Jupiter Ascending sepatutnya ditayangkan tahun lepas, tetapi atas sebab-sebab tertentu ia ditunda ke tahun ini. Saya syak ia disebabkan pengarah mahu menjadikan filem ini sebuah filem yang memfokuskan kepada visual 3D. Sebenarnya sebelum menontonnya, saya telah pun mendengar khabar bahawa filem ini telah flop (gagal) di US, namun saya tetap menonton filem ini untuk mengetahui bahagian mana yang membuatkannya flop. Lagipun saya mahu melihat bagaimana pelakon Sean Bean mati. Beliau terkenal dengan adegan mati dalam hampir setiap filem dan siri TV lakonannya.
Jupiter Ascending [Review]
Jupiter Ascending mengisahkan Jupiter Jones, seorang pekerja pembersih rumah yang sebenarnya merupakan keturunan diraja sebuah empayar angkasa lepas dan ditakdirkan untuk mewarisi planet bumi jika beliau menuntutnya. Oleh kerana itu, calon pewaris empayar tersebut ingin membunuhnya dan merampas haknya ke atas pemilikan bumi.
Dalam usahanya menuntut hak ke atas bumi dan sekaligus menyelamatkan penduduk bumi dari dibunuh beramai-ramai oleh empayar tersebut, banyak cabaran dan halangan dihadapinya. Mampukah dia menyelamatkan nasib bumi? Tontonlah kesudahannya di pawagam berhampiran.
Jalan Cerita
Terdapat beberapa sebab mengapa filem ini gagal di Box Office, antaranya jalan ceritanya. Sebenarnya dalam 30 minit pertama, filem ini sebenarnya boleh tahan. Ia bermula dengan baik dan aksi yang ditampilkan juga boleh tahan hebatnya. Namun selepas itu, jalan ceritanya cuba menjadi telalu bijak dan tampil dengan beberapa teori yang kurang munasabah untuk menutup kekurangan pada plot.
Contohnya, pada babak aksi besar pertama banyak bangunan musnah akibat diserang pesawat makhluk asing yang ingin membunuh Jupiter dan penjaganya, Caine Wise. Jadi biasanya malapetaka sebesar itu sukar untuk dirahsiakan, lebih-lebih lagi dengan kemusnahan bandar yang besar. Tetapi ia memberikan penjelasan yang agak simplistik bagaimana makhluk asing itu mengelak dari disedari kwujudannya. Apa penjelasan itu? Tontonlah filem Jupiter Ascending.
Semakin lama dalam tayangan filem ini, semakin pelik jalan ceritanya dan skrip yang agak lemah tidak membantu langsung untuk memeriahkan filem ini. Ia cuba mewujudkan sebuah empayar galaksi yang terdiri dari pelbagai spesis makhluk asing lengkap dengan struktur birokrasi dan pentadbiran yang kononnya setanding dengan dunia Star Trek, namun gagal. Rekaan karektornya tidak konsisten dan tidak kena dengan tema filem tersebut. Filem ini mengalami krisis identiti antara sebuah filem sci-fi dan cerita dongeng. Agak sayang sekali kerana kualiti CGInya sangat baik, namun tidak digunakan dengan baik.
Produksi
Sebenarnya produksinya agak baik, terutamanya dari segi kualiti CGI. Kualiti ini hanya dipamerkan dalam rekabentuk kapal angkasa, senjata dan benda-benda mekanikal yang saya rasa sangat cool. Namun, rekabentuk watak dan makhluk asingnya mengalami kekurangan yang teruk. Rekabetuk kebanyakan makhluk asingnya agak tidak konsisten dan tidak serasi dengan yang lain. Dari satu sudut, ada makhluk asing berbentuk seperti tengkorak. Di satu sudut lain pula terdapat makhluk asing berupa biawak yang besar dan berkepak. Semua makhluk asing itu pula diketuai oleh maharaja yang berupa manusia.
Kesimpulan
Positif
- Kualiti CGI dan rekabentuk peralatan dan kapal angkasa yang baik.
- Aksi 30 minit pertama yang agak baik dan menghiburkan.
Negetif
- Jalan cerita keseluruhan yang lemah dan agak mengelirukan.
- Rekabentuk makhluk asing yang dilihat tidak serasi antara satu dengan lain.
- Skrip yang lemah dan tiada penghayatan.
Memang tidak syak lagi mengapa filem Jupiter Ascending tidak mendapat sambutan baik di Box Office malah digelar sebagai satu flop. Ia sepatutnya merupakan filem sci fi yang mudah dan straight to the point tetapi penulis jalan cerita cuba menjadi terlalu kreatif dan memasukkan unsur-unsur komuniti makhluk asing dari pelbagai kaum ke dalam latarbelakang filem tersebut.
Watak-watak dalam filem ini juga agak lemah karektornya dan tidak ada satu pelakon yang menonjol lakonannya. Saya rasa masalah utamanya ialah walaupun pada permulaannya filem Jupiter Ascending menunjukkan potensi yang baik untuk menjadi filem yang menarik, malah melahirkan sequel-sequel, pengarah atau produsernya kurang bijak dalam mengolah jalan cerita dan latarbelakang komuniti makhluk asing dengan baik, menyebabkan ia hambar.
Walaupun saya tidak menonton filem ini dalam 3D, saya rasakan ia dibikin dengan tumpuan khas kepada visual 3D dan kurang kepada jalan ceritanya. Saya antara 50:50 merekomen anda menonton filem ini.
1 thought on “Jupiter Ascending [Review]”