The Maze Runner bukanlah satu filem yang saya tunggu-tunggu, malah trailer filem ini tidaklah memberangsangkan. Namun setelah menontonnya, ia merupakan satu filem yang agak menarik dan di luar jangkaan saya.

The Maze Runner [Review]
The Maze Runner mengisahkan Thomas yang dibawa masuk ke sebuah kawasan yang dikurung oleh dinding-dinding yang tinggi di dalam sebuah kota sesat. Beliau yang hilang ingatan menyertai kumpulan remaja yang turut dikurung di tempat tersebut. Setiap hari beberapa orang dalam kumpulan itu yang dipanggil “runners” akan keluar ke kota sesat itu untuk mencari jalan keluar, tetapi gagal.
Thomas yang secara semulajadi seorang yang ingin tahu telah cuba mengubah pendirian kumpulan itu dari polisi untuk terus tinggal dan mengambil risiko untuk keluar dari kota sesat itu. Mampukan dia menyelamatkan kumpulan tersebut dan membawa mereka keluar dari situ? Tontonilah filem ini untuk mengetahuinya.

Jalan Cerita
Apa yang menarik tetang pengolahan jalan cerita ini ialah ia tidak memberikan sebarang klu kepada penonton tentang apa yang telah berlaku. Sejak dari mula lagi penonton berada dalam keadaan tertanya-tanya tentang apa telah berlaku, sama seperti watak-watak dalam filem ini. Pengetahuan mengenai situasi mereka berkembang selari dengan jalan cerita. Tidak seperti sesetengah filem yang kadang-kala akan bertukar-tukar antara “pandangan orang jahat” dan “pandangan hero” untuk memberikan gambaran di kedua-belah pihak.
Babak-babak aksi dalam filem ini sangat mendebarkan dan akan membuatkan anda tidak senang duduk di kerusi. Walaupun ia filem remaja, terdapat juga babak aksi yang kurang menyenangkan bagi kanak-kanak, namun ia tidaklah memaparkan “blood and gore” secara jelas.
Walaubagaimanapun, isi kandungan filem ini agak sedikit walaupun filem ini mempunyai durasi hampir 2 jam dan anda akan berasa kurang puas. Ini kerana filem ini adalah bahagian pertama dalam siri filem The Maze Runner yang berasaskan novel terkenal dengan tajuk yang sama.

Kesimpulan
Positif
- Jalan cerita yang menarik dan mendebarkan
- Memberi pengajaran berguna kepada penonton iaitu jangan berpegang pada sesuatu yang tidak menguntungkan kerana takut untuk maju ke depan.
- Kesan khas yang berkualiti
Negetif
- Isi cerita yang sedikit. Nampak sangat mereka nak supaya penonton menonton filem seterusnya dalam siri filem tersebut.
- Tema filem remaja yang kita terlalu biasa tonton.
Film The Maze Runner merupakan sebuah filem yang agak baik di luar jangkaan saya, namun isi kandungan agak kurang dan bahagian penghujung yang walaupun agak “potong stim” masih tidak menghampakan. Mungkin kalau filem ini dipanjangkan kepada 3 jam, mungkin semua isi boleh dimuatkan dalam satu filem. Namun, sebagai keputusan perniagaan, mereka memecahkan kepada beberapa filem. Lebih tepat lagi 3 bahagian di mana bahagian kedua The Scorch Trials akan ditayangkan 18 September 2015. Bahagian ketiga, The Death Cure belum lagi diumumkan.
Penniless novel ini juga telah menulis satu prequel dan satu lagi masih dalam tulisan, jadi mungkin lebih banyak filem dalam siri ini akan dikeluarkan.






