Sweet Home – Drama Seram Penuh Emosi [Review]

Ketika pertama kali menonton trailer siri Korea “Sweet Home” di Netflix, admin merasa admin tidak berjaya diyakinkan oleh trailer tersebut. Ia nampak agak “cheezy” dan setelah menonton filem #Alive di saluran yang sama, admin tidak meletakkan harapan yang tinggi. Namun, admin baru sahaja difahamkan Netflix meletakkan bajet USD2.4 juta per episod untuk siri ini, iaitu dua kali ganda bajet USD1.2 justa per episod yang diletakkan untuk siri Kingdom yang sangat popular. Memandangkan admin pun tidak mempunyai filem/siri Netflix yang mahu di tonton pada ketika ini, admin pun mula menonton dan menghabiskan 10 episodnya dalam masa 3 hari. Berikut pendapat admin mengenai siri ini.

Sweet Home – Drama Seram Penuh Emosi [Review]

Sweet Home adalah siri drama seram Netflix yang merupakan adaptasi dari komik web dengan tajuk yang sama. Ia mengisahkan Cha Hyun-su, sekoran “hikikomori” (orang yang suka menyendiri dalam bilik) yang baru kehilangan keluarganya dalam satu kemalangan jalan raya. Beliau berpindah ke sebuah apartmen kos rendah bernama Green Home Apartment pada awal bulan Ogos dan merancang untuk membunuh diri pada 25 Ogos.

Namun sebaik sahaja beliau berpindah ke sana, perkara aneh mula berlaku. Didapati semua pintu masuk dan keluar ke apartment tersebut telah dikunci dan tiada penghuni dapat keluar darinya. Tidak lama kemudian, kemunculan raksasa-raksasa aneh di dalam apartment tersebut dan bermulalah perjuangan penghuni untuk kelangsungan hidup mereka dalam bangunan Green Home itu. Pada masa yang sama, Hyun-su mengalami pendarahan hidung yang kronik, yang menjadi petanda beliau dijangkiti penyakit misteri. Apa sebenarnya berlaku? Tontonlah siri ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.

Sweet Home

Review

Secara keseluruhan ada beberapa perkara yang unik mengenai Sweet Home yang admin suka. Antaranya ialah penyakit misteri yang menyebabkan orang bertukar menjadi raksasa tidak boleh berjangkit. Ini menjadikan dinamik cerita ini berbeza dari kisah-kisah zombie yang dah cukup tepu dan basi di arena filem dan TV masa kini. Bermakna jalan ceritanya lebih mirip filem adiwira yang disalahanggap berbanding cerita zombie tipikal di mana semua takut dijangkiti.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai siri ini adalah ia lebih memfokuskan kepada nilai kemanusiaan dan impak sosial hasil dari malapetaka bersaiz raksasa ini. Watak-watak utama dan sokongan yang ramai dan sangat pelbagai menjadikan kisah mereka sangat “relateable” kepada penonton Asia. Penonton juga akan merasakan diri mereka terpaut pada watak-watak dalam siri ini. Ia ibarat satu kampung yang mempunyai pelbagai karenah dan seribu satu masalah peribadi di kalangan mereka.

Dan seperti mana-mana filem atau siri Korea, setelah membuatkan hati penonton terpaut pada watak-watak dalam siri ini, satu demi satunya ditarik (dimatikan) dalam situasi yang menyayat hati. Lebih kurang separuh dari episod siri ini mempunyai babak-babak heroik atau tragedi yang memberi impak kepada penonton. Lagi banyak episod anda tonton, lagi terpaut hati anda kepada watak, lagi sedih anda bila watak tersebut pergi meningalkan siri ini. Jadi, kalau anda jenis berhati hati tisu, sediakan tisu di samping anda.

Walaubagaimanapun, walaupun siri ini siri drama mengenai raksasa, Sebagai peminat genre ini, admin kurang berpuas hati dari segi rekaan raksasanya. Sepertimana admin pernah ceritakan dalam post terdahulu, admin berasa kebanyakan filem/siri TV keluaran syarikat Asia tidak mempunyai CGI yang baik. Siri ini tidak terkecuali. CGI raksasanya memang ke laut, walaupun kesan khas fizikal untuk darah dan kecederaan badan boleh dikatakan sangat baik. Sepertimana admin katakan di awal review, siri ini lebih fokus kepada nilai kemanusiaan dan tidak terlalu fokus kepada bahagian raksasa.

Sweet Home

Secara keseluruhan, musim pertama Sweet Home ini hanyalah pengenalan kepada plot keseluruhannya dan pada pendapat admin plotnya setakat ini cukup baik untuk membuatkan penonton mendahagakan sequel. Jika disimpulkan daripada episod terakhir siri ini, terdapat kisah yang lebih mendalam dan lebih bercabang menanti penonton dalam musim kedua. Harapan admin ia tidak menghampakan peluang yang terbuka, hasil dari plot yang berpotensi tinggi ini.

Kami rekomen anda tonton siri Sweet Home di Netflix samada anda gemar genre raksasa atau tidak. Kerana kami rasakan ia mampu menarik penonton dari segenap lapisan masyarakat, bukan sahaja peminat sci-fi. Memang berbaloi.

Sweet Home

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menarik
  • Pengolahan babak yang berkesan, terutamanya babak tragedi
  • Penyertaan karakter yang pelbagai dan “relatable” kepada penonton

Negatif

  • CGI ke laut.
  • Setiap episod ada temanya sendiri, namun isi kandungannya agak sedikit dari jangkaan.
  • Ada sesetengah babak yang tak masuk akal, contohnya berlaku pertempuran di ruang lobi bangunan, tetapi seorang dari wataknya yang berada di basement seolah tidak dengar pertempuran sehingga akhir.

Sweet Home

Penilaian

Jalan cerita – 7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak –8/10

Nilai hiburan – 8/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *