The Liberator – Animasi Perang Dunia Kedua [Review]

Sebagai peminat filem, antara filem paling admin diminati ialah dalam genre perang dunia kedua seperti Saving Private Ryan, serta siri pendek Band of Brothers dan The Pacific. Kerana itu, siri pendek The Liberator menarik minat admin untuk menontonnya. Berikut adalah pendapat admin mengenai siri 4 episod itu.

Liberator

The Liberator – Animasi Perang Dunia Kedua [Review]

The Liberator merupakan kisah benar yang berlangsung sekitar perang dunia kedua mengisahkan Felix Sparks, seorang Kapten dalam tentera US yang pada mulanya ditugaskan untuk menubuhkan pasukan tentera yang terdiri dari pelbagai kaum minoriti. Ada yang dari puak orang asli Amerika, ada yang dari kaum Mexico Amerika dan ada yang merupakan golongan koboi di Amerika. Cabarannya ialah pada ketika itu, kaum-kaum minoriti ini tidak bersefahaman antara satu dengan lain dan juga tidak boleh di sisi undang-undang masuk ke sesetengah tempat seperti bar dan restaurant yang sama dengan orang kulit putih.

Siri ini memperlihatkan bagaimana Kapten Sparks menyatukan pasukannya sehingga dikenali sebagai Regimen ke 157 tentera US dan berkhidmat sepanjang perang dunia kedua. Tontonlah siri ini di Netflix untuk menonton sepenuhnya siri ini.

Review

Berlainan dari Band of Brothers, siri The Liberator menggunakan medium animasi untuk menceritakan kisahnya. Sebenarnya ia bukan animasi, tetapi rakaman live action yang telah digayakan untuk nampak seperti animasi. Admin rasa green screen banyak digunakan dalam pembikinan siri ini. Jika anda pernah bermain permainan video The Walking Dead, gaya animasi yang hendak ditampilkannya adalah sama. Sesetengah orang sukakannya, sesetengah orang tidak. Namun ia mengurangkan sedikit tahap blood and gore yang boleh dilihat dalam siri ini. Bagi admin, gaya ini OK sahaja.

Memandangkan siri ini ada 4 episod, kisah-kisah yang ditampilkan sangat padat. Walaupun kempen regimen ke 157 tentera US ini berlangsung selama 500 hari, tidak semua peperangan diceritakan dalam siri ini. Kempen regemen ini bermula di pulau Sicily, Italy, kemudian ke Anzio, Pergunungan German dan berakhir di Dachau di mana terdapatnya kem konsentrasi Nazi menempatkan orang Yahudi. Tempat-tempat ini merupakan peperangan paling berdarah dalam kempen ketenteraan yang bermula dari pembebasan Italy ke tangan pihak berikat.

Liberator

Tidak banyak yang dapat diceritakan dalam setiap episod dari segi fakta sejarah, tapi admin percaya, apa yang ingin diketengahkan para pembikin siri ini adalah komitmen Kapten Sparks kepada pasukannya sehingga walaupun beliau diberi arahan untuk pulang ke US selepas mengalami kecederaan, beliau mengingkari arahan itu untuk kembali bersama pasukannya. Anehnya, isu konflik antara kaum minoriti dalam pasukannya yang ingin diketengahkan dalam siri ini tidak begitu tercapai kerana admin tidak nampak banyak konflik dalam pasukannya untuk dijadikan satu isu untuk diatasi.

Tambahan pula, oleh kerana gaya animasi digunapakai, rupa paras watak-watak dalam siri ini sukar diingati, bermakna kematian mereka juga tidak begitu dirasai. Apa yang penonton nampak ialah kemajuan Kapten Sparks dalam setiap episod sehingga beliau dinaikkan pangkat kepada Lt. Kolonel. Dengan kata lain, hanya kisah Kapten Sparks sahaja yang menonjol, manakala kisah watak-watak yang lain agak tenggelam. Walaubagaimanapun, impak moral dan emosi dari kejadian-kejadian yang berlaku tetap berjaya disampaikan kepada penonton melalui siri ini.

Secara keseluruhannya, The Liberator tidaklah sehebat sebuah siri live action seperti siri HBO Band of Brothers dari segi realism, aksi dan impak penceritaannya kepada penonton, namun admin pasti kos pembikinannya juga jauh lebih rendah berbanding siri HBO itu. Apa yang penting bagi penerbit siri ini adalah kisah benar Regimen Ke 157 Tentera US ini diceritakan kepada umum. Kepada peminat filem WW2, anda masih boleh menikmati siri ini sama seperti kandungan genre WW2 yang lain, cuma jangan meletakkan harapan terlalu tinggi.

Liberator

Positif vs Negatif

Positif

  • Kisah benar yang menarik untuk dipelajari
  • Gaya campuran animasi dan live action yang agak bergaya
  • Jalan cerita yang boleh tahan.

Negatif

  • Terlalu fokus kepada Kapten Sparks dan kurang kepada anggota pasukannya
  • Kisah-kisah yang diceritakan agak pendek dan tidak mendalam

Liberator

Penilaian

Jalan cerita –7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak –7/10

Nilai hiburan – 7/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *