Ashfall – Filem Blockbuster Korea Dengan Bajet Terbesar

Sejak awal tahun kami mencari sebuah filem yang boleh memecah monopoli filem-filem mediocre dalam bulan Januari dan nampaknya kami terlah menjumpainya. Sebenarnya admin telah lama mahu menonton filem Ashfall ini, namun entah kenapa tayangannya sedikit dan promosinya pula kurang. Akhirnya kami berkesempatan menoton filem ini dan berikut ulasan kami mengenai filem ini.

Ashfall – Filem Blockbuster Korea Dengan Bajet Terbesar

Dalam filem Ashfall, Korea Utara sedang dalam proses penyerahan senjata nuklear kepada pihak Amerika, namun tanpa sebarang amaran, gunung Baekdu di semenanjung Korea telah meletus, sekaligus menyebabkan satu gempa bumi besar yang meranapkan Korea Utara dan Selatan, termasuk Seoul.

Dr Kang, seorang pakar geologi di sebuah Universiti di Seoul yang pernah membuat tesis mengenai kemungkinan berlakunya letusan gunung berapi ini telah dipanggi oleh Presiden Korea untuk sidang meja bulat untuk mencari penyelesaian di mana terdapat 3 buah kebuk magma di bawah gunung Baekdu yang akan meletus apabila tekanan dalam kebuk tersebut mencapai tahap kritikal. Sebagai penyelesaian, sebuah bom nuklear perlu diletupkan di dalam sebuah lombong berhampiran kebuk magma itu bagi menghasilkan lubang yang akan melegakan tekanan dalam kebuk tersebut.

Untuk itu, Kapten Jo In-Chang dan pasukannya perlu membebaskan seorang pengintip Korea Selatan, Ri Jun Pyeong yang terperangkap di dalam sebuah penjara di Korea Utara yang hampir ditinggalkan selepas gempa bumi tersebut. Hanya beliau tahu di mana bom nuklear Korea Utara disimpan dan dapat mengaksesnya. Lucunya, pasukan Kapten Jo terdiri dari anggota pemusnah bom yang jarang dipanggil untuk misi perang, malah telah lama tidak menjalani aktiviti kombat. Jadi mereka semuanya kelihatan seperti amateur.

Mereka mempunya masa terhad untuk menjalani misi mereka. Berjayakah mereka? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Ashfall

Review

Filem Ashfall merupakan filem blockbuster malapetaka Korea dengan bajet terbesar setakat ini dan segala bajet besar itu jelas terlihat dalam filem ini. Beberapa set besar telah dibikin khas untuk menggambarkan beberapa buah bandar di Korea Utara dan Seoul yang separa musnah. Pelbagai lokasi yang besar juga telah digunakan untuk membikin filem ini. Props dan senjata yang digunapakai pun bukan sebarangan. CGI yang berkualiti tinggi, terutamanya dalam babak gempa bumi di awal filem ini juga nampak mahal. Tidak hairanlah bajetnya begitu besar. Namun semuanya berbaloi.

Sepertimana yang anda sedia maklum, jika pembikin filem Korea membuat filem aksi, tentunya ia akan mempunyai tidak hanya babak aksi mendebarkan, malah unsur lucu, dan menyentuh jiwa. Filem Ashfall antara filem aksi Korea yang mempunyai keseimbangan terbaik dari segi aksi, lawak jenaka dan elemen kemanusiaan. Dari awal hingga akhir penonton sangat terhibur dengan keserasian antara dua watak utamanya, Kapten Ju dan pengintip Ri Jun Pyeong yang sememangnya lucu.

Ashfall

Namun, dalam gelak tawa, filem ini tidak melupakan ia sebuah filem yang serious. Jalan ceritanya yang tersusun rapi dan turut menyertakan tema geopolitik antara semenanjung Korea, China dan Amerika juga menjadikan filem ini lebih menarik bagi mereka yang inginkan sebuah filem yang bukan hanya aksi buta-buta sahaja. Sungguhpun temanya geopolitik, ia tidaklah terlalu berat sehingga memerlukan penonton memerah otak. Dan seperti kebanyakan filem Korea, sediakan tisu untuk bahagian penghujungnya yang menyentuh jiwa.

Cuma satu kekurangan dalam filem ini mungkin watak-watak sampingannya tidak banyak ditonjolkan, malah nama mereka pun sukar diingat kerana tidak banyak masa di skrin. Sarikata Bahasa Melayunya juga ke laut. Tapi memandangkan admin pun pernah mengambil job membuat terjemahan sarikata program realiti Korea, admin faham mengapa ia terjadi. Jadi bacalah sarikata bahasa Inggeris jika ingin memahami jalan cerita. Selain itu, kami jamin anda akan berpuas hati menonton filem ini di pawagam.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan pembinaan latarbelakang filem yang sangat baik
  • Lakonan watak yang baik dan keserasian watak yang menghiburkan
  • Tidak ada satu pun babak yang membosankan
  • Props, senjata dan CGI yang berkualiti tinggi

Negatif

  • Mungkin watak sampingan yang kurang diketengahkan
  • Sarikata Bahasa Melayu yang ke laut

Ashfall

Kesimpulan

Kesimpulannya mudah saja, tontonlah filem Ashfall di pawagam berhampiran anda. Berbaloi admin membeli popcorn dan air minuman yang mahal untuk menonton filem ini. Admin boleh jamin filem ini akan menghiburkan hari anda, walaupun anda mungkin bukan peminat filem aksi. Cuma admin hairan kenapa hanya sedikit orang yang menonton filem ini. Dalam pawagam, hanya ada admin dan 3-4 orang lain yang menonton. Ya, hanya lebih kurang 5 orang sahaja dalam pawagam! Tapi 5 orang yang jelas puas hati dengan tontonan tersebut.

Penilaian

Jalan cerita – 8/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10

Nilai hiburan – 10/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 9/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *