Sejujurnya apabila menonton trailer untuk filem Dragon Blade, saya langsung tidak teruja untuk menontonnya. Daripada trailer tersebut, saya menyangka ia akan menjadi sebuah filem “Epic wannabe” yang tak cukup bajet. Namun, sangkaan saya agak meleset. Pada mulanya saya tidak mahu review filem ini kerana kurang berminat, namun atas sikap professional dan tidak ingin “menilai buku dari kulitnya” saya tonton juga filem ini dan langsung tidak menyesal.
Dragon Blade [Review]
Dragon Blade adalah filem epik sejarah yang diilhamkan kisah benar dan mengisahkan seorang general Rom, Lucious dan pasukan tenteranya yang telah menyelamatkan putera bakal maharaja Rom yang dibutakan dan cuba dibunuh abangnya yang inginkan takhta tersebut untuk dirinya. Setelah lama melarikan diri sehingga tenteranya lemah dan hampir mati, mereka terserempak dengan bandar sempadan laluan sutera bernama Wild Geese Gate.
Pada masa yang sama Kapten Huo An merupakan kapten pasukan penyelamat yang menjaga keamanan di laluan sutera yang digunakan oleh 36 kaum untuk berdagang. Malangnya beliau telah difitnah melakukan penyeludupan emas yang beliau tidak lakukan. Disebabkan itu beliau dan pasukannya dihantar ke Wild Geese Gate untuk menjalani hukuman menjadi buruh paksa.
Oleh kerana terdesak general Lucious mengambil keputusan untuk menawan Wild Geese Gate untuk dijadikan tempat berteduh. Setelah ketua Wild Geese Gate gagal menghalang pasukan Rom itu dan ditawan, Huo An mendapati dirinya terpaksa mengambilalih pimpinan Wild Geese Gate dan berlawan dengan general Lucious demi keselamatan bandar tersebut. Namun apabila ribut pasir melanda, Huo An yang bersifat tidak sukakan peperangan mengambil keputusan menawarkan perlindungan kepada pasukan Rom itu. Di situlah bermulanya persahabatan antara dua pemimpin tersebut.
Jalan cerita
Tidak dapat disangkal lagi kekuatan utama filem ini bukan sahaja jalan ceritanya, malah mesej kuat yang memperjuangkan keamanan dan perpaduan. Pada ketika itu bandar Wild Geese Gate dihuni oleh penduduk dari 36 kaum yang hidup di bawah pimpinan negara China di bawah dinasti Han. Walaupun bandar itu secara reletifnya aman, penduduk berbilang bangsanya tidak bersatu padu dan berpuak puak.
Secara keseluruhan, filem ini mempunyai mesej yang kuat mempromosikan keamanan dan perpaduan dan jalan ceritanya telah disusun dengan begitu baik serta memberi impak maksimum terhadap penonton. Filem ini menampilkan kombinasi aksi, kegembiraan, babak menyentuh kalbu dan diakhiri dengan perasaan kemenangan yang tulen. Malah, saya tidak malu untuk mengaku terdapat banyak babak dalam filem ini yang menyebabkan “habuk masuki mata saya“. Saya pasti babak-babak tersebut mampu menusuk hati walaupun lelaki kental.
Seperti biasa juga, babak-babak berlawan dikoreograf dengan baik dan tidak menghampakan, namun mungkin babak peperangannya tidak epik seperti Lord of the Rings atau The Gladiator.
Lakonan
Selain pelakon utama Jackie Chan dan artis Korea terkenal Choi Si Won dari kumpulan Super Junior, filem ini turut menampilkan pelakon Holywood John Cusack dan Adrien Brody. Saya tiada komen tentang lakonan pelakon pelakon tersebut kerana ternyata lakonan mereka berada di tahap tinggi. Cuma lakonan pelakon tambahan seperti putera Rom yang mungkin comel, tetapi tidak mempunyai mutu lakonan yang memberangsangkan. Begitu juga dengan lakonan pelakon bagi khadam putera dan askar-askar Rom.
Saya perhati bahawa ini agak biasa bagi filem Jackie Chan di mana pelakon Cina yang berlakon dalam filemnya berkualiti, namun pelakon tambahan baratnya kurang bermutu.
Namun itu tidak mengganggu kehebatan jalan cerita filem ini secara keseluruhan kerana filem ini kebanyakkannya memfokuskan kepada pelakon utama yang memang hebat lakonannya.
Produksi
Saya difahamkan jumlah bajet produksi Dragon Blade adalah USD 65 juta. Namun bajet itu ternyata tidak cukup untuk memberikan penampilan epik kepada filem ini. Prop yang digunakan kelihatan tidak berada pada tahap yang boleh diterima di peringkat Holywood, namun bagi saya, ia cukup baik untuk pasaran Asia. Maksud saya ialah, prop seperti senjata dan pakaian bagi pihak kaum di China dibuat dengan baik, namun perkara yang sama tidak dapat dikatakan untuk prop pihak Rom. Ia baik, namun tidak sehebat seperti dalam filem The Gladiator (filem epic lakonan Russel Crowe).
Studio CGI Asia juga tidak dapat menyamai kehebatan studio CGI Holywood dan jelas sekali kualiti CGI filem ini tidak berjaya menutup kelemahan produksi dalam filem ini seperti kekurangan pelakon tambahan untuk babak peperangan yang menyebabkan medan peperangan kelihatan agak kosong di sesetengah tempat. Walaubagaimanapun, bahagian ini tidak membimbangkan saya kerana CGI bukan fokus utama filem ini.
Kesimpulan
Positif
- Mesej cerita yang disampaikan dengan begitu berkesan.
- Babak-babak yang boleh mecetus pelbagai emosi.
Negetif
- Prop di pihak Rom agak kurang memuaskan
- Lakonan beberapa pelakon tambahan kurang memberangsangkan.
Filem Dragon Blade ini mungkin menjadi salah sebuah filem “underrated” untuk tahun 2015 setakat ini. Promosinya, terutamanya trailernya tidak memberikan gambaran yang baik kepada filem ini kerana trailer tersebut mempromosikan filem ini sebagai sebuah filem aksi walhal aksi adalah perkara kedua utama dalam filem ini dan mesej keamanan dan perpaduan adalah fokus utamanya.
Bagi seorang yang berada dalam negara yang dihuni penduduk pelbagai kaum, filem ini akan memberikan kesan yang agak kuat pada saya, namun jika penonton dari negara satu kaum sahaja mungkin tidak akan terkesan sangat dengan mesej filem ini. Ia menunjukkan potensi kejayaan yang boleh dicapai daripada perpaduan dan fokus kepada keamanan.
Walaubagaimanapun, filem ini dihampakan oleh prop dan pelakon tambahan yang agak lemah dan ketiadaan CGI yang baik untuk menutup segala kelemahan kecil di sana sini. Jika anda seorang yang menilai filem dari produksi prop dan CGI, mungkin anda akan sedikit hampa kepada filem ini, namun jika anda jenis yang suka mendalami mesej yang disampaikan sesebuah filem, anda akan menghargai filem ini. Tidak sia-sia saya menonton filem ini.
1 thought on “Dragon Blade [Review]”