Independence Day Resurgence [Review]

Bagi mereka yang membesar pada tahun 90an tentu tahu betapa epiknya filem Independence Day asal yang diterbitkan pada tahun 1996. Ketika itu, ia merupakan filem pertama yang memaparkan penjajahan makhluk asing ke atas bumi dengan baik sekali. Oleh kerana itu, tidak hairanlah, ramai (termasuk kami) yang mempunyai harapan tinggi kepada sekuelnya, Independence Day Resurgence yang mula ditayangkan di pawagam semalam. Tetapi, dapatkah ia memuaskan harapan peminatnya? Kami telah menonton filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Independence day resurgence

Independence Day Resurgence [Review]

Filem Independence Day Resurgence berlangsung 20 tahun selepas serangan pertama makhluk asing ke atas bumi. Ketika ini manusia telah menggunakan teknologi yang diambil dari makhluk asing yang dikalahkan 20 tahun lalu untuk membina persenjataan yang mampu menandingi teknologi makhluk asing itu, termasuk pangkalan pertahanan angkasa di bulan.

Suatu hari, sebuah kapal angkasa berbentuk sfera telah muncul di kawasan pangkalan pertahanan di bulan. Menyangka ianya makhluk asing yang menyerang bumi 20 tahun lalu, pihak tentera telah menembak jatuh kapal angkasa tersebut.

Tidak lama kemudian, kapal angkasa sebesar separuh bumi telah muncul dan menyerang dan melumpuhkan pertahanan bumi. Bumi kini dalam bahaya. Apakah pihak bumi dapat mematahkan serangan kali ini? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

independence-day-2-resurgence-trailer-breakdown-easter-eggs-753096

Jalan Cerita dan Lakonan

Secara keseluruhannya, jalan cerita filem ini tidak mencapai standard yang diharapkan peminat Independence Day asal. Resurgence banyak mengitar semula formula yang digunapakai dalam filem pertama, tetapi formula berkenaan tidak lagi sesuai dalam zaman moden ini.

Tidak dapat dinafikan, filem ini berjaya membina hype dalam 30-40 minit pertama filem ini dan menampilkan beberapa babak lawak jenaka yang lucu, tetapi selain dari itu, plotnya seolah-olah berkembang terlalu cepat untuk memberi sebarang impak kepada penonton, seolah-olah dibikin secara tangkap muat.

independence-day-resurgence-jeff-goldblum-bill-pullman

Bukan itu sahaja, olehkerana filem ini seolah-olah ingin memuatkan terlalu banyak plot ke dalam masa yang pendek, watak-watak dalam filem ini juga tidak diberi fokus yang sebaiknya. Penonton tidak sempat mendalami setiap watak secara peribadi seperti mana dalam filem pertama. Dengan kata lain, watak-watak utamanya juga seperti pelakon tambahan.

Malah watak utamanya, Jake Morrison, lakonan Liam Hemsworth juga tidak mempunyai atitud yang menonjol, malah sedikit kaku jika dibandingkan dengan Will Smith dalam filem pertama. Lakonannya tidak berjaya menangkap perhatian penonton untuk menyukai watak tersebut.

maxresdefault4

Penglibatan Angelbaby (seorang model terkenal di China/Hong Kong/ Taiwan) dalam filem ini sebagai Rain Lao juga kami syaki hanya untuk menarik minat penonton dalam pasaran China dan Taiwan kerana lakonannya tidaklah sehebat mana.

CzUG5pZK2ZakVc7RvKuSpZ-970-80

Kesan Khas dan Muzik

Walaupun kami sedikit teruja dengan rekabentuk jet pejuang, persenjataan hasil campuran teknologi manusia dan makhluk asing, kesan khasnya bukanlah suatu yang istimewa. Watak makhluk asing juga ditampilkan menggunakan CGI berbanding menggunakan robotik seperti dalam filem asal. Namun, filem ini telah membawa kembali lagu tema filem pertama di bahagian kredit untuk memberikan perasaan nostalgia kepada penonton yang telah menonton filem pertama.

4966436cd9699084506719f58ebf32f2b3f403cdf898bc847769af3fef842d8e

Positif vs Negatif

Positif

  • Persenjataan pihak bumi yang menggunakan teknologi makhluk asing
  • Menghiburkan

Negatif

  • Jalan cerita yang tergesa-gesa
  • Tidak berjaya mencapai standard penonton filem pertama
  • Lakonan yang kurang mantap dari pelakon utamanya.

Kesimpulan

Setelah berbincang, kami tampil dengan satu teori mengapa filem Independence Day Resurgence tidak berjaya menandingi kejayaan filem pertamanya yang diterbitkan pada tahun 1996. Pada era 90an, idea untuk sebuah filem di mana makhluk asing menawan bumi secara global merupakan satu idea yang luar biasa.

independence day resurgence

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat filem makhluk asing seperti Alien dan Predator pada zaman itu, namun Independence Day merupakan filem pertama yang memaparkan pihak manusia bersatu untuk menentang makhluk asing menggunakan persenjataan yang wujud pada ketika itu. Perbezaan ketara antara teknologi kedua pihak menyebabkan manusia dilihat sebagai underdog dan seperti mana filem underdog lain, kejayaan mereka tentunya memberi impak yang lebih tinggi kepada penonton.

Pada zaman sekarang pula, pawagam dibanjiri filem makhluk asing menyerang bumi seperti dipaparkan dalam filem-filem Transformers dan The Avengers. Jadi, konsep filem makhluk asing menyerang bumi secara besar-besaran bukanlah satu genre yang luar biasa.

Kami berpendapat, inilah kelebihan membesar dalam era 90an di mana pada zaman tersebut terdapat banyak idea filem yang mengujakan dan luar biasa pertama kali diterbitkan, berbanding pada zaman sekarang di mana idea tersebut telah digunapakai berkali-kali.

Apa pun, kami boleh merekomen filem ini kepada peminat filem pertama, namun janganlah mempunyai harapan yang tinggi untuk filem ini, memandangkan ia menggunakan formula yang dikitar semula dan telah digunakan berkali-kali. Bagi yang tidak pernah menonton filem asal, anda juga boleh memahami plot filem ini tanpa menonton filem pertama.

Penilaian 6.5/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

2 thoughts on “Independence Day Resurgence [Review]

    1. Well lain sikit. Independence day bumi kena serang alien, day after tomorrow bumi mengalami perubahan cuaca mendadak. KLCC ada, tp kena tgk betul2 baru nampak.enjoy!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *