Ramai yang berangan-angan untuk pergi mengembara ke seluruh dunia dan mengalami pelbagai pengalaman berbeza, yang baik, yang buruk dan yang pelik. Namun begitu, berapa ramai yang mempunyai azam dan keberanian untuk berbuat demikian. Filem The Secret Life of Walter Mitty merupakan sebuah filem inspirasi untuk anda yang tergolong dalam kategori ini.
The Secret Life Of Walter Mitty [Review]
The Secret Life of Walter Mitty lakonan Ben Stiller merupakan sebuah filem insprasi mengenai seorang pengurus fotografi di LIFE Magazine yang tidak pernah mengembara dan melakukan perkara yang merbahaya. Namun, pekerjaannya memerlukannya memilih dan memproses gambar-gambar yang dihantar oleh jurugambar untuk diterbitkan dalam majalah tersebut di mana gambar-gambar yang diuruskannya biasanya mengenai pengembaraan dunia.
Beliau juga sering berangan-angan melakukan perkara-perkara yang cool dan merbahaya, namun realitinya dia tidak berani.
Suatu hari syarikat penerbitan LIFE Magazine diambil alih dan pekerja-pekerjanya akan dibuang. mereka mahu menerbitkan majalah tersebut buat kali terakhir sebelum semua penerbitannya bertukar ke media elektronik.
Jurugambar Sean O’Connell telah menghantar segulung filem untuk diterbitkan pada majalah terakhir itu. Namun hanya 3 gambar yang berjaya dicetak keluar dan negetif bernombor 25 telah hilang. Gambar pada negetif ini diminta untuk diterbitkan pada muka hadapan majalah tersebut.
Setelah gagal mencarinya, berdasarkan tiga gambar yang berjaya dicetak sebagai pembayang Walter terpaksa pergi sendiri berjumpa Sean untuk mendapatkan negetif tersebut. Masalahnya tiada siapa tahu di mana Sean berada kerana dia selalu berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Bermulalah pengembaraannya.
Jalan Cerita
Jalan cerita filem ini mudah — mencari Sean O’Connell –, namun menjadi lebih rumit kerana Sean tidak berada di satu tempat untuk masa yang lama. Tambahan pula Walter tidak pernah mengembara.
Sepanjang perjalanan dia mengalami pelbagai halangan, namun pengembaraannya membuatkan anda terasa mahu pergi mengembara. Kepada anda yang memang menyimpan hajat untuk pergi mengembara, tentu terasa berkobar-kobar setelah menonton filem ini.
Pengakhiran filem ini juga tidak dijangka dan menjadikan keseluruhan filem ini berbaloi untuk ditonton.
Lakonan
Lakonan Ben Stiller sungguh menjadi dan menghiburkan. Terutamanya bila dia mula berangan melakukan perkara yang cool dan akhirnya mendapati dirinya sedang berangan. Babak-babak seperti itu akan muncul secara mengejut sepanjang filem ini dan sememangnya lucu serta menjadi identiti Walter Mitty dalam filem ini.
Watak boss barunya juga lucu dan menjengkelkan sehingga anda sendiri terasa ingin menampar mukanya.
Kesimpulan
Suka : Lucu, memberi inspirasi dan jalan cerita yang bijak, terutamanya penghujungnya.
Tak suka : Terasa pendek dan tidak cukup isi, terutamanya dalam separuh kedua filem ini.
Filem ini boleh dikatakan agak niche dan disasarkan kepada mereka yang sememangnya ada hajat untuk pergi mengembara. Ada kemungkinan tidak semua akan berasa diinspirasikan oleh filem ini, namun, apa pun, saya rasa filem ini cukup menghiburkan untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat