For All Man Kind – Kisah Perlumbaan Angkasa yang Mungkin [Review]

Admin telah membeli sebuah laptop Apple baru-baru ini dan sebahagian dari tawaran syarikat itu adalah langganan Apple TV+ selama setahun secara percuma, di samping 3 bulan percuma untuk Apple Music dan Apple Arcade. Sebenarnya admin kurang berminat dengan perkhidmatan AppleTV+ , mungkin kerana admin tak tahu banyak mengenai kandungannya kerana ia kurang dipromosikan, tetapi memandangkan perkhidmatan ini percuma selama setahun admin pun cubalah platform ini (admin akan membuat review ringkas platfrom ini dalam hantaran lain). Admin pun mula menonton siri For All Man Kind, sebuah drama mengenai pengembaraan angkasa NASA. Berikut pendapat admin mengenainya.

For All Man Kind

For All Man Kind – Kisah Perlumbaan Angkasa yang Mungkin [Review]

For All Man Kind mengisahkan satu garis masa alternatif dimana perlumbaan angkasa antara Amerika dan USSR tidak berlaku seperti dalalam sejarah sebenar. Dalam siri ini Amerika ketinggalan dalam perlumbaan angkasa pada permulaan dan terpaksa mengejar pihak USSR dalam kemajuan teknologi aeroangkasa. Dalam siri ini juga, Neil Armstrong bukan orang pertama menjejakkan kaki ke bulan, sebaliknya kosmonot USSR yang pertama.

Siri ini mengisahkan pahit manis yang perlu dilalui anggota NASA termasuk keluarga mereka dalam menjayakan program angkasa Amerika Syarikat. Tontonlah siri ini di AppleTV+ untuk menghayati perjalanan mereka.

For All Man Kind

Review

Pertama sekali admin mahu menekankan bahawa siri For All Mankind merupakan sebuah drama dan bukan siri aksi. Ia lebih menekankan perihal perjalanan hidup, konflik dan perasaan watak-watak dalam siri ini. Jadi siri ini agak berat sedikit dan jika anda tidak berapa minat dalam tema pengembaraan angkasa dan betapa perit peneroka angkasa pada permulaan penubuhan program angkasa hingga ke masa program ini telah stabil, sukar untuk anda kekal menontonnya sehingga tamat.

For All Man Kind
Joel Kinnaman dan musim 2 “For All Mankind,”

Siri For All Mankind baru sahaja menamatkan musim keduanya. Musim pertama kebanyakannya menceritakan penubuhan program angkasa sehingga NASA berjaya membina markas angkasa di atas permukaan bulan, iaitu sekitar penghujung tahun 50an hingga penghujung 70an. Musim kedua pula mengisahkan zaman kegemilangan serta konflik perang dingin yang memuncak ketika program tersebut berjalan dalam tahun 80an.

Sejujurnya admin tidak berapa gamarkan siri drama sepenuhnya, namun disebabkan admin minat juga mengenai bidang aero angkasa, admin tabah menonton 10 episod bagi setiap musim dalam siri ini. Secara ringkas, admin merasakan anda perlu ada tahap minat yang tinggi kepada bidang Aeroangkasa untuk kekal menonton siri ini. Ia juga memasukkan unsur politik dan geopolitik bagi menambahkan lagi menariknya siri ini. Malah ia juga menggunakan kejadian-kejadian dan insiden-insiden sebenar serta presiden sebenar dalam jalan ceritanya bagi menambahkan lagi realism siri ini.

Musim pertama agak perit bagi admin kerana drama peribadi lebih banyak dari cabaran luaran. Admin kurang berminat dengan drama peribadi, tetapi nampaknya ia agak penting untuk penonton siri ini. Segala drama ini adalah perlu untuk menguatkan karakter-karakter yang ada dalam siri ini dan supaya penonton benar-benar menjiwai watak-watak ini. Dalam musim kedua pula banyak memaparkan konflik perang dingin antara USA dan USSR. Ada beberapa babak aksi yang mendebarkan, namun tidaklah banyak hingga boleh dipanggil siri aksi. Beberapa watak-watak penting akan mati (spoiler) dan pengakhiran musim kedua yang tragis memang memberi kesan kepada penonton. Admin berasa tanpa pembinaan karakter dan penghayatan penonton yang dibina dalam musim 1, musim 2 tidak akan memberi banyak impak kepada penonton.

Akhir kata, sepertimana admin katakan di awal tadi, penonton perlu ada satu minat yang tinggi terhadap bidang aeroangkasa, politik dan geopolitik, di samping boleh memahami budaya dan perasaan orang Amerika untuk betul-betul menghargai siri TV ini. Admin tidak merasakan banyak penonton Malaysia akan meminati siri ini. Namun, admin yang pada awalnya tidak sukakan siri drama yang berat dan penuh dengan emosi seperti ini, pada akhirnya turut berasa satu perasaan kejayaan apabila pasukan NASA berjaya mengelak perang dunia ke 3 dan juga berasa sedih atas kematian watak-watak utama dalam siri ini. Mungkin itulah tujuan siri TV ini: memberi inspirasi kepada mereka yang menyimpan cita-cita menjadi angkasawan atau jurutera roket.

P/S : Tak sabar pula untuk musim 3. Pasti ada menyentuh tentang Elon Musk dan SpaceX kerana musim 3 akan memfokuskan kepada planet Marikh.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang walaupun berat, tetapi memberi impak kepada penonton
  • Sinimatografi dan kualiti produksi yang tinggi.
  • Penggunaan konflik dunia sebenar untuk menambah realism siri ini.
  • Memberi inspirasi kepada mereka yang bercita-cita melibatkan diri dalam dunia aeroangkasa.

Negatif

  • Sangat berat
  • Tiada banyak babak aksi

Penilaian

Jalan cerita – 8/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10

Nilai hiburan – 7/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

AppleTV+

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *