Admin mula perasan bahawa kandungan berbahasa Arab mula timbul di Netflix akhir-akhir ini. Terbaru, Netflix baru melancarkan filem aksi Arab bertajuk Mosul, yang dibikin dengan ilham kisah-kisah benar mengenai sekumpulan anggota rogue (ingkar arahan pihak atasan) SWAT Iraq yang bangkit melawan ISIS/Daesh di bandar mereka, Mosul. Sebaik menonton trailer filem ini, admin sudah pasti mahu menonton filem ini. Berikut adalah pendapat admin mengenainya.
Mosul – Filem Berdasarkan Kisah Benar SWAT Iraq [Review]
Filem Mosul ialah sebuah filem aksi/drama yang dibikin dengan ilham dari kisah benar mengenai satu skuad polis SWAT Iraq yang ingkar arahan pihak atasan dan kekal berjuang menentang ISIS/Daesh di bandar mereka Mosul. Kisah mereka difokuskan kepada anggota terbaharu mereka yang merupakan seorang anggota polis Mosul yang mereka selamatkan dari kejadian tembak-menembak dengan pihak ISIS.
Bermulalah perjuangan mereka menentang ISIS dan melengkapkan misi mereka. Adakah mereka akan berjaya? Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Apa yang menarik mengenai filem Mosul ini, ialah ia mendapat sentuhan produser adik-beradik Russo (Avengers Endgame) dan hasilnya memang jelas. Aksi yang mendebarkan dan realisme yang tinggi sehingga ibu admin yang menonton sebahagian filem ini bersama admin menyangka ia adalah sebuah dokumentri Al Jazeera yang dirakam oleh wartawan di lapangan yang mengikuti kumpulan tersebut. Ditambah pula dengan dialog yang natural , tidak menggunakan skrip yang rigid dan kadang kala spontan.
Namun, walaupun ia mendapat sentuhan produser Holywood, jalan cerita dan babak aksinya tidak begitu mengikuti style Holywood, sebaliknya lebih filem realiti. Bermakna tiada istilah watak hero kebal dari peluru atau seumpamanya. Sebaliknya anggota-anggota pasukan skuad tersebut memperlihatkan sifat manusia mereka. Mereka melakukan kesilapan, seperti tertembak rakan sendiri semasa pertempuran, tertipu dengan pembelian senjata tiruan, mencari kegembiraan di celah-celah pertempuran dan pelbagai lagi benda-benda kecil yang memperlihatkan bahawa mereka manusia biasa juga.
Itulah kelebihan filem ini, iaitu ia bukan sahaja menyajikan aksi semata-mata, sebaliknya ia juga memaparkan keperitan kehidupan semasa peperangan dalam bandar dengan ISIS. Ia juga memaparkan perkara-perkara kecil seperti bagaimana pasukan itu solat semasa perang dengan bertayamum dan bagaimana mereka sempat menonton drama TV semasa berehat seketika dalam sebuah rumah yang telah diserang ISIS.
Namun, kelemahan filem ini adalah ia tidak memberi gambaran jelas dari mula mengenai apakah sebenarnya misi pasukan SWAT ini. Penonton tidak akan dapat tahu jawapannya sehingga babak-babak penghujung filem ini. Jadi, 70% bahagian awal filem ini, penonton akan tertanya-tanya tentang apa tujuan mereka kekal di bandar Mosul itu.
Kesan dari teknik penceritaan ini ialah filem ini bukanlah filem aksi terus menerus seperti kebanyakan filem perang seperti Black Hawk Down ataupun Extraction. Ia mempunyai beberapa babak perlahan dan panjang yang bertujuan untuk membolehkan penonton menghadam persekitaran dan situasi yang mereka berada demi menghayati apa yang mereka lalui.
Apa pun, secara keseluruhan filem ini masih seronok ditonton, walaupun aliran cerita dan kesudahannya bukan seperti apa yang diharapkan, malah boleh dikatakan tergantung. Tapi pada pendapat admin, tujuan jalan cerita filem ini dibikin sedemikian rupa adalah untuk memastikan penonton faham apa sebenarnya misi pasukan SWAT itu. Bila penonton boleh faham itu, maka jalan ceritanya tidak perlu diteruskan lagi kerana ia akan berulang. Anda perlu menontonnya untuk memahami apa yang admin katakan ini.
Positif vs Negatif
Positif
- Aksi dan lakonan yang realistik, bukan dramatik
- Kualiti babak pertempuran di tahap Holywood
- Memaparkan realiti pertempuran di bandar Mosul, Iraq
- Set penggambaran sangat realistik
Negatif
- Bukan sebuah filem aksi + hiburan.
- Jalan cerita mungkin akan mengelirukan sesetengah penonton.
- Admin rasa tidak semua akan faham kesudahan filem ini dan apa sebenarnya outcome yang hendak dicapai filem ini.
Penilaian
Jalan cerita –7/10
Lakonan/Rekaan watak-watak –7/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 9/10