Kita memasuki bulan Oktober dan ini bermakna berlambak-lambak lah filem seram yang akan mula ditayangkan di pawagam sempena Haloween. Namun admin kurang berminat filem seram, jadi admin tangguhkan dahulu menonton filem-filem tersebut. Sebaliknya admin menonton sebuah siri Anime di Netflix bertajuk Ajin: Demi Human. Siri anime yang berasaskan manga ini sebenarnya sudah lama diterbitkan iaitu pada tahun 2016, namun admin terdengar bahawa filem Old Guard dikatakan telah menciplak idea siri anime ini dalam filem mereka, namun setelah menonton anime ini, admin kurang bersetuju. Berikut adalah pendapat admin mengenai siri Anime ini.
Ajin: Demi Human – Siri Anime Penuh Aksi dan Ganas [Review]
Ajin merupakan satu gelaran yang diberikan kepada seorang yang tidak boleh mati (immortal). Golongan ini diburu oleh kerajaan Jepun, Amerika dan mungkin juga negara-negara lain untuk dibuat bahan ujikaji. Ajin: Demi Human mengisahkan seorang pelajar sekolah menengah yang bijak tetapi bersikap “hati kering” bernama Kei Nagai. Satu hari beliau dilanggar mati oleh sebuah lori. Tanpa disangka beliau telah pulih dan hidup semula setelah mati dengan teruk. Barulah beliau menyedari beliau adalah seorang Ajin.
Oleh kerana kemalangan itu berlangsung di khalayak ramai, semua orang tahu bahawa beliau adalah seorang Ajin. Ini menyebabkan beliau diburu pihak berkuasa. Bermulalah kisah mimpi ngeri beliau.
Apakah akan terjadi kepada Kei Nagai? Tontonlah siri Anime ini di Netflix.
Review
Sepintas lalu, siri Anime Ajin: Demi Human mempunyai ramuan lengkap sebagai sebuah anime yang admin gemari. Ia mempunyai jalan cerita yang mendebarkan, babak aksi yang bergaya, namun tahap keganasannya tidaklah sampai mengganggu emosi (disturbing) seperti anime Attack on Titan. Perkara pertama yang anda akan sedari ketika menonton anime ini adalah teknik animasinya menggunakan campuran lukisan anime dan model 3D. Secara peribadi, admin sukakan teknik ini untuk anime berasaskan sci-fi di mana terdapat banyak robot/senjata, namun admin rasakan ia tidak sesuai untuk anime bertemakan fantasi seperti Naruto atau One Piece. Pergerakan karakter animasi kelihatan seperti ia menggunakan teknik motion capture berbanding dianimasikan satu per satu seperti teknik anime biasa. Admin masih ingat apabila mereka cuba menggunakan teknik ini dalam anime Boruto dahulu, namun hasilnya kurang memberangsangkan.
Walaupun terdapat agak banyak lubang plot (plot hole) namun jalan ceritanya memang disusun dengan baik. Termasuk penerangan saintifik mengenai IBM atau Black Ghost dan bagaimana ia berfungsi. Ia juga mengambil kira hubungan politik Amerika dan Jepun, dan bagaimana Jepun sebenarnya membenci Amerika yang suka menyibuk hal dalaman Jepun. Dengan kata lain pengolahan jalan ceritanya dibuat untuk memadankannya dengan sasaran penonton yang lebih matang. Tetapi seperti yang dikatakan tadi, terdapat juga banyak kelemahan seperti watak jahatnya iaitu Mr Sato terlampau kuat dan sukar dikalahkan. Angkatan polis elit Jepun pun tidak dapat mengalahkannya.
Seperti yang dikatakan di awal pos ini, ada yang membandingkan siri anime ini dengan filem Netflix “Old Guard”, tetapi satu perkara yang menjadikan anime ini jauh lebih baik dari filem tersebut adalah dalam anime ini, Ajin ini tidak sembuh terus selepas cedera. Sebaliknya Ajin itu perlu mati sebelum beliau akan “reset” semula ke keadaan asal. Ini menjadikan babak aksi dan berlawannya jauh lebih teknikal dan mendebarkan berbanding dalam filem Old Guard di mana watak-wataknya sembuh dengan segera.
Secara keseluruhannya, jika anda memang minat anime yang penuh aksi, anda tidak akan hampa menonton siri anime Ajin: Demi Human. Buat masa ini, ia mempunyai 2 musim, masing-masing dengan 13 episod. Walaubagaimanapun, kesudahan anime ini terbuka, bermakna mereka boleh meneruskan animie ini jika mahu, atau biarkan sahaja dengan kesudahan sekarang juga tidak mengapa.
Positif vs Negatif
Positif
- Teknik animasi yang menarik, tetapi mungkin tidak semua akan suka.
- Jalan cerita dan pengolahan yang menarik lagi dramatik
- Babak aksi yang mendebarkan
Negatif
- Ajin terlalu kuat. Tiada keseimbangan antara keupayaan manusia dan Ajin
- Terdapat kelemahan-kelemahan kecil di sepanjang jalan ceritanya, namun tidak mengganggu tontonan anda.
Kesimpulan
Kesimpulannya, tontonlah siri anime ini jika anda sukakan anime yang penuh aksi dan banyak berlawan. Anda tidak akan hampa menontonnya. 2 musim yang diperuntukkan untuk anime ini sememangnya satu durasi yang paling optimum untuk anime ini. Ia tidak berjela-jela, sebaliknya padat dan terus ke poinnya.
Penilaian
Jalan cerita – 7/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan –8/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10