Review: Severance (Apple TV+)
Genre: Siri Thriller
Sesuai untuk: Peminat siri thriller dan misteri
Sinopsis Severance
Severance mengisahkan 4 watak utama yang menjalani satu prosidur yang dinamakan “Severance” yang membolehkan pemisahan memori di tempat kerja dengan masa peribadi. Prosidur ini ditawarkan oleh sebuah syarikat bergelar Lumon yang turut menawarkan kerja kepada mereka.
Secara asasnya sesiapa yang bersetuju menerima pekerjaan dengan syarikat Lumon dan menjalani prosidur Severance, mereka hanya perlu datang kerja dan perkara terakhir yang akan mereka ingat adalah memasuki lif semasa memulakan kerja dan keluar lif setelah selesai waktu kerja. Apa yang berlaku semasa waktu kerja langsung tidak akan diketahuinya.
Namun secara praktikal ia tidak semudah itu. Tontonlah siri 9 episod ini di Apple TV+ untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.
Review
Sejujurnya siri Severance mengetengahkan satu idea baharu yang admin belum pernah lihat setakat ini, iaitu prosidur Severence. Semestinya dengan setiap idea baru akan ada kesan yang tidak diingini dan siri ini mengisahkan sisi buruknya dalam persekitaran korporat pejabat dan hak-hak pekerja.
Perdebatan atau kesimpulan mengenai sisi negatif prosidur tersebut boleh dibuat masing-masing setelah menonton siri ini, namun ia satu perkara yang menarik untuk dibincangkan. Tetapi bukan dalam review ini.
Seperti kebanyakan program keluaran Apple TV+, jalan cerita siri ini dibentangkan dengan perlahan lagi teratur dan dalam satu episod hanya sedikit poin-poin jalan cerita akan didedahkan. Ini bukan perkara buruk memandangkan penonton juga perlu diberi ruang untuk menghadam apa yang sedang berlaku dan kesannya kepada watak-watak.
Jalan ceritanya bermula dengan perlahan dalam episod-episod pertama dan kemudian mula rancak dan tamat dengan satu “cliffhanger” yang dramatik yang memberi ruang kepada musim kedua. Siri ini bukan untuk semua orang, tetapi jika anda jenis yang sabar dan gemarkan genre thriller, memang berbaloi untuk menonton hingga ke penghujung musim.
Kekuatan siri ini adalah rekaan setnya yang bertemakan retro, lakonan pelakonnya serta idea asas Severance itu sendiri yang merupakan satu yang baharu. Namun, seperti yang admin katakan, ia bukan untuk semua.