Extraction merupakan filem terbaru yang ditayangkan di perkhidmatan penstriman Netflix. Dibintangi pelakon aksi terkenal Chris Hemsworth sebagai Tyler Rake, filem aksi ini mula ditayangkan pada 24 April lalu. Kami sempat menonton filem ini dan berikut merupakan pendapat kami mengenai filem ini.
[Review] Extraction – Penuh Aksi Berterusan
Extraction mengisahkan penculikan anak seorang ketua pengedar dadah India bernama Ovi Mahajan oleh musuh ketatnya dari Dhaka, Bangladesh, Amir Asif. Setelah mendengar berita ini, Ovi Mahajan yang sedang berada di dalam penjara berang dan mengarahkan orang kanannya, Saju untuk mengupah tentera untuk menyelamatkan anaknya, Ovi Mahajan Jr.
Di sinilah watak Tyler Rake memainkan peranan. Beliau merupakan anggota pasukan tentera upahan yang dikelolakan oleh Nik Khan. Tyler merupakan seorang askar yang hebat, namun kerana kisah lalu, beliau seolah-olah tidak kisah tentang nyawanya sendiri. Jadi, beliau dan pasukannya menerima tugasan untuk menyelamatkan Ovi Mahajan Jr di Dhaka, Bangladesh, tanpa mengetahui ia bakal menjadi huru-hara.
Apakah mereka akan berjaya menamatkan misi tersebut? Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetaui kesudahannya.
Review
Sebagai pembuka, kami dedahkan bahawa filem ini sememangnya filem aksi sejati dan selari dengan itu, ia tidaklah mempunyai jalan cerita yang begitu kompleks dan mendalam. Ia mempunyai satu dua putaran plot, namun ia tidak menjadikan filem ini sebuah filem yang layak diberikan Oscar.
Namun apa yang kami mahu mengetegahkan adalah tentang babak-babak aksinya, secara spesifik koreografi dan penggunaan kameranya. Pertama sekali, koreografi berlawannya bukan calang-calang. Setiap tumbukan, tusukan dan tembakan anda boleh lihat impaknya kepada protagonis dan lawannya. Ia berada di tahap antara John Wick dan Rambo. Namun apa yang lebih menakjubkan lagi adalah pergerakan kameranya terutamanya dalam babak-babak aksi yang kadang kala kelihatan mustahil.
Sebagai contoh, dalam satu babak aksi panjang di pertengahan filem ini, terdapat transisi antara babak kejar mengejar menggunakan kereta, berlawan dalam bangunan flat, kemudian bertukar di jalanan, dan kemudian beralih semula kepada babak kejar mengejar dengan lori. Jika anda perhatikan dengan teliti pergerakan kameranya sememangnya pada satu tahap yang lain. Sudahlah ia hampir tiada potongan di antara transisi babak-babak tersebut, malah pergerakan kameranya seolah-olah mustahil dilakukan, berjaya dilakukan dengan baik. Anda perlu menontonnya untuk memahami apa yang kami maksudkan.
Bagi babak-babak tembak menembak di tengah bandar Dhaka juga krew produksi tidak berjimat-cermat, sebaliknya menggunakan segala bajet yang ada untuk menjayakan filem aksi ini. Oleh kerana pengedar dadah Bangladesh, Amir Asif telah merasuah dan kini memegang seluruh jabatan polis dan tentera, keseluruhan jabatan itu mengejar protagonis kita. Dengan selambanya beliau menumbangkan keseluruhan jabatan polis dan tentera, termasuk sebuah helikopter, kereta perisai dan berbilang kereta dan lori polis.
Nota: perhatikan dengan teliti dan anda akan akan mendapati ada kereta Proton Satria Neo dan Savvy dalam babak-babak tembak menembak di peghujung filem ini. Sebagaimana anda tahu, kereta-kereta ini diimport ke Bangladesh satu ketika dahulu.
Positif vs Negatif
Positif
- Babak aksi yang mendebarkan
- Pergerakan kamera yang mustahil berjaya dilakukan dalam babak-babak aksi
Negatif
- Jalan cerita yang mudah
Kesimpulan
Kesimpulannya, filem Extraction memang disasarkan kepada peminat filem aksi sejati. Jalan ceritanya tidak begitu kompleks untuk difahami namun terdapat juga konflik dalam diri Tyler yang membolehkan filem ini mempunyai asas moral dalam jalan ceritanya. Kalau aksi tembak-menembak membuta tuli sahaja, memang tak menariklah jadinya, bukan? Secara keseluruhannya kami memang teruja menonton filem ini, walaupun ia tidaklah mempunyai impak yang besar dalam dunia perfileman.
Penilaian
Jalan cerita – 6/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan – 9/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10