Tiba-tiba bulan ini tak banyak filem baru di pawagam yang ingin admin tonton, tapi kerana perasaan ingin tahu, admin pergi menonton filem seram yang tidak ternama berjudul “The Call”. Jangan dikelirukan filem ini dengan filem thriller Korea The Call di Netflix, filem ini adalah filem berbahasa Inggeris. Berikut pendapat admin mengenainya.
The Call – Filem Seram Sangat Klise [Review]
Filem The Call berlangsung pada era 80-an, di mana sekumpulan remaja yang dianggotai Tonya, Brett, Zack dan pelajar baru bernama Chris yang merupakan kumpulan remaja tipikal di sebuah bandar kecil di Amerika. Tonya kehilangan adiknya beberapa tahun lalu dan menuduh Mrs Cranston membunuhnya, walaupun tiada bukti langsung.
Selama bertahun Tonya dan rakan-rakannya mengganggu Mrs Cranston kerana perkara tersebut sehingga satu hari, Mrs Cranston tidak tahan lagi dan beliau mati membunuh diri. Sebelum mati, beliau meninggalkan pesan untuk suaminya menyediakan beberapa perkara, termasuk menyambungkan talian telefon dari kuburnya ke rumahnya.
Tidak lama selepas itu Mr Cranston menjemput kumpulan remaja tersebut ke rumahnya dengan tawaran USD100,000 untuk bermain satu permainan mudah. Apakah permainan tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Admin sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi sebelum menonton filem The Call dan seperti dijangka, filem ini memang menepati jangkaan admin dari segi tahap produksinya. Ia sebuah filem gred B yang lebih sesuai ditonton di Netflix atau HBO berbanding di pawagam. Sungguhpun demikian, ia sebuah filem gred B yang dibikin dengan agak baik.
Sepertimana mana-mana filem seram gred B, ia mempunyai jalan cerita yang klise, dialog yang lemah dan lakonan yang amatur, kecuali bagi dua watak utamanya Mr & Mrs Cranston yang merupakan vetren yang banyak berlakon dalam filem seram. Namun, memandangkan admin sememangnya tak meletakkan harapan tinggi, admin layankan sahaja dan admin sedikit sebanyak terhibur.
Tapi admin tetap perlu menenkankan bahawa plot filem ini agak lemah, ia lebih menekankan babak terkejut yang disertakan bunyi yang menakutkan. Hakikatnya perkara utama yang menjadi subjek ketakutan itu tidaklah seseram mana. Konsep bahawa neraka adalah tempat di mana manusia disiksa secara psikologi dengan mengulangi pengalaman kesalahan lampau mereka juga pernah diterokai dalam filem Bill and Teds Bogus Journey dalam tahun 90an dulu.
Kesimpulannya, filem ini tidak mempunyai “substance” yang menggalakkan dan hanya berada di tahap filem telemovie sahaja. Namun, ia dibikin dengan baik di mana tidak banyak kesilapan teknikal dibuat dalam membikin filem ini dan tidak juga banyak sudut filem ini yang boleh dikritik, walaupun plot dan jalan ceritanya lemah.
Dengan kata lain, ia sebuah filem lemah yang dibikin dengan mantap (bagi sebuah filem seram gred B) dan jika anda penonton filem seram tidak meletakkan harapan yang tinggi, filem ini mungkin boleh memuaskan keinginan menonton filem seram anda. Tetapi jika anda mencari filem seram bermutu, lebih baik tunggu filem The Conjouring: The Devil Made Me Do It yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
Positif vs Negatif
Positif
- Pembikinan yang kemas
- Kalau tak diletakkan harapan yang tinggi, anda mungkin juga terhibur
Negatif
- Jelas sekali sebuah filem seram gred B
- Babak seram yang klise
- Tidaklah seram mana
Penilaian
Jalan cerita – 5/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 5/10
Nilai hiburan – 6/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 6/10