Alice in Borderland – Adaptasi Manga yang Mendebarkan [Review]

Admin mendapati salah satu siri Netflix yang sedang trending adalah Alice in Borderland. Admin pernah menonton trailernya sebelum ia mula ditayangkan tetapi ia tidaklah berjaya menangkap minat admin untuk menontonnya memandangkan filem dalam genre siri tersebut telah banyak admin tonton. Walaubagaimanapun, apabila orang mula bercakap, admin pun terpanggil untuk mengulas. Berikut adalah pendapat admin selepas menonton musim pertama.

Borderland

Alice in Borderland – Adaptasi Manga yang Mendebarkan

Alice in Borderland adalah adaptasi kisah manga/anime dengan tajuk yang sama. Ia mengisahkan Ryohei Arisu, seorang penganggur yang hanya duduk di rumah bapanya yang kaya dan berpengaruh. Bapanya menganggapnya seorang yang gagal berbanding adiknya yang meningkat naik dalam kerjayanya. Oleh sebab itu bapanya tidak meletakkan sebarang harapan ke atasnya dan hanya membiarkannya. Suatu hari beliau keluar ke Shibuya, bersama rakan-rakannya. Setelah membuat kacau, mereka lari menyorok di dalam tandas awam bagi mengelak dijumpai pihak polis. Sebaik mereka keluar dari tandas mereka dapati seolah seluruh bandar Tokyo telah kosong. Semua orang telah lesap.

Tidak lama kemudian mereka di arahkan ke suatu lokasi untuk bermain satu permainan yang mereka kemudian sedari adalah permainan kalah mati. Jika kalah, mereka akan mati. Sebaik sahaja mereka mendaftar, mereka tidak boleh keluar sehingga permainan tamat. Bergantung kepada keputusan permainan, ia akan menentukan kelangsungan hidup mereka. Adakah mereka akan berjaya mengatasi permainan-permainan ini? Tontonlah siri ini di Netflix.

Borderland

Review

Sejujurnya, admin tidak pernah mengenali manga atau anime Alice in Borderland, namun sejak tahun 2000an, admin sudah pun terdedah dengan genre permainan maut adaptasi manga seperti yang kita lihat dalam siri ini. Bermula dengan filem Battle Royale / Battle Royale 2, kemudian dengan siri filem Death Note dan beberapa filem lagi. Siri Netflix ini juga tidak terkecuali dari klise genre ini iaitu hero akan menghadapi permainan menduga minda yang mempunyai kemungkinan sangat rendah untuk menang, sementara berhadapan dengan tikaman dari belakang dari pemain lain serta pelbagai rintangan tidak diduga dan hukuman untuk gagal adalah mati. Ia memang tak lari dari klise tersebut.

Oleh kerana itu, mereka yang seperti admin sudah terbiasa menonton filem atau siri dalam genre sama, tidak akan berasa kagum dengan jalan cerita dan susun atur siri ini seperti mana mereka yang baru pertama kali menonton kandungan genre permainan maut ini. Sungguhpun demikian, satu ciri-ciri filem atau siri dalam genre ini adalah ia sangat mendebarkan dan menduga minda. Jadi, walaupun admin sudah terbiasa menonton filem / siri dalam genre ini, admin tetap kekal menonton setiap episod, satu demi satu, kerana sukar untuk berhenti. Malah admin sudah boleh agak kesudahan dalam permainan pusingan terakhir di penghujung siri ini.

Tetapi antara kelainan yang dibawa dalam siri Jepun ini adalah menambahkan babak-babak sedih ala K-Drama bagi memenangi lagi hati penonton dan babak-babak tersebut agak berkesan, tetapi tidak sebaik K-Drama. Satu lagi kelainan ialah kemasukkan babak-babak spara-lucah sepanjang siri ini. Biasanya dalam filem atau siri Jepun, unsur-unsur lucah tidak dimasukkan ke dalamnya, terutamanya kandungan arus perdana. Kalau orang Jepun hendak adakan babak lucah, mereka akan buat filem lucah terus. Namun, daripada pemerhatian admin, penyertaan unsur lucah (dan LGBT) ini biasanya berlaku apabila sesuatu kandungan itu dibuat untuk Netflix di mana penontonnya penonton antarabangsa. Siri ini dikategorikan untuk 16 tahun ke atas, tetapi anda boleh menilai sendiri jika menonton.

Borderland

Apa pun, secara keseluruhan, siri ini memang mendebarkan dan penuh aksi. Tetapi aksi tahap Jepun lah. Bermakna ia ada kelemahannya sendiri. Ia tidak berada pada tahap siri Korea atau Hollywood. Kekuatannya adalah genre permainan maut yang memang unik bagi Jepun, walaupun cuba ditiru Hollywood dalam filem seperti Escape Room. Blood & gore dalam filem / siri Jepun jauh mengatasi filem lain. Tontonlah siri ini jika anda berminat atau ingin mengenali genre permainan maut ini.

Borderland

Positif vs Negatif

Positif

  • Permainan yang penuh aksi dan drama
  • Putaran plot yang menarik
  • Continuity yang bagus antara satu episod dengan yang lain

Negatif

  • Filem genre permainan maut sudah boleh diagak
  • Efek khas kurang memberangsangkan.

Borderland

Penilaian

Jalan cerita –7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak –7/10

Nilai hiburan – 8/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *