Saya bukanlah peminat komik Marvel dan komik Guardians of the Galaxy sememangnya saya tidak pernah dengar sebelum ini. Oleh kerana itu saya tidak mempunyai sebarang gambaran atau prejudis mengenai francais baru filem berasaskan komik Marvel ini. Namun, dilihat dari trailernya, ia kelihatan seperti sebuah filem yang lucu, penuh aksi dan menarik. Sangkaan itu memang tepat setelah berpeluang menontonnya baru-baru ini.
Guardians of the Galaxy [Review]
Guardians of the Galaxy mengisahkan sekumpulan penjenayah antara galaksi yang disatukan, pada mulanya, atas dasar kepentingan peribadi masing-masing. Kumpulan ini diketuai oleh Peter Quill, seorang manusia dari bumi yang 26 tahun lalu diculik oleh kumpulan askar upahan semasa kecil.
Peter yang berjaya mendapatkan artifek bernilai bernama “Orb” dengan tujuan untuk menjualnya. Dengan tidak disangka Orb mempunyai kuasa luar biasa yang mampu memusnahkan galaksi jika berada di tangan pihak tak bertanggungjawab. Ia juga menjadi punca mereka ditangkap dan kemudiannya bersatu menjadi satu pasukan bagi menyelamatkan galaksi.
Jalan Cerita
Jalan cerita filem ini penuh dengan isi yang menarik. Tidak seperti sesetengah filem yang mempunyai babak-babak membazir, plot filem ini berkembang secara berterusan dan pada kadar yang selesa untuk difahami penonton. Ia juga tidak hanya mempunyai jalan cerita yang linear, malah mempunyai beberapa babak klimaks yang membuatkan penonton berasa puas hati menonton filem ini.
Lawak jenaka dalam filem ini juga cukup banyak untuk membuatkan penonton ketawa, tetapi tidak berlebih-lebihan sehingga menjadi slapstick. Watak-wataknya semua mempunyai karekter yang unik dan mempunyai sebab tersendiri dalam perjuangan mereka.
Seperti mana-mana filem Marvel, Guardians of the Galaxy tidak ketinggalan untuk menampilkan babak-babak aksi yang menarik dan tidak meleret-leret seperti filem Transformers 4. Babak aksi diselang-selikan dengan ekspresi lucu dari watak-watak filem ini menjadikannya sangat menghiburkan.
Produksi
Bahagian produksi juga teleh membuat kerja yang baik terutamanya pada bahagian rekabentuk CGI. Pesawat-pesawat-pesawat angkasa dalam filem ini semuanya kelihatan hebat dan koreografi peperangan angkasanya sangat mengujakan. Muzik yang ditampilkan sebagai muzik kegemaran Peter juga sangat catchy dan mungkin anda akan meminati lagu-lagu tersebut selepas menonton filem ini.
Kesimpulan
Kebaikan
- Jalan cerita yang menarik dan dipenuhi aksi-aksi dan komedi yang menghiburkan.
- rekabentuk CGI yang menarik — Pesawat angkasa, stesen angkasa dan senjata.
- Muzik yang catchy.
- Watak-watak yang menarik dan unik.
Keburukan
- Boss jahat besar bernama Cronos tidak membuat penampilan utama, sebaliknya anak buahnya, Ronan menjadi boss jahat untuk kali ini.
- Watak jahat utama agak mudah dikalahkan dalam pertarungan akhir.
Filem Guardians of the Galaxy sememangnya tidak menghampakan penonton yang telah membayar harga tiket yang mahal. Ia mempunyai gabungan antara aksi dan komedi yang diadun secukup rasa. Samada anda seorang kaki wayang atau tidak, filem ini wajib ditonton di pawagam berhampiran anda.