Pasukan Wayangkini.com menerima jemputan dari pihak HyppTV dan CinemaWorld HD ke acara tayangan media eksklusif filem After the Wedding. Ia merupakan sebuah filem Denmark yang menjadi calon Academy Awards pada tahun 2007 dan dilakonkan oleh Mad Mikklsen (watak siri TV Hannibal).
After The Wedding [Review]
Dalam filem After the Wedding, Jacob (Mads Mikkelsen) adalah seorang lelaki idealistik yang bekerja di rumah anak yatim di India. Beliau memilih untuk kekal sebagai warga Denmark walaupun sudah 20 tahun meninggalkan negara itu. Rumah anak yatim beliau memerlukan dana dan apabila Jørgen (Rolf Lassgård), seorang ahli perniagaan Denmark, menghubunginya untuk sumbangan
yang besar, dia mengenakan syarat untuk Jacob: Beliau perlu kembali ke Denmark untuk menandatangani kontrak.
Ketibaan Jacob di Denmark kebetulan dengan majlis perkahwinan anak perempuan Jørgen, dan Jacob turut dijemput menghadiri majlis. Di sana, Jacob mendapati ibu pengantin
perempuan (isteri kepada peyumbang dana) adalah sebenarnya bekas kekasihnya, Helene (Sidse Babett Knudsen). Perkahwinan tersebut menjadi suatu titik pertemuan masa silam dan masa akan datang dan meletakkan Jacob dalam satu dilema hidup.
Jalan Cerita
Bagi mereka yang biasa dengan filem Hollywood yang mempunyai rentak yang pantas, mungkin tidak tahan dengan rentak perlahan filem ini. Namun ia membawa penonton untuk menghayati babak-babak dan persekitaran Denmark serta budaya berkeluarga mereka.
Pada awal filem ini pengarah bijak menampilkan perbezaan ketara di antara bandar miskin di India di mana kanak-kanak hidup melarat dengan negara kaya, iaitu Denmark di mana kanak-kanak hidup dalam kemewahan. Ia memberikan sedikit keinsafan kepada penonton.
Pada mulanya penonton akan menyangka filem ini akan mengisahkan mengenai rumah anak yatim di India, memandangkan hubungan akrab Jacob dengan dengan anak-anak yatim di India itu. Namun, jalan ceritanya telah mengambil satu pusingan yang mengejut dan mengisahkan kisah peribadi Jacob yang tidak langsung disangka-sangka. Saya tidak boleh beritahu mengenainya kerana akan menjadi spoiler.
Secara keseluruhannya filem ini mempunyai beberapa pusingan dalam jalan ceritanya yang agak mengejutkan sehingga mencapai penamatnya yang juga tidak dijangkakan.
Lakonan
Tetapi seperti kebanyakkan filem drama, ia dinilai dari kehandalan pelakon membawa watak masing-masing dan dari segi itu, ia tidak menghampakan. Pelakon-pelakon memainkan watak mereka dengan baik terutamanya Mad Mikkelsen yang juga merupakan Calon Pelakon Lelaki Terbaik, European Film Awards, 2006.
Lakonan yang realistik juga menampakkan budaya professional penduduk Denmark dan boleh dilihat dalam satu babak di mana Jorgen, seorang jutawan telah mabuk akibat minum terlalu banyak. Namun pengurus restoran tidak membenarkan beliau minum lebih banyak arak, tidak kiralah sekaya mana beliau. Begitulah sikap professional di Denmark.
Kesimpulan
Positif
- Lakonan dan Jalan cerita yang baik
- Pendedahan kepada budaya Denmark
Negetif
- Perjalanan cerita yang terlalu perlahan bagi sesetengah penonton.
- terlalu banyak kecurangan berlaku di kalangan pelakon lelaki filem ini. (LOL)
Bagi mereka yang inginkan satu perubahan dalam tabiat menonton filem mereka, filem asing seperti After the Wedding merupakan sebuah filem yang baik untuk membuka minda penonton. Walaupun perjalanan ceritanya agak perlahan, ia mempamerkan jalan cerita yang hebat dan pengakhiran yang tidak dijangka.
Bagi mereka yang melanggan UniFi HyppTV dan CinemaWorld HD saluran 650, anda boleh menonton filem ini secara eksklusif pada 7 Mac ini pada pukul 9 malam. Bagi anda yang telah menonton filem ini, anda boleh memberi undian anda di sebelah kanan, di bawah penilaian kami.