.
[Review] Door Lock (2018) – Thriller Korea Yang Mendebarkan
Door Lock mengisahkan Kyung Min, seorang kerani bank yang tinggal di sebuah apartmen di Seoul secara bersendirian. Suatu malam ketika sedang tidur, pintu rumahnya cuba dibuka dari luar oleh orang yang tidak diketahui. Beliau cuba memangil polis, namun beliau tidak cukup bukti untuk membuat laporan polis. Satu malam lain, rakan sekerjanya (lelaki) menghantarnya pulang. Kerana Kyung Min tertinggal dompet dalam kereta rakannya itu, sedang mereka bercakap-cakap di dalam rumah Kyung Min, beliau mengesyaki rakan sekerjanya itulah yang cuba masuk ke rumahnya pada tengah malam sebelumnya. Beliau pun lari mendapat bantuan polis. Sekembalinya mereka ke sana, didapati rakan sekerja Kyung Min telah mati dibunuh dirumahnya.
Setelah siasatan dijalankan, tiada bukti kukuh Kyung Min membunuh rakan sekerjanya. Namun, beliau mula megesyaki ada orang tinggal di rumahnya tanpa diketahuinya. Siapakah orang itu dan apa tujuannya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui jawapannya.
Review
Mungkin kesilapan kecil pengarah filem ini lakukan adalah pada permulaan filem ini, di mana babak pembukaannya adalah seorang wanita yang menjadi mangsa seorang penjahat yang memasuki rumah mangsa, memutuskan bekalan elektrik dan apabila wanita itu pulan dari kerja, dia akan menjalankan kerja jahatnya. Dari situ, maka penonton sudah tahu modus operandi penjahat tersebut membolahkan penonton mengagak apa yang berlaku.
Apa pun, tanpa mengambil kira kesilapan kecil itu, filem ini sememangnya ingin penonton tahu bahawa ada seseorang yang tinggal bersama Kyung Min, tetapi apa yang penonton perlu fikirkan ialah siapkah orang itu? Sepanjang filem ini terdapat beberapa orang yang disyaki dan semua mereka mempunayi motif. Tugas penonton ialah menjangkakan siapakah antara mereka adalah penjahat itu.
Apa yang berlaku seterusnya adalah Kyung Min dan rakannya menggunakan data yang ada untuk menyiasat siapa penjahat itu. Siasatannya mendebarkan dan membawa kepada beberapa babak yang dramatik yang semestinya akan mengujakan peminat filem thriller. Namun begitu, kami berpendapat filem ini akan lebih memberi kesan kepada penonton wanita kerana watak utamanya wanita yang menghadapi isu keganasan terhadap wanita. Babak-babak dramatiknya juga akan dapat dihayati dengan lebih mendalam oleh golongan wanita dengan sebab yang sama.
Lakonan pelakon utama dan pelakon sokongan juga meyakinkan dan berjaya membawa watak serta perasaan yang tepat ke dalam lakonan mereka.
Walaubagaimanapun, memandangkan admin telah banyak menonton filem thriller, admin sudah mempunyai formula tersendiri untuk meneka siapakah penjahat sebenar dalam filem thriller. Malangnya, disebabkan formula yang terlalu berkesan inilah admin mudah meneka siapa penjahat dan ini mengurangkan keseronokan menonton filem ini. Apa pun, admin berpendapat filem ini sebuah filem yang baik untuk ditonton peminat filem thriller.
Positif vs Negatif
Positif
- Plot dan jalan cerita yang menarik dan mendebarkan
- Karakter yang kuat dan agak sukar diagak siapakah penjahat sebenar.
Negatif
- Filem ini terasa agak pendek
Kesimpulan
Kesimpulannya filem ini adalah salah satu filem yang patut berada di tangga 10 teratas untuk tontonan anda sepanjang PKP. Memang salah satu keseronokan menonton filem thriller adalah dalam meneka siapakah penjahat sebenar dalam filem. Sedikit tip yang boleh admin berikan adalah, pertama, perhatikan watak yang paling tidak penting tetapi selalu muncul dalam filem tersebut dan kedua, jika orang yang dipercayai penjahat telah mendedahkan dirinya pada waktu sekitar 1 jam 15 minit atau 1 jam setengah, kemungkinan besar beliau bukan orang jahat sebenar. Semoga anda berjaya meneka siapakah penjahat sebenar dalam filem ini.
Penilaian
Jalan cerita – 7/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10