Occupied – Thriller Geopolitik Norway yang Hebat [Review]

Seperti biasa, dalam era Covid 19, menonton wayang bukan lagi pilihan di sesetengah negeri yang mempunyai kadar jangkitan yang agak tinggi. Maka Netflix merupakan pilihan alternatif untuk mendapat kandungan untuk tontonan di kala PKPB. Kali ini admin menonton musim pertama siri TV Norway bertajuk Occupied. Siri ini merupakan sebuah thriller geopolitik yang diterbitkan pada tahun 2015. Siri genre geopolitik ini agak berat dan kini telah menamatkan musim ketiganya. Walaubagaimanapun, admin hanya menonton musim pertama dan akan mengulas samada ia berbaloi untuk ditonton sehingga habis.

Occupied – Thriller Geopolitik Norway yang Hebat [Review]

Occupied mengisahkan Norway yang telah mengumumkan bermula peralihannya kepada tenaga hijau sepenuhnya dengan pembukaan loji-loji tenaga berasaskan Thorium dan menutup kesemua produksi minyak dan gas yang dimilikinya. Lebih teruk, akibat perang, semua kemudahan penghasilan minyak di timur tengah telah musnah, bermakna negara-negara timur tengah tidak dapat mengeluarkan minyak. ini menyebabkan bekalan minyak dan gas tidak mencukupi di Eropah dan sebagai pembekal minyak dan gas utama di Eropah, penghentian pengeluaran di Norway memberi impak yang besar terhadap bekalan tenaga di Eropah.

Dalam tindakan drastik, Kesatuan Eropah (EU) dengan kerjasama Russia telah menculik perdana menteri Norway, Jasper Berg dan memaksanya untuk memulakan semula operasi penghasilan minyak dan gas hingga ke tahap maksimum. Sehubungan dengan itu, tentera Russia telah mendarat di platfor-platform carigali minyak dan memaksa perdana menteri menandatangani perjanjian yang akan melihat Russia meletakkan wakilnya di Norway untuk memantau penghasilan minyak di negara tersebut.

Tindakan ini, walaupun tidak digelar secara rasmi sebagai penjajahan oleh kerajaan yang ditadbir parti Jasper Berg memandangkan ia dibuat dengan kerjasama EU, tidak semua rakyatnya serta pasukan keselamatannya bersetuju. Musim pertama ini memperlihatkan segala yang dialami oleh kerajaan dan rakyat Norway, dan tidak balas daripada penjajahan tersebut.

Occupied

Review

Sebagai permulaan, admin ingin menggariskan bahawa siri TV Occupied ini adalah sebuah siri dengan topik yang agak berat, geopolitik. Ia ada beberapa babak aksi, namun itu bukan keutamaannya. Oleh itu jika anda berminat dengan topik geopolitik secara serious, siri ini untuk anda. Ia memaparkan plot yang sangat bersangkut paut dengan topik geopolitik antarabangsa dan admin berasa jika anda kurang berminat dengan topik ini, mungkin anda tidak mampu menonton siri ini sehingga habis.

Siri ini mengikuti segenap lapisan masyarakat Norway untuk menggambarkan pandangan mengenai penjajahan Russia dari sudut pandang ahli politik, jurnalis, rakyat biasa, pengganas/pejuang negara dan pasukan keselamatan. Semua mempunyai pendapat berbeza dengan tahap akses kepada maklumat yang berbeza.

Episod pembukaannya sangat dramatik dan mengujakan, namun secara keseluruhannya ia tidak sedramatik siri TV 24 atau Designated Survivor yang dibikin Hollywood. Setiap episodnya berakhir tanpa sebarang drama yang signifikan menyebabkan penonton tidak begitu teruja untuk menonton episod berikutnya. Nampaknya siri TV Eropah lebih menggunakan plot yang sofistiketed dan perbincangan beraras tinggi untuk menarik minat penonton. Bagi anda yang sudah terbiasa menonton siri TV Holywood, mungkin ia memerlukan sedikit penyesuaian apabila menonton Occupied. Pace-nya berlainan.

Walaubagaimanapun, pujian harus diberikan kepada penulis filem ini kerana ketelitiannya. Setiap perincian atau butiran dalam siri ini mempunyai tujuannya tersendiri dan jika ia tidak didedahkan serta-merta, ia akan didedahkan juga akhirnya. Sebagai contoh, seorang watak bernama Bente, iaitu isteri kepada Thomas, seorang jurnalis, mempunyai hubungan sulit dengan seorang pengawal peribadi Russia. Pada mulanya hubungan sulit itu nampak tidak releven kerana sehingga suaminya mati pun hubungan itu tidak nampak releven, namun pada episod terakhir hubungan itu nampak releven kerana ia membolehkan Bente selamat dari ditangkap pihak Russia yang mencari agen Free Norway di restauran milik Bente.

Occupied

Banyak juga perkara yang boleh dipelajari mengenai masyarakat Norway dari siri TV ini. Antaranya bagaimana perdana menterinya bukanlah berada di kayangan seperti di negara-negara lain seperti USA atau China. Sesiapa sahaja mempunyai akses kepadanya dan beliau boleh dipanggil dengan nama pertama iaitu “Jasper”. Contohnya jurnalis Thomas sering berjumpa perdana menteri di pajabat kerajaan dan terus menyapanya dalam perjalanannya keluar dari pejabat. Ada juga perkara yang pelik, contohnya, mengapa EU beriya sangat untuk memulaukan Norway, padahal EU sendiri telah meletakkan sasaran penggunaan tenaga hijau untuk negara anggotanya? Tetapi dalam siri TV ini ia sanggup membelakangkan Norway walaupun ia menawarkan teknologi Thorium kepada seluruh dunia. Mungkin EU hipokrit dan masih ingin bergantung kepada bahan api fosil kerana ia lebih menguntungkan?

Apa pun, secara keseluruhan musim pertama siri Occupied ini hebat, tetapi tidaklah terlalu hebat sehingga ia boleh dikategorikan sebagai mesti tonton. Jika anda peminat siri bertemakan geopolitik, anda akan menyukainya, namun jika anda bukan peminat genre ini, tak perlulah anda menontonnya kerana anda mungkin tidak akan berminat menonton sehingga habis.

Occupied

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan plot yang menarik
  • Realistik berbanding siri TV Holywood yang terlebih dramatik.
  • mengambil sudut pandang pelbagai lapisan masyarakat Norway.

Negatif

  • Topik yang berat, tidak sesuai untuk mereka yang tidak minat geopolitik
  • Tahap drama yang rendah menyebabkan penonton kurang teruja untuk menonton episod berikutnya

Kesimpulan

Musim pertama siri Occupied merupakan sebuah thriller politik seperti Designated Survivor, tetapi versi Scandinavia. Ia berbeza berbanding Holywood dan lebih mengetengahkan jalan cerita berbanding aksi dan drama. penonton perlu berfikiran terbuka dan meminati genre ini sebagai syarat untuk menontonnya, tetapi jika ia kena pada minat anda, anda pasti menontonnya shingga akhir.

Penilaian

Jalan cerita – 8/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10

Nilai hiburan –7/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *