Ulu Kelang, Selangor – Hari ini telah diadakan Seminar FILEM SEBAGAI FILEM : ANTARA ARGO DAN BUNOHAN yang dianjurkan oleh FINAS dengan kerjasama UiTM dan Institut Kesenian dan Kajian Media (SEMESTA). Ia diadakan di Studio Sound Stage, Kompleks Studio Merdeka, FINAS, Ulu Kelang, Selangor berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Seminar Filem Sebagai Filem : Antara Argo Dan Bunohan
Seminar dimulakan pada pukul 9.30 pagi dengan tayangan filem Argo, iaitu pemenang anugerah filem terbaik di Anugerah Oscars 2012. Filem ini berlatarbelakangkan zaman revolusi Iran di mana para penyokong revolusi telah menawan kedutaan Amerika Syarikat di Tehran dan mengambil pekerja kedutaan sebagai tawanan.
6 orang daripada staff kedutaan telah berjaya melarikan diri tanpa diketahui. Mereka berlindung di kediaman duta Kanada.
Seorang agen CIA ditugaskan untuk membawa mereka keluar dari Iran dengan berpura-pura menjadi penerbit filem dan menggunakan passport Kanada untuk melindungi identiti staf kedutaan dan membawa mereka keluar dari Iran.
Setelah tayangan selesai, seminar dirasmikan dan selepas ucapan perasmian oleh YM Raja Rozaimie Dalnish Shah, Ketua Pengarah Finas, giliran Dr Mahadi J. Murat pula membentangkan kertas kerjanya mengenai sejarah perfileman Melayu dan pengaruh-pengaruh luar yang mempengaruhi cara penceritaan filem di Malaysia.
Kemudian sesi seminar bermula di mana 3 ahli panel iaitu Dr Mahadi, Khabir Bhatia (Pengarah Filem) dan En Ali Atan (Wartawan Mingguan Malaysia) membincangkan persoalan antara Argo dan Bunohan.
Banyak pandangan berbeza-beza diberikan oleh para panel dan hadirin yang memberikan pandangan yang lebih luas mengenai perbezaan dan persamaan antara kedua buah filem dan bagaimana ia membezakan cara penceritaan filem Melayu dan Holywood.
Selepas makan tengahari, Seminar Filem Sebagai Filem diteruskan dengan acara yang dinanti-nantikan pun tiba iaitu Mastertalk oleh Steven Seidenberg yang bertajuk “Making Documentaries for Money”. Steven Seidenberg adalah seorang pembuat dokumentari dan juga ketua International Co-production LIC China. Beliau sangat berpengalaman luas dalam bidang menerbitkan dokumentari, malah telah menghabiskan masa kira-kira 30 tahun membuat dokumentari.
Dalam membuat sesebuah dokumentari yang boleh dijual, ia seharusnya disasarkan ke pasaran antarabangsa. Ironinya, menurut beliau memang sukar untuk mendatangkan untung ketika membuat sesebuah dokumentari yang dibuat hanya untuk pasaran tempatan.
Secara asasnya terdapat 4 cara utama membuat dan memasarkan dokumentari.
- Membuat dokumentari dengan pembiayaan sendiri dan kemudian menjualnya kepada penyiar-penyiar di luar negara. Kelemahan cara ini, harga jualan dokumentari sebegini sangat rendah sehingga jika anda menjual hak penyiarannya di hampir semua negara utama di dunia, belum tentu anda mendapat keuntungan.
- Mendapatkan klien untuk membiayai kos penghasilan dokumentari tersebut. Namun kelemahannya pula hakcipta dokumentari tersebut akan dimiliki klien.
- Co-production : iaitu bergabung tenaga dengan penerbit sesebuah negara untuk menghasilkan sesebuah dokumentari yang dikhaskan untuk penyiaran negara tersebut.
- Menggabungkan beberapa penaja dan penerbit untuk membiayai dan menyiapkan projek dokumentari tersebut.
Cara penyampaian yang menarik dan terperinci Mr Seidenberg menunjukkan pengalaman luasnya dalam bidang ini dan ia juga menjadikan segment Mastertalk ini segmen paling menarik dalam Seminar Filem Sebagai Filem.
Dengan selesainya segmen Mastertalk bersama Steven Seidenberg maka berakhirlah seminar FILEM SEBAGAI FILEM : ANTARA ARGO DAN BUNOHAN. Seminar ini memang sangat menarik dan diharap Finas dan SEMESTA dapat mengajurkan acara seperti ini lagi di masa akan datang.