Dalam admin melayari laman sosial Youtube, satu tajuk anime tiba-tiba menampakkan diri dan diulas oleh beberapa saluran media sosial itu, iaitu anime Violet Evergarden. Antara yang mengulasnya menyatakan kaitannya dengan PTSD anggota tentera yang baru pulang dari perang. Ini menarik minat admin untuk menonton anime ini. Anime yang diterbitkan pada tahun 2018 rupa-rupanya merupakan anime asli Netflix. Jadi ia mudah dicari admin. Berikut adalah ulasan admin mengenainya
Violet Evergarden – Anime Mengisahkan Pencarian Makna Kehidupan [Review]
Violet Evergarden mengisahkan mengenai satu benua fiksyenal era ala perang dunia pertama, yang menempatkan beberapa negara yang saling berperang. Violet Evergarden merupakan seorang budak perempuan anak yatim yang dikutip oleh tentera negara Leidenschaftlich dan dilatih dari kecil untuk menjadi pembunuh di medan perang, dan jadilah dia seorang pembunuh yang amat patuh kepada arahan ketuanya. Di pertengahan perang, beliau diletakkan di bawah arahan Major Gillbert Bougainvillea. Sebelum itu Violet “milik” abangnya, Kapten Dietfreid Bougainvillea dan pada asalnya tidak diberikan nama pun. Kedua-dua adik beradik itu mempunyai pandangan berbeza mengenai Violet. Dietfried menganggap Violet hanya sebagai “alat” membunuh yang boleh dibuang selepas tidak berguna, manakala Gillbert pula menganggapnya sebagai manusia dan mula mengajarnya menulis dan cuba mempengaruhinya untuk berfikir sendiri berbanding mengikuti arahan membuta tuli.
Kisah sebenarnya Violet Evergarden bermula setelah perang tamat. Beliau dari kecil hanya dilatih untuk berperang dan membunuh ingin mencari makna arahan terahir Major Gillbert yang diberikannya sebelum mati iaitu untuk “meneruskan hidup dan hidup dengan bebas”. Beliau juga ingin mencari makna ayat terakhir Major iaitu “I love you” yang beliau langsung tidak faham maknanya.
Selepas perang beliau diletakkan di bawah jagaan rakan Major Gillbert, Lt Kol. Hodgins yang kini membuka syarikat pos yang juga menawarkan perkhidmatan “Auto Memory Doll”. Auto memory doll ini bertugas untuk menulis surat untuk pelanggan dengan menterjemahkan perasaan yang klien ingin sampaikan ke dalam surat yang ditulis. Oleh kerana skill sosial yang berada di tahap kosong, Violet memang gagal dalam melaksanakan tugas ini dengan baik. Semua suratnya seperti laporan tentera. Namun berpegang kepada keinginannya untuk mengetahui makna arahan terakhir Major Gillbert, beliau bertekad untuk belajar menulis surat dengan baik demi memahami manusia dan makna kehidupan.
Tontonlah anime ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Perkara yang admin sangat sanjung mengenai pembuat anime Jepun ialah bagaimana mereka berupaya mewujudkan budaya-budaya atau negara-negara fiksyenal, dengan diilhamkan dunia sebenar. Dalam anime ini, jelas sekali negara-negara yang berperang ini diilhamkan oleh perang dunia pertama. Leidenschaftlich ternyata sekali mempunyai unsur Jerman, sebagai contoh. Cuma budaya mereka bercampur dengan Jepun di mana mereka makan dengan chopstick dan tunduk semasa menyapa orang.
Tetapi walaupun anime in berlatarbelakangkan perang, ia bukan sebuah anime aksi tembak menembak atau lawan berlawan. Ia memfokuskan perkara-perkara yang berlaku selepas perang. Stress pasca perang dan mencari makna di sebalik semua kematian yang berlaku. Pada hemat admin, siri anime ini akan lebih menonjol kepada kaum hawa kerana ia banyak membincangkan perasaan Violet sebagai remaja perempuan dan mengenali perasaan-perasaan baharu semasa menjalankan tugasan bersama kliennya. Lebih banyak babak menangis berbanding berlawan atau berperang. Namun, tidak salah langsung untuk kaum adam untuk turut menonton anime ini, seperti admin juga.
Mengenai jalan ceritanya, setiap episodnya lebih kurang 25 minit, yang merupakan masa yang paling optimum untuk menyampaikan jalan cerita dan pengajaran dari setiap tugasan yang diterimanya. Jalan cerita setiap episod menyentuh hati, mudah difahami serta memberi impak kepada penonton. Sarikata bahasa Melayu juga membantu penonton Malaysia memahami anime tersebut, sekiranya kurang mahir dalam bahasa Inggeris.
Mungkin kekurangan dalam siri anime ini adalah penonton tidak tahu apa sebenarnya telah terjadi kepada Major Gillbert. Secara tersuratnya, beliau mati, namun jalan ceritanya memberi gambaran bahawa ada harapan beliau masih hidup. Namun samada hidup atau tidak, ia tidaklah memberi apa-apa kesan kepada jalan ceritanya memandangkan Hodgins sememangnya merahsiakan kematian Major Gilbert dari awal lagi.
Apa pun, ciri-ciri siri anime Violet Evergarden yang berpaksikan perasaan dan emosi akan lebih menonjol kepada penonton perempuan. Walaupun ia berlatarbelakangkan peperangan dan ketenteraan, ia cuma sekadar latarbelakang sahaja dan bukan fokus utamanya. Namun, jalan ceritanya diolah dengan baik membolehkan wanita atau lelaki mempelajari sesuatu dengan menontonnya.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita dan pengolahan yang baik
- Babak sedih yang berkesan
- Watak Violet yang sangat berkesan kepada mesej keseluruhan anime ini
Negatif
- Tidak banyak aksi, mungkin akan memberi kesan kepada penonton lelaki
Kesimpulan
Samada anda lelaki atau perempuan kami rekomen anda menonton anime ini. Cuma kami rasa ia akan lebih menonjol kepada penonton perempuan. Jika anda sukakannya, terdapat Violet Evergarden Special dan Violet Evergarden the movie untuk tontonan anda, juga di Netflix.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan –7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10