Birds of Pray – Filem Feminist Yang OK

Akhir-akhir ini semakin banyak filem-filem feminist telah dihasilkan, sesetengahnya OK dan sesetengahnya terlalu ketara perjuangan feministnya. Seperti yang mungkin anda jangka, Birds of Prey ialah percubaan DC Comics untuk menghasilkan filem anti hero berkumpulan berasaskan sepenuhnya watak wanita sejak filem Suicide Squad. Kami berpeluang menontonnya dah berikut pendapat kami mengenai filem tersebut.

Birds of Pray – Filem Feminist Yang OK

Filem Birds of Prey mengisahkan Harley Quinn, teman wanita the Joker yang mengambil keputusan untuk langsung berpisah dengannya kerana rasa tidak dihargai oleh watak penjenayah tersebut. Sebelum ini, ketika bersama dengan Joker, Harley mendapat imuniti dari dikacau penjenayah-penjenayah lain yang mempunyai dendam ke atasnya kerana penjenayah-penjenayah tersebut tidak berani menyentuh teman wanita Joker. Kini, setelah berita mengenai perpisahan tersebut diketahui umum, semua penjenayah yang mempunyai dendam dengan Harley cuba membunuhnya. Paling utama adalah Roman Sionis, ketua kumpulan jenayah terancang yang kejam dan terkenal di Gotham city.

Satu hari beliau mendapat sebuah berlian yang tertera padanya rahsia segala harta benda kumpulan mafia Bertinelli yang dibunuh satu ketika dahulu. Tetapi setelah berlian itu dicuri seorang penyeluk saku cilik bernama Cassandra Cain, Ia menyebabkan seluruh dunia penjenayah tunggang terbalik, termasuh Harley Quinn. Apakah yang akan terjadi dengan Harley dan bagaimanakah beliau akan menyelamatkan diri dari diburu semua musuhya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem ini mengambil konsep monolog atau penceritaan kisah Harley oleh dirinya sendiri. Format in memang sesuai dengan genre filem komedi gelap ini. Tetapi mungkin aturan penceritaan yang tidak teratur akan sedikit mengelirukan penonton. Namun, kami rasa itu sengaja dilakukan bagi menampakkan sifat Harley Quinn yang sedikit kelam kabut. Tetapi secara umum, jalan ceritanya mudah difahami, sungguhpun terdapat banyak flashback yang menerangkan latarbelakang watak-wataknya.

Dari awal lagi, jelas sekali jika dibandingkan dengan Suicide Squad, Birds of Pray merupakan sebuah filem yang jauh lebih menarik dari Suicide Squad. Jalan ceritanya lebih menarik, watak-wataknya lebih berkarisma dan lawak jenakanya menjadi. Mungkin Suicide Squad mahu lebih memfokuskan kepada sisi gelap DC Comics, secara tidak langsung menyebabkan apa jua bahan lawak dilihat tidak kena dengan tema gelap ini. Berlainan dari Birds of Pray yang dari awal lagi membawa vibe komedi gelap yang ceria dan bersahaja, menjadikan lawak jenakanya lebih mudah diterima penonton.

Bercanggah dengan jangkaan kami, Birds of Pray merupakan nama kumpulan anti-hero yang dianggotai beberapa watak dalam filem ini, tetapi apa yang tidak dijangka adalah Birds of Prey adalah kumpulan yang ditubuhkan hasil dari kejadian-kejadian dalam filem ini dan filem ini bukan menceritakan mengenai kumpulan anti hero tersebut. Dengan kata lain, Birds of Pray hanya ditubuhkan di penghujung filem ini dan filem ini bukan menceritakan mengenai kumpulan tersebut, sebaliknya lebih memfokuskan kepada Harley Quinn. Bercakap pula mengenai watak-watak dalam filem ini, kebanyakan wataknya berkarisma, kecuali mungkin watak Huntress yang agak kurang menyerlah. Kebolehan mereka beraksi dan berlawan sangat baik, malah koreografi lawan dalam filem in iboleh diberi pujian.

Namun seperti yang dikatakan pada awal artikel ini, filem ini jelas sekali sebuah filem “Girl Power“, malah semua watak lelaki dalam filem ini samada jahat atau mempunyai sifat-sifat misogynist . Sesetengah orang akan menyampah dengan filem begini, tetapi pada pendapat kami, kami tak kisah sangat mengenainya, asalkan mereka tidak menukarkan watak yang sepatutnya lelaki menjadi perempuan. Lagipun, filem ini memang menyeronokkan jika tidak fikir secara terlalu mendalam.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menghiburkan
  • Aksi yang mendebarkan
  • Watak yang berkarisma

Negatif

  • Ciri “Girl Power” dalam filem ini yang pekat, tak campur air.

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem Birds of Pray merupakan sebuah filem yang sangat menghiburkan, walaupun ciri “Girl Power” padanya menebal. Jika anda tidak mengambil serious perkara tersebut, anda tentu terhibur menonton filem ini. Lagipun, terdapat banyak filem yang disasarkan kepada penonton lelaki sahaja, apa salahnya sekali-sekala mengadakan filem khas untuk menaikkan watak wanita? Tontonlah filem ini bersama rakan-rakan anda di hujung minggu sebagai stress relief.

Penilaian

Jalan cerita – 7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak –8/10

Nilai hiburan – 9/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *