Robocop 2014 [Review]

Filem Robocop 2014 merupakan pembikinan semula filem Robocop asal yang dikeluarkan pada tahun 1987. Pada masa itu ia diarahkan oleh Paul Verhoeven dan filem Robocop baru ini diarahkan oleh Jose Padilha.

Robocop 2014

Robocop 2014 [Review]

Dalam adaptasi terbaru filem Robocop ini, Omni Corp merupakan syarikat pengeluar robot penguatkuasa terbesar di dunia. Syarikat ini membekalkan robot pengaman ke seluruh dunia, namun oleh kerana undang-undang US tidak membenarkan penguatkuasa robot beroperasi di negara itu, robot OCP tidak dibenarkan beroperasi di US, yang merupakan pasaran yang besar.

Untuk itu, mereka memerlukan hybrid robot-manusia, di mana manusia itu boleh membuat keputusan dan bertanggungjawab dalam operasi penguatkuasaan yang melibatkan pembunuhan manusia. Di sinilah, Detektif Alex Murphy yang cedera parah setelah keretanya dipasang bom menjadi orang pertama untuk dijadikan robot manusia hybrid tersebut. Beliaulah Robocop.

Robocop 2014

Jalan Cerita

Berlainan dari filem asal, dalam filem kali ini, identiti Alex Murphy sebagai Robocop tidak dirahsiakan pihak polis. Malah isterinyalah yang membenarkan suaminya dijadikan Robocop kerana itulah harapan terakhirnya untuk hidup.

Jalan cerita filem baru ini memfokuskan bagaimana Alex Murphy membiasakan diri dengan kehidupan barunya sebagai Robocop, konflik-konfilk dalam dirinya, keinginannya untuk membalas dendam serta bagaimana keinginan dan perasaannya mempengaruhi operasi dan aturcara bahagian robotnya.

Robocop 2014

Dengan kata lain, jalan cerita filem ini bertujuan mewujudkan atau memperkukuhkan “jenama” Robocop dalam penyediaan asas sebuah francais baru filem tersebut. Boleh dikatakan filem ini mempunyai imbangan yang baik antara drama (konflik dalaman Alex Murphy yang membiasakan diri dengan tanggungjawab Robocop) dengan aksi.

Walaubgaimanapun, oleh kerana terdapat lebih dari satu watak jahat dalam filem ini, tiada satu-satu watak jahat yang diberi fokus utama dalam filem ini. Ini menyebabkan kepuasan melihat kemenangan Robocop kurang berbanding filem-filem terdahulu.

Ada pembaca yang bertanya bolehkah filem ini ditonton oleh kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Ia diklasifikasikan sebagai PG13, bermakna ia boleh ditonton oleh mereka yang berumur 13 tahun ke atas. Saya secara peribadi tidak menggalakkan kanak-kanak 12 tahun ke bawah untuk menonton filem ini kerana walaupun tidak banyak aksi-aksi ganas, tetapi babak Alex Murphy terlantar di hospital selepas terkena letupan bom mungkin akan mengganggu ketenteraman kanak-kanak.

Tambahan pula, terdapat babak yang menunjukkan bahagian-bahagian badan Alex Murphy yang tinggal (kepala, sebelah tangan dan sebahagian organ dalaman) diletakkan dalam badan robot mungkin agak menggelikan bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. (Penggunaan green screen oleh pembikin filem dalam babak ini sangat baik)

Robocop 2014

Lakonan

Lakonan watak-watak dalam filem ini sangat meyakinkan di mana pelakon Alex Murphy berjaya mempamerkan emosi-emosi yang berkaitan seseorang yang trauma apabila mendapat tahu segala yang berlaku kepadanya sehingga di tepaksa dijadikan Robocop.

Mungkin watak yang agak menghiburkan ialah Samuel L. Jackson yang memainkan watak seorang pengacara rancangan TV bernama Pat Novak. Rancangan bicara isu semasanya ternyata berat sebelah dan menyokong penggunaan robot oleh Omni Corp. Jika anda menonton filem ini, anda tidak dapat lari dari berasa tertarik dengan watak sarkastik ini.

Kesimpulan

Kebaikan :

  • Rekabentuk Robocop yang lebih moden dan lincah.
  • Kualiti bunyi yang hebat. Direkomen untuk menonton di pawagam IMAX.
  • Jalan cerita yang seimbang di antara drama dengan aksi.

Keburukan :

  • Jalan cerita secara keseluruhan memuaskan, namun tiada apa-apa yang memberangsangkan.
  • Watak jahat yang ramai menyebabkan focus jalan cerita berbelah bagi.
  • (Pada pendapat saya) Motosikal Robocop kurang menarik. Tetapi, mungkin anda berpendapat sebaliknya.

Robocop 2014 merupakan sebuah filem yang menyediakan asas bagi sebuah francais baru filem Robocop. Ia mempunyai jalan cerita yang OK, tetapi bukanlah begitu istimewa. Mungkin bagi filem pertama, kita tidak boleh mengharapkan terlalu banyak. Mungkin filem-filem Robocop akan datang lebih hebat dari yang ini.

Namun, ini tidak bermakna anda perlu mengelak daripada menonton filem ini. Ia tidak sedikit pun membosankan. Dari awal hingga akhir, ia mampu menghiburkan penonton. Jika anda mempunyai bajet yang lebih, bolehlah menonton di pawagam IMAX kerana qualiti bunyinya agak memberangsangkan dan berbaloi untuk menonton dengan IMAX.

IMDB

, , ,

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *