Filem Mile 22 merupakan satu filem yang kami tunggu-tunggu kerana penampilan pelakon aksi sensasi Indonesia Iko Uwais yang terkenal dengan filem The Raid dan The Raid 2. Filem ini mula ditayangkan minggu lepas dan kami berkesempatan menontonnya baru-baru ini.

Filem Mile 22 mengikuti satu pasukan para tentera rahsia yang bekerja di bawah kerajaan Amerika dalam misi-misi rahsia. Dalam filem ini, pasukan ini ditugaskan untuk mencari bahan cesium yang telah dicuri pengganas dan dikatakan akan digunakan untuk membuat bom kotor (bom radioaktif). Pencarian ini membawa mereka ke negara Indocarr (jelas sekali mereka maksudkan Indonesia, tetapi tidak mahu mengguris hati Indonesia) di mana seorang anggota polis yang berpaling tadah, Li Noor telah memberikan pasukan itu sebahagian maklumat penting bagi mendapatkan semula cesium tersebut.

Namun, beliau telah menyulitkan maklumat tentang kedudukan cesium yang lain di dalam sebuah pemacu khas yang akan memadam data tersebut dalam masa yang ditetapkan. Li Noor hanya akan memberikan mereka kata laluan untuk menyahsulitkan data tersebut jika mereka membawanya ke luar negara, memandangkan seluruh kerajaan Indocarr ingin membunuh Li Noor.
Apakah mereka akan berjaya melarikan Li Noor ke luar negara? tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review
Untuk pengetahuan anda RottonTomatos.com, iaitu lama web pengkritik filem terkenal telah menilai filem ini dengan hanya 20% penilaian positif. Namun bagi kami, itu satu penilaian yang tidak adil. Ya, kami akui terdapat beberapa kelemahan, namun tidaklah seteruk yang digambarkan pengkritik laman web tersebut.
Kami mulakan dengan kritikan. Kritikan paling besar kami adalah lakonan Mark Wahlberg yang entah apa-apa. Beliau memainkan watak seorang agen yang mempunyai sedikit masalah mengawal emosi, namun cara beliau membawa wataknya agak teruk. Malah, kami rasa beliaulah yang menyebabkan filem ini terasa ralat dari segi mutu lakonannya.

Kekuatan utama filem ini adalah kandungan aksinya. Ia sememangnya sebuah filem aksi dari awal hingga akhir. Jika anda menggemari filem The Raid, filem ini terletak di dalam genre yang sama. Ia mempunyai kurang dialog yang berjela2, sebaliknya mempunyai babak aksi satu lepas satu. Ia tidak memberikan anda masa untuk berehat.
Aksi lawan Iko Uwais memang menjadi tarikan utama dengan gerakan setaraf filem AAA Hong Kong dan China. Jika anda telah menonton filem The Raid, anda akan faham. Cuma apa yang mengecewakan ialah kita tidak dapat melihat banyak babak di mana Iko Uwais beraksi memandangkan beliau digari.

Jalan ceritanya ringkas tetapi menarik di mana walaupun sebahagian besar plotnya boleh dijangka dan tipikal putaran plot pada penghujungnya sangat tidak dijangka. Walaupun ia tidak akan memenangi sebarang anugerah dari segi jalan ceritanya, jika anda menumpukan perhatian dari awal, pada akhirnya anda akan berasa puas setelah mengetahui kesudahan filem dan mengenang kembali permulaan filem dan bagaimana ia berkaitan dengan penghujungnya. Memang puas hati.
Dari segi nilai produksi dan props, ia memang di tahap filem Holywood, jadi anda tidak perlu risau tentang jika filem ini nampak murahan.

Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita ringkas tetapi berkesan dan penuh aksi dari awal ke akhir
- Babak aksi yang mendebarkan
Negatif
- Karekter yang kurang lengkap dan kadang-kala tidak tahu apa peranan mereka dalam filem ini.
- Filem aksi sejati, tiada drama-drama dan dialog yang tidak berkaitan
Kesimpulan
Filem Mile 22 tidak syak lagi sebuah filem aksi untuk peminat filem aksi sejati. Tiada ruang untuk peminat drama atau cerekarama dalam filem ini. Seperti ditekankan sebelum ini, jika anda meminati filem The Raid, anda akan suka filem ini dan seperti filem tersebut juga, Mile 22 hanya filem aksi semata-mata. Sebuah filem aksi dengan putaran plot yang langsung tidak dijangka.