The First Purge – Filem Purge Yang Paling Masuk Akal

Siri filem The Purge pada asalnya adalah filem bajet rendah yang secara mengejut telah berjaya merangkul kutipan yang di luar jangkaannya. Bayangkan, dengan bajet USD3 juta sahaja, ia berjaya mengutip pulangan sebanyak hampir USD90 juta. Walaupun jumlah itu kecil sebagai sebuah filem Holywood, namun ia merupakan pulangan hampir 3000% dari bajetnya. Walaubagaimanapun, sekuel-sekuelnya, The Purge Anarchy dan The Purge Election Year pada pandangan kami semakin mengarut dari segi jalan ceritanya. Kini, prekuel siri filem ini, The First Purge, telah ditayangkan dan kami amat berminat tentang asal usul bermulanya “The Purge”, memandangkan ia merupakan soalan yang paling ditanya-tanya sejak filem pertamanya. Kami berharap ia akan memberi pencerahan kepada kekalutan dalam filem-filem sekuel sebelum ini.

The First Purge – Filem Purge Yang Paling Masuk Akal

The First Purge mengisahkan asal usul aktiviti “Purge” dan bagaimana Amerika akhirnya meluluskan aktiviti berkenaan di seluruh negara mereka.

The Purge asalnya adalah sebuah eksperimen sosial yang dijalankan oleh kerajaan baharu Amerika yang diterajui parti “The New Founding Fathers of America” di pulau Staten, New York. Ia mengikuti beberapa watak penting, di mana ada yang bersetuju dan mengambil bahagian dalam aktiviti Purge serta ada yang tidak bersetuju dan ingin memboikot aktiviti tersebut.

Apa yang mulanya eksperimen sosial bertukar ganas dengan penyertaan golongan misteri. Siapakah mereka? Untuk mengetahui lanjut, tontonlah filem ini di pawagam.

Review

Perkara paling penting dalam filem seperti The First Purge ialah bagaimana filem tersebut menjelaskan sesuatu perkara yang tidak masuk akal. Dalam kes ini bagaimana rakyat Amerika boleh bersetuju dengan satu aktiviti yang jelas sekali tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan.

Daripada apa yang kami lihat dalam filem ini, ia mengambil ilham dari iklim politik semasa Amerika di mana Donald Trump, seorang calon presiden yang dibenci, telah berjaya memenangi pilihanraya Amerika Syarikat baru-baru ini. Ini, serta beberapa perkara yang dikatakan dilakukan CIA di Syira menjadi ilham kepada kisah di sebalik kelulusan aktiviti The Purge dilakukan di seluruh Amerika.

Walaubagaimanapun cara pengolahan jalan ceritanya agak simplistik. Jalan ceritanya jelas sekali tidak ditulis oleh seorang penulis yang berpengalaman dalam genre teori konspirasi dan pengintipan. Ini sekaligus menidakkan filem ini dari genre filem teori konspirasi. 

Jika anda seorang yang biasa menonton filem teori konspirasi, anda juga akan melihat filem ini sebagai satu usaha amatur dalam mengatur jalan cerita dan putaran plot bagi menyediakan satu plot yang menarik.

Berkenaan babak aksinya pula, ia juga agak simplistik dan segala tindak tanduk protagonis dan antagonisnya boleh dijangka kerana menggunakan template filem aksi yang tipikal untuk Holywood.

Tetapi, sungguhpun dengan kelemahan-kelemahan tersebut dan memandangkan jangkaan kami terhadap filem ini memang rendah sejak awal lagi, kami tidaklah berasa bosan menonton filem ini. Ia tidak mempunyai babak-babak yang membazir dan jalan ceritanya dibentangkan pada kadar yang selesa untuk diterima penonton, tidak kira samada penonton peminat filem aksi atau tidak.

Jadi secara keseluruhannya ia sebuah filem dengan jalan cerita yang boleh dijangka, tetapi sebuah filem yang dibikin dengan agak kemas, menjadikannya tidak bosan ditonton, jika jangkaan yang diletakkan padanya rendah, sebagaimana dengan filem-filem the Purge yang lain.

Positif vs Negatif

Positif

  • Agak menghiburkan, kesinambungan babak yang agak baik dan tidak banyak babak membazir
  • Mengambil ilham dari iklim politik sebenar

Negatif

  • Jalan cerita dan plot yang agak simplistik
  • Jalan cerita dan babak aksi yang boleh dijangka

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem The First Purge dikhaskan kepada pengikut siri filem The Purge yang ingin mengetahui asal-usul permulaan aktiviti the Purge. Jika anda bukan peminat siri filem ini, mungkin anda akan kurang meminati filem ini, namun filem ini tetap mempunyai tarikannya sendiri dan penonton juga boleh melihat persamaan antara dunia realiti dengan plot filem ini. 

Penilaian – 6/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *