Filem Star Trek Beyond merupakan salah satu filem yang ditunggu-tunggu tahun ini dan filem kali ini sedikit istimewa. Bagaimana ia istimewa? Kami akan terangkan dalam review kali ini.
Star Trek Beyond [Review]
Star Trek Beyond arahan pengarah kelahiran Malaysia, Justin Lin, mengisahkan krew USS Enterprise yang menyahut permintaan bantuan seorang makhluk asing yang telah tiba di stesen angkasa Yorktown kerana beliau mendakwa kapalnya telah terhempas di sebuah planet yang hanya boleh diakses oleh kapal seperti USS Enterprise.
Setibanya mereka di planet tersebut, mereka diserang oleh kaum makhluk asing yang beroperasi seperti sekawan lebah. Ini menyebabkan kapal mereka mengalami kerosakan teruk dan semua krew terpaksa melarikan diri menggunakan pod keselamatan. Malangnya mereka ditawan oleh makhluk asing tersebut.
Dengan kapalnya musnah dan keadaan mereka yang terdampar di sebuah planet yang tidak berpenghuni, Kapten Kirik mesti mencari jalan untuk menyelamatkan krewnya. Makhluk apakah yang dihadapi mereka? Apakah mereka akan dapat diselamatkan? Segalanya akan terjawab dengan menonton filem ini di pawagam berhampiran anda.
Jalan Cerita dan Lakonan
Star Trek Beyond istimewa kerana dua sebab. Pertama ia diarahkan pengarah kelahiran Malaysia, Jeremy Lin dan kedua kerana jalan cerita filem kali ini dibuat khas untuk memastikan jalan cerita keseluruhan francais filem ini kembali selari dengan siri TV asal yang ditayangkan bermula 50 tahun dahulu di mana watak utama Kapten Kirk dimainkan William Shatner. Malah terdapat satu babak di mana Spock muda menangisi kematian Spock tua (yang hadir dari masa hadapan dalam filem Star Trek reboot pertama pada tahun 2009), dan melihat gambar krew USS Enterprise yang disimpan dalam koleksi barangan Spock tua. gambar tersebut merupakan gambar krew dan pelakon yang sama dalam siri Star Trek 50 tahun dahulu.
Berbalik semula kepada review. Jalan cerita kali ini kami rasakan adalah yang terbaik dalam 3 filem reboot yang dibikin setakat ini. Tanpa membuang masa, filem ini terus bermula dengan isi-isi penting filem tersebut. Secara keseluruhan penceritaannya padat dan tidak mengelirukan serta terdapat putaran plot (plot twist) yang menarik di bahagian-bahagian akhirnya.
Aksi-aksi yang dipaparkan juga sangat menarik dan mendebarkan serta tidak meleret-leret seperti dalam filem Transformers yang terakhir. Lawak jenakanya juga bersahaja dan lucu bakal membuat anda tidak kering gusi.
Lakonan para pelakon utama tentunya berada tahap yang terbaik dan sememangnya setia kepada perangai watak masing-masing.
Kesan Khas dan Muzik
Dalam filem berunsurkan angkasa lepas, tentunya usaha yang jitu diarahkan kepada kesan khas dan CGI. Seperti yang diharapkan, babak-babak peperangan angkasa telah dibikin dengan begitu baik sekali, namun terdapat sedikit kelemahan yang boleh dilihat apabila digabungkan babak CGI dan babak dunia nyata.
Sebagai contoh, babak kapten Kirk menunggang motosikal dengan laju di kawasan berbukit menuju ke pangkalan Krall. Secara logiknya, dengan bentuk muka bumi yang begitu berbukit, mustahil beliau dapat menunggang selaju seperti yang digambarkan dalam babak tersebut. Ia merupakan kelemahan kecil, tetapi disedari jika anda melihat dengan teliti.
Untuk muzik pula, jika anda menonton trailer pertama Star Trek, anda akan menyedari sebuah lagu rock yang dimainkan di awal trailer tersebut. Walaupun tidak kelihatan penting, lagu tersebut bakal menjadi sumber lawak jenaka terbesar dalam filem tersebut.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita dan aksi yang menarik serta lawak jenaka yang menghiburkan
- Berjaya membawa jalan cerita keseluruhan francais selari dengan siri TV asal 50 tahun dahulu.
- CGI berkualiti
- Lakonan mantap
Kelemahan
- Sedikit kelemahan pada CGI
Kesimpulan
Star Trek Beyond menggabungkan semua ramuan dengan secukupnya, aksi, drama dan lawak jenaka. Tidak seperti filem Transformer yang mempunyai babak aksi yang meleret-leret dan tidak perlu, setiap segmen filem ini mempunyai durasi yang optimum supaya penonton tidak merasa bosan.
Tetapi walaupun kami memberi review yang baik terhadap filem ini ia tidaklah mencapai status epik, cuma ia mempunyai komponen-komponen yang betul bagi sebuah filem yang boleh menghiburkan anda setelah seminggu stress di tempat kerja. Kami merekomennya untuk semua lapisan masyarakat.
Penilaian: 8/10
Tambahan: Saksikan evolusi Star Trek sepanjang 50 tahun ia ditayangkan
masa ke panggung hari tu,berfikir nak tengok skitrace ataupun star trek.. last-last tengok skiptrace. sebab sebelum ni tak pernah tengok filem sebelum ni startrek
Star trek pun ok gak. Tapi betul gak, ada sedikit kena mengena dengan filem sebelumnya.