Siri komedi mafia Malaysia popular di perkhidmatan penstriman Viu, Keluarga Baha Don telah dilancarkan untuk musim kedua hari ini. Siri Viu Originals ini dibintangi pelakon-pelakon hebat termasuk Remy Ishak, Jihan Muse, Mark Adam, Khir Rahman, Susan Lankester, Sharifah Aleysha, dan Melissa Campbell. Ia juga pernah memenangi dua anugerah di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2019 iaitu program komedi terbaik dan persembahan komedi terbaik melalui lakonan Jihan Muse.
Dihasilkan oleh Anomalous Films, Keluarga Baha Don berkisah tentang sebuah keluarga unik dan pelik yang mempunyai bisnes kulinari dan jenayah terancang. Musim kedua siri ini bakal mengikuti kisah mereka yang tergantung dalam episod akhir musim pertama, dimana Jo (Remy Ishak) menyedari bahawa ayahnya, Baha Don (Othman Hafsham), mungkin masih hidup.
Sekuel yang dinanti-nantikan ini bakal melihat pelakon-pelakon yang membintangi siri asal ini termasuk Jihan Muse, Mark Adam, Khir Rahman, Susan Lankester, Sharifah Aleysha, Melissa Campbell dan ramai lagi melakonkan watak-watak asal mereka. Musim baharu ini bakal mengembangkan barisan pelakonnya dengan pelakon baharu seperti Tony Eusoff, Amy Mastura, Azman Hassan dan Marsha Milan.
Cik Sahana Kamath, Ketua Produksi Viu Original Malaysia dan Indonesia, berkata, “Sementara kami terpaksa menghentikan sebarang aktiviti penghasilan produksi seiring dengan industri, kami telah meluangkan masa dan tenaga dalam penghasilan skrip untuk menghasilkan siri-siri asal kami di masa akan datang. Viu menghargai nilai dan permintaan daripada rakyat Malaysia untuk pengeluaran asli yang lebih berkualiti tinggi dan dihasilkan secara tempatan. Oleh itu, hari ini, kami membawa kembali siri komedi Keluarga Baha Don, drama mafia pertama di Malaysia bagi musim kedua untuk sebuah lagi dos komedi buat peminat di Malaysia. Keluarga Baha Don bukan seperti siri komedi lain dan ianya contoh terbaik untuk kandungan asli yang berbeza dengan kandungan sedia ada yang dihasilkan Viu!”
Untuk menonton siri komedi ini, muat turun app Viu di Google Play Store dan Apple App Store atau log masuk ke laman web Viu.com . Untuk kepuasan maksima, tontonlah keseluruhan musim pertama sebelum musim kedua. Kemudian tontonlah musim 2 bermula hari ini di mana episod baru akan ditayangkan setiap hari Khamis.
Tonton: Keluarga Baha Don